Aku Bukan Titanic

0 comments

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.

Titanic[Kredit]

   Pernahkah anda berkelah mungkin bersama keluarga atau rakan-rakan di Pantai Batu Buruk, Pantai Mersing atau mana-mana pantai? Mungkin ada yang pernah, mungkin ada yang tidak pernah. Bagi yang sudah berkesempatan menikmati suasana pantai, apakah yang terdetik pada saat anda berada di persisiran pantai dengan angin bertiupan nyaman sambil menikmati pemandangan laut yang sungguh indah dan mendamaikan? Kagum bukan. Suka makan seafood tak? Semestinya ramai yang menyukainya dan telah jelas bahawa segala bahan makanan tersebut adalah bersumberkan dari laut. 
    
    Kepada wanita-wanita di luar sana yang menggemari rantai leher mutiara, subang mutiara, juga semestinya sudah mengetahui bahawa mutiara juga pada asalnya diambil daripada tiram yang berada di dasar lautan. Sememangnya sungguh hebat dan berharga laut ini.
Tetapi, pernahkah orang mati tenggelam di lautan. Atau dimakan oleh jerung sehinggakan tiada seketul tulang pun ditinggalkan. Kapal seperti Titanic yang apabila karam, membawa bencana kepada penumpang-penumpangnya. Semua ini berlaku di lautan yang dilihat sangat tenang dan mendamaikan pada awalnya.

    Inilah hakikat hidup. Lautan itu dianalogikan sebagai dunia (kekuatan fizikal, mental, harta, pangkat, sanak saudara, keluarga dan sebagainya). Dan kapal (bukan kapal selam ye) itu dianalogikan sebagai hati kita.

Kenapa??
Lautan amat penting untuk mengapungkan kapal seperti pentingnya jalan raya untuk kereta supaya dapat terus bergerak. Tanpa lautan, kemungkinan kapal itu tidak akan berjaya tiba ke destinasi yang dituju. Namun ianya hanya berguna jika lautan itu di bahagian luar kapal. Jika ianya di dalam, maka bencana telah melanda. Kemalangan yang menyebabkan dasar sesebuah kapal itu bocor teruk sudah tentu akan membawa kepada karamnya kapal itu akibat air lautan yang terus memasuki ruang-ruang kosong kapal, akhirnya menenggelamkannya. Dan yang menerukkan keadaan lagi adalah apabila tiada nyawa yang dapat diselamatkan. Akhirnya tidak berjaya tiba ke destinasi yang dituju.

    Sama juga seperti dunia. Dunia amat penting untuk kita gunakan sebaiknya supaya membolehkan kita melaksanakan suruhan Allah. Dan ianya hanya akan berguna jika digunakan dengan cara yang betul. Namun, apabila dunia telah memasuki ruang hati sehinggakan suruhan Allah kita tinggalkan, maka akan ‘karamlah’ kita dimamah dunia. Alangkah ruginya kita, tatkala tenggelamnya kita di dunia ini sehinggakan hajat di hati ke tempat yang dituju iaitu syurga tidak kesampaian. Bukankah itu satu kerugian yang besar?

Jangan biarkan hati kita karam seperti karamnya Titanic di lautan! [Kredit]
Ingatlah bahawa dunia, tempatnya bukan di hati kerana hati kita, untuk Allah sahaja. Biarlah kita yang memegang dunia, tetapi jangan dunia yang memegang kita. Jadilah seperti kapal yang berjaya tiba ke destinasi dan bukannya kapal yang karam di tengah lautan. Kita tidak mahu menjadi titanic kerana kita bukan titanic. Segala yang baik datang daripada Allah. Semoga bermanfaat kepada semua. Wassalam :)     

 Wallahu'alam.                                                 

                                                                                           


Post a Comment