Walau Seribu Kali Ku Ulang Sendiri

0 comments
Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Sahabat, pernah buat silap tak?

Apa? Tak pernah? Tipu lettew kan.. Manusia, takkan pernah mampu lari dari kesilapan. Jelas lagi bersuluh kerana Allah menciptakan manusia secara fitrahnya memang begitu. Sedangkan, hanya junjungan besar Nabi Muhammad SAW sahaja yang sempurna. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala aali wasohbihi wa sallim.

(Kredit)
Sebenarnya, salahkah orang yang melakukan kesilapan ni? Hurmm... Sebagai seorang insan, kesilapan itu mengajar kita untuk menjadi lebih matang dan agar kita sedar kesalahan kita dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Tapi perasan tak sahabat, ada juga masa kita terkadang terulang kesilapan yang sama? Masa tu, rasa geram pada diri sendiri saja kan... Arghhhh!! Stress!

Bukan geram itu yang perlu kita tumpukan. Apa yang lagi penting ialah kita terus bertaubat kepada Allah, beristighfar banyak-banyak kepada Allah yang Maha Esa. Kita sebagai muslim harus yakin bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bukanlah saja-saja kita terulang kesalahan yang sama. Allah itu bukan zalim. Jika kita pernah berfikiran negatif sebegitu, cepat-cepat kita memohon ampun kepadaNya. Astaghfirullahal’azim.

Seperti firman Allah:

"Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya, akan tetapi, hamba-hambaNya yang selalu menzalimi diri mereka sendiri." (Surah Yunus, 10:44)

Mesti semua orang pernah dengar cerita salah seorang sahabat baginda Rasulullah SAW yang bernama Hanzalah. Ceritanya begini…

“Hanzalah telah munafik! Hanzalah telah munafik!”, lantun Hanzalah pada dirinya. Kakinya mengerah cepat ke masjid. Nabi pasti ada di sana fikirnya. Riak ketakutan dan secebis penyesalan terlukis diwajahnya.
“Hanzalah telah munafik! Hanzalah telah munafik!”, diulangnya beberapa kali. Sedang dalam perjalanan, Hanzalah berselisih dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saidina Abu Bakar terkejut dengan apa yang diucapkan oleh Hanzalah tersebut.

“Apakah yang telah kau katakan ini wahai Hanzalah?”, tanya Abu Bakar.

“Wahai Abu Bakar, ketahuilah Hanzalah telah menjadi munafik. Aku ketika bersama Rasulullah aku merasakan seolah-olah syurga dan neraka itu sangat hampir padaku. Aku menangis kerana takutkan neraka. Namun, di rumah aku ketawa riang bersama anak-anak dan isteriku. Hilang tangis aku bersama Rasulullah. Aku telah menjadi munafik!”, ujar Hanzalah sambil teresak-esak bimbang akan dirinya.

Saidina Abu Bakar terkejut. “Kalau begitu aku pun munafik. Aku pun sama denganmu wahai Hanzalah.”

Lantas, kedua-dua sahabat ini bersama-sama menemui Rasulullah. Tangisan tidak berhenti. Mereka benar-benar ketakutan. Takut pada Allah. Takut azab neraka yang sedia menunggu para munafik.
Hati mereka gementar.

Sesampainya di hadapan Rasulullah, Hanzalah bersuara.
“Wahai Rasulullah, Hanzalah telah munafik.”
Rasulullah bertanya, “Kenapa?”

“Ketika aku bersamamu ya Rasulullah, aku merasakan seolah-olah syurga dan neraka itu sangat hampir. Lantas air mataku mengalir. Tapi, di rumah aku bergurau senda keriangan bersama anak-anak dan isteriku. Tidakkah aku ini seorang munafik ya Rasulullah?”

Rasulullah tersenyum.

Lantas baginda bersabda,

“Demi jiwaku yang di tanganNya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir, nescaya para malaikat akan berjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya, akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)." (HR Muslim)



Setiap daripada kita pasti tersilap langkah kadang-kadang. Kesinambungan dari kisah di atas ialah perasaan itu akan hadir dalam diri kita sebagai salah satu ujian untuk kita lebih mendekatkan diri kita hanya kepada Allah pada masa tu. Seseorang mu’min itu apabila tersilap langkah, cepat-cepat dia pergi kepada Tuhannya lantas memohon ampun atas segala salah silapnya. Andai seribu kali dia melakukan kesilapan yang sama, dia tetap akan pergi kepada Tuhannya kerana dia yakin bahawa hanya Allah yang akan mengampunkannya.

(Kredit)
Semoga kita semua masih berada atas landasan yang benar. Memang bukan senang untuk cuba praktikkan kerana banyak kekangan yang akan menghalang. Tapi, apa yang lebih penting di sini ialah kita harus cuba dulu. Allah kan sentiasa bersama kita. Senyum...


Post a Comment