Hiburkan Hatimu

1 comments
Bismillahirrahmanirrahim..

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa kepada hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah  yang bermaksud :

(iaitu)orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah.Ingatlah,hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d:28)



Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan melalui cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah selain berinteraksi dengan alam ciptaan Allah.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka akan terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa kepada ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang telah  dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik kepada Allah, membuatkannya tidak pernah resah dan mengeluh. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur.Apabila  diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah.

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.  (Surah Al-Baqarah:138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan makhluk ciptaan Allah yang lain. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada pergantian malam dan siang,dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi,pasti terdapat tanda-tanda(kebesaranNya) bagi orang-orang yang bertaqwa.”  (surah Yunus:6)



Islam tidak menolak hiburan dari luar selagimana hiburan itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat islam. Alunan ayat suci Al-Quran, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi tahap keimanan.Firman Allah swt:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya,dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka,bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal”.  (surah Al-Anfaal:2)

Dan firmanNya lagi:

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) al-Quran yang serupa (ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang,gementar kerananya kulit orang-orangyang takut kepada Tuhannya,kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah.”   (surah Az-Zumar:23)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, pasti akan melahirkan ketenangan jiwa,contohnya ibadat solat sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga merupakan  suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur  kerana mereka terasa seperti sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah SWT.
Wallahualam.


1 comment: