Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim.
Al Quran Pendamping Hidup Kita.
Sabda
Rasulullah SAW, 'Orang yang membaca Al Quran lagi pula ia mahir, kelak akan mendapat
tempat dalam syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik; dan orang yang membaca Al
Quran tetapi tidak mahir membacanya terhenti-henti dan tampak agak berat
lidahnya (belum lancar) ia akan mendapat dua pahala.'
Banyak
hadis-hadis sohih yang menjelaskan keagungan orang yang membaca Al Quran.
Namun, bagi mereka yang ingin membaca Al Quran dengan baik, hendaklah mengetahui
hak-hak Al Quran dan hal-hal yang berhubung dengan Al Quran, yakni bagaimana
cara menghormatinya, mengagungkannya, cara mengambil atau membawanya, dan
hal-hal yang lain.
Membaca Al Quran
ada adab dan kesopanannya sama ada berupa zahir ataupun batin. Antara moral terpenting bagi mereka yang
membaca Al Quran ialah ia harus disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah
semata-mata dan mengharapkan keredhaanNya. Dalam mebaca Al Quran juga harus
disertai niat taqarrub, yakni mendekatkan diri kepada Allah dan mengharap
pahala daripadaNya. Jangan sekali-kali membaca hanya untuk
menunjuk-nunjuk, main-main atau untuk
mendapat sanjungan.
Perlu diambil
perhatian bahawa kita mestilah menghormati dan mengagungkan Al Quran dengan
meletakkannya di tempat yang tinggi, bukan di atas lantai. Apabila membacanya,
pastikan kedudukan Al Quran kita berada atas daripada lutut kita. Janganlah
kita menindih apa-apa di atas Al Quran. Biarlah kitab suci Al Quran berada di
atas sekali. Bacalah Al Quran dengan tajwid, tartil (tidak tergesa-gesa) dan
berlagu.
Semestinya ini
sahaja masih belum cukup. Yang paling penting ialah mengamalkan isi yang
terkandung dalam Al Quran. Amat diharapkan orang yang membaca Al Quran,
lebih-lebih lagi yang menghafal haruslah menunjukkan sifat-sifat terpuji,
akhlak yang baik dan sentiasa beramal soleh. Ibnu Mas'ud pernah berkata,
'Diturunkan Al Quran untuk diamalkan dengannya, maka ambillah kala membacanya
dengan amalan nyata.'
Marilah kita
memohon kepada Allah agar Allah memberi kita taufik dan hidayah sehingga kita
menjadi orang-orang yang membaca Al Quran, memahami ertinya, menjaga adab-adab
dengannya dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya. Semoga Al Quran
sentiasa menjadi pendaming hidup kita selamanya. Ya Allah, permudahkanlah.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, ahlul bait, serta
para sahabat baginda SAW. AllahummaAmiin.
WAllahualam.
Post a Comment