Menjadi Pelajar Cemerlang Mengikut Acuan Al-Quran

6 comments
Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum wrt.

Kenapa ada yang bermasam muka tu?
Adakah anda tertekan kerana masih banyak topik yang belum dibaca?
Atau anda bosan menghafal ratusan soalan MCQ?
Mungkin anda susah hati melihat timbunan buku-buku tebal di atas meja?
Dan tak kurang juga pasti ada yang sudah berputus asa.

Don't stop don't give up! [Kredit]
Apa kata kita berehat seketika. Kita luangkan masa untuk buka kembali kitab Al-Quran yang mungkin telah kita tinggalkan seketika kerana berlaku kekangan masa. Dan ayuh sama-sama kita tadabbur beberapa ayat daripada surah ini, semoga kita boleh mengambil sedikit ibrah dan kefahaman seterusnya insyaAllah mampu menyuburkan kembali iman dan semangat yang telah luntur dek penangan peperiksaan akhir semester ini!  

"Sesungguhnya beruntung (berjayalah) orang-orang yang beriman." (Surah Al-Mu'minun, 23:1)

1. Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT 

Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap-sikap positif yang bakal disebutkan seperti ayat-ayat seterusnya. 

".. Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." (Surah Al-Mu'minun, 23:2) 

2. Fokus dan bersungguh-sungguh sepenuh hati.

Fokus apabila melakukan sesuatu perkara. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.

".. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)."  (Surah Al-Mu'minun, 23:3)

3. Prioriti.

Mengutamakan apa yang lebih utama. Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, meluahkan perasaan melalui status Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.

Sebaik-baiknya kita maksimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti menguruskan diri, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan sebagainya. Namun, sebaik-baiknya kita gunakanlah masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran.

InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran. Kita dikehendaki menghindarkan diri daripada perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara sebegini tidak mendatangkan faedah dan tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, tapi realitinya akan mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

".. Dan orang-orang yang menunaikan zakat." (Surah Al-Mu'minun, 23:4)

4. Prihatin sesama kita

Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, terutamanya ilmu dengan cara membantu mereka yang tidak mampu memahami sesuatu.

".. Dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." (Surah Al-Mu'minun, 23:5-7)

5. Menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggar batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan belajar berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan. Mungkin juga ada diantara kita yang memilih untuk berkongsi perasaan tertekan dengan cara mengadu kepada kawan-kawan berlainan jantina. Walhal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

".. Dan sungguh beruntung orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya." (Surah Al-Mu'minun, 23:8)

6. Jujur dan amanah

Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana? Seandainya kita rasa tidak yakin dengan jawapan kita maka sebutlah, "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

All da best, try out best & let Allah do the rest. [Kredit]

".. Dan orang-orang yang memelihara solatnya." (Surah Al-Mu'minun, 23:9)

7. Nilai menepati waktu dan menjaga solat

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita.

Jangan sekali-kali kita menggunakan alasan mengulangkaji pelajaran untuk membolehkan kita melewat-lewatkan solat. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan gulungan ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

"Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." (Surah Al-Mu'minun, 23:10-11)

8. Ganjaran Allah SWT

Hebat bukan? Seandainya kita mampu untuk mengaplikasi dan melaksanakan suruhan Allah SWT seperti keterangan ayat-ayat di atas, maka kita adalah orang yang sangat beruntung kerana bakal mewarisi Syurga Firdaus. Bukan sahaja mewarisi tetapi akan kekal didalamnya.

Wallahua’lam.

Bittaufiq wannajah fil imtihan! InsyaAllah, semoga Allah redha.


6 comments: