Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wbt..
Apa itu hati?
“Dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Apabila daging yang seketul itu baik maka baiklah seluruh tubuh badannya. Dan apabila rosak daging yang seketul itu maka akan rosaklah tubuh badannya. Dan daging yang seketul itu ialah hati.” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, pada permulaannya kita boleh lihat hati seseorang itu melalui dari tindak tanduknya. Secara ringkasnya hati seseorang itu mencerminkan peribadi individu tersebut. Jadi sangat penting untuk kita menjaga hati kita supaya tidak kotor dan seterusnya akan menyebabkan kita melakukan perkara-perkara yang tidak seharusnya kita lakukan.
Hati ialah organ paling utama dalam tubuh manusia. Ia kelak akan menjadi penilaian yang terpenting Allah terhadap hamba-Nya. Bayangkan setiap kemungkaran yang kita lakukan akan menerbitkan satu titik hitam pada hati kita.
Berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Riwayat Ibnu Majah)
Kredit |
Hati yang kotor dan keras perlu dibersihkan kerana ia akan berkait dengan amalan yang kita lakukan. Hati yang kotor boleh disucikan dengan banyak mengingati Allah iaitu berdoa meminta keampunan daripada-Nya. Firman Allah bermaksud:
“Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu, tenang dan tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, 13:28)
Hati manusia boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian: -
- Hati yang bersih/hidup: Hati orang yang beriman dimana terdapat cahaya ilahi yang memancar
- Hati yang tertutup/mati: Hati orang yang ingkar terhadap keesaan Allah
- Hati yang terbalik: Hati orang yang tahu tetapi ingkar, melihat tetapi sengaja buta, yakni hati orang munafik
Di sini kita boleh kategorikan dimanakah sebenarnya kedudukan hati kita. Masih belum terlambat untuk kita bertaubat dan bersihkan segala titik-titik hitam yang ada pada hati kita ini. Sesungguhnya setiap manusia itu tidak sempurna, namun kita perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik.
Manfaatkanlah hati kita sebaik-baiknya. Bersyukurlah dengan pinjaman-Nya yang amat berharga ini. Hargailah ia dan manfaatkan sebaiknya. Jangan sesekali membutakan hati kita dengan kasyikan duniawi semata-mata. Jaga dan peliharalah hati agar kita dapat memperoleh haruman syurga di sana nanti.
Firman Allah yang bermaksud:
“Maka tidak pernahkah kamu berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (Surah al-Hajj, 22:46)
Post a Comment