Assalamuaalaikum wrt
"Barang siapa yang akan tidur, lalu berniat untuk bangun solah tahajjud, kemudian beliau tidur hingga ke pagi hari, maka dicatatnya niat itu sebagai satu pahala, sedang tidurnya itu dianggap sebagai kurnia daripada Allah yang diberikan kepadanya."
(Riwayat An-Nasai dan Ibnu Majah)
Bangun malam dengan niat beribadat kepada Allah swt merupakan sesuatu yang perit bagi insan yang sememangnya gemarkan kerehatan. Tetapi disebabkan hikmahnya yang tidak ternilai, jasad dan iman kita perlu dilatih.
Nikmat bangun malam menjadi sangat manis bagi jiwa-jiwa yang bermujahadah mencapai redha Allah swt. Antara hikmah solat malam ialah dapat merapatkan diri kita dengan Pencipta kita pada waktu suasana sekeliling begitu tenteram selain mustajabnya doa kita.
Jadi, di sini kami membawakan tips-tips untuk mempermudahkan kita bangun malam.
1. Keinginan yang kuat, meninggalkan sikap berat hati dan suka menunda.
Dengan niat ikhlas kerana Allah dan kesungguhan yang kuat, in sha Allah usaha kita akan dibantu Allah swt
“Sesungguhnya ilmu didapatkan dengan belajar. Sesungguhnya sikap penyantun didapatkan dengan membiasakannya. Barangsiapa berusaha keras untuk mendapatkan kebaikan, niscaya Allah akan memberinya. Dan barangsiapa yang menjaga diri dari kejelekan, niscaya Allah akan menjaganya” [H.R. Ad-Daruquthni dan Al-Khathib, Shahih Al-Jami'].
2. Tidur awal.
Latih diri untuk tidur awal dan tidak berjaga malam tanpa tujuan berfaedah. Alangkah indah perkataan Sulaiman at-Taimi terkait masalah ini;
“Sesugguhnya mata; jika kamu membiasakan untuk tidur maka ia akan terbiasa dengannya. Dan jika kamu membiasakannya untuk bertahan maka ia akan terbiasa dengannya” [Mukhtasar Qiyam al-Lail, Al-Mawarzi hlm. 55]
3. Berehat sebentar di siang hari.
Berehat atau tidur sebentar sebelum atau setelah zuhur bagi mendapatkan semula kekuatan fizikal kita untuk bangun malam.
4. Menjaga segala kewajipan
Semangat seorang hamba dalam menunaikan kewajipan seperti solat fardhu merupakan bukti kesungguhannya dalam mendekatkan diri kepada Allah swt. Jadi bagaimanapun ibadah fardhu mesti diutamakan daripada ibadah sunnah. Jangan sampai kerana bertahan untuk menunaikan solat malam menyebabkan kita tertinggal solat subuh.
5. Berusaha meninggalkan maksiat
Pengalaman sukar bangun solat ini pernah dialami oleh seseorang yang kemudian bertanya kepada Hasan: "Hai Abu Sa'id, sesungguhnya saya melalui tidur malam dalam keadaan segar, saya juga telah menyediakan air untuk berwudhu'. Tapi mengapa saya sukar untuk bangun malam?". Jawab Hasan: "Dosa dosamulah yang telah mengekangmu."
6. Jangan putus asa.
Walau bagaimana sukar atau berat sekalipun untuk bangun malam, jangan kita pernah berputus asa untuk mengerjakan amalan yang sangat disukai Pencipta kita. Selalulah berdoa dan terus berusaha sedaya upaya. Sesungguhnya segalanya dalam genggamanNya.
Really need this! Jazakallah.
ReplyDelete