• Motivasi Dan DIY

    Creativity Beyond Measure

  • Tazkirah

    Sharing is Caring

  • Local Wrap

    Around Us

  • Friday Wrap

    Around The World

  • Baitul Muslim

    Kuliah Online Baitul Muslim

  • Kulinari

    Sugar, Spice and Everything Nice

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

LURUH DI MUSIM DINGIN

1 comments

 


Tetttt…

Aku memandang ke arah ‘handfone’. Berkelip-kelip menandakan ada mesej yang baru masuk.

“Mesti orang dari Malaysia ni. Kejap lagi la baca.” Aku mengalihkan kembali pandangan kepada pensyarah yang sedang mengajar. Kebiasaan mesej yang masuk waktu kelas, biasanya dihantar oleh orang di Malaysia. Perbezaan masa antara Rusia dan Malaysia ada waktunya membuatkan orang terlupa.

Aku sendiri pernah menelefon ibuku selepas pulang dari ‘lecture’. Hasilnya bebelan panjang aku terima kerana di Malaysia waktu itu sudah pukul 11 malam.

“Bro, aku dah balik Malaysia. Aku dah berhenti dari MAI.”

Aku termenung lama di hadapan skrin telefonku. Cuba mencerna dengan baik di mindaku.

“Dah selamat sampai la ni? So, apa perancangan kau selepas ini bro?”

Aku mengenali Irfan ini melalui blog. Aku seorang penulis blog dan dia juga seorang penulis blog. Bezanya dia pelajar engineering di Moscow dan aku pelajar medic di Nizhny Novgorod. Sejak dia meninggalkan komen di blog, persahabatan kami terus dieratkan lagi melalui whatsapp pula. Biasa la. Budak-budak zaman moden.

“Alhamdulillah dah Selamat sampai. Ko tak nak tanya ke kenapa aku berhenti MAI?”

Aku membaca mesej masuk dengan penuh hairan.

“Kenapa? Kau nak aku tanya ke?” Aku bertanya lagak seorang lurus bendul.

“Tak la. Aku pelik. Ko je setakat ni satu-satunya kawan aku yang tak tanya kenapa aku berhenti dan balik Malaysia.”

Aku tersenyum sumbing saat membaca mesejnya. Hakikatnya, hati aku melonjak-lonjak ingin tahu apa yang menyebabkan dia begitu nekad untuk berhenti dan pulang ke Malaysia.

“Aku rasa sebelum kau buat keputusan ni, mesti kau dah ambil masa yang lama untuk fikir masak-masak dan nilai mana yang baik, mana yang buruk. Jadi tak perlu untuk aku persoalkan rasanya.”

Jujur. Itulah yang bermain-main di fikiranku sehingga aku membantutkan niatku untuk bertanya kenapa dia ingin berhenti dan pulang ke Malaysia. Aku bimbang persoalanku itu nanti seolah-olah meragui keputusan dan kewarasan mindanya.

“Bro, kau memang ‘rare’. Semua kawan-kawan baik aku, keluarga besar aku kecuali mak dan ayah aku mempersoalkan keputusan aku.”

“Aku memang ‘rare’.  Sebab tu kalau kau pergi pasar malam, kau takkan jumpa orang jual seketul macam aku. Sebab aku ‘rare’ dan satu-satunya Ashraf yang ada.”

“Gila! Memang la kau tak de kat pasar malam. Apa kau ingat kau spesies ikan atau buah?”

Hahaha. Mati-mati aku ingat lawak aku hambar dan tak difahami, Rupa-rupanya masih ada insan di muka bumi yang memahami lawak aku yang tidak kelakar ini. Betullah orang kata. Lelaki yang suka menulis ni lelaki jenis jiwang, jadi yang jenis jiwang je la yang faham. Jiwang ke hakikatnya?

“So apa plan kau kat Malaysia lepas ni bro?”

“Aku ingat nak sambung bahagian sastera atau yang sama waktu dengannya. Sebab aku nak serius dalam penulisan dan menghasilkan banyak buku untuk bacaan orang ramai.”

“Bravo, bro. Nanti selitlah nama aku sikit dalam buku kau ye. Bukan apa. Aku sebenarnya gila glamour. Haha.”

“ Kau dah kenapa nak glamour? Nak jadi artis ke? Tak payah la. Muka kau macam muka samseng je. Confirm tak laku.”

“ Ishhh. Tak baik memfitnah. Bila aku famous nanti, orang akan follow Instagram aku. Jadi aku boleh la buat insta review. Masyuuukkk tu.”

“ Hahaha. Alasan kau mahu menangis kalau mak kau baca.”

“Hoi. Nama mak aku jangan kau sentuh ok. Hahaha. Aku meloyar je. Nanti dah keluar buku, roger-roger la. Aku nak beli sebuah. Jangan lupa tandatangan ok!”

“Tak tahulah berjaya ke tak aku hasilkan buku. Macam angan-angan je.”

“Tadi aku rasa semangat kau dah macam berapi-api. Kenapa tiba-tiba macam orang putus asa je?”

“Entahla. Semua orang mempertikaikan kenapa ubah fikiran tak nak teruskan belajar engineering. Sampai aku rasa, keputusan aku sangatlah salah.”
 



Aku menggaru kepala yang gatal. Bingung. Aku tak tahu ayat apa yang paling terbaik yang perlu aku tulis untuk menenangkan hati sahabat aku ini. Ayat apa yang paling terbaik untuk memujuknya bahawa keputusan yang dibuatnya adalah yang terbaik.
 
“Kau dah lama ke balik Malaysia? Kau tahu tak sekarang dah masuk musim apa?”aku membalas mesejnya dengan penuh soalan.
 
“Sebenarnya dah seminggu aku balik. Tapi baru hari ini aku ada keberanian nak bagitau kau dan kawan-kawan aku yang lain. Sekarang masih autumn kan?”
 
Butiran-butiran salii gugur dari langit. Walaupun sudah tahun masuk ketiga aku di Rusia, keterujaan aku menyambut salji pertama tak pernah berkurang.
 
“Hari ni dah turun snow. So winter is coming, bro.”
 
“Laaa. Dah winter ke? Tak sempat aku merasa. Ehhhh. Kejap! Apasal tiba-tiba kau cakap pasal musim dan cuaca dengan aku ni? Nak buat aku menyesal tak sempat rasa salji la tu kan.”
 
“Astaghfirullah bro. Tak baik fitnah hamba yang hina dina ini. Hehehe. Tak  ada la. Saja nak cakap yang musim dah berubah.”
 
“Ok, sorry. Ya la, musim sudah berubah.” Irfan seakan mengaku kalah dan kebuntuan idea membalas mesej aku.
 
“Bumi ini, apabila tiba masanya, dari musim luruh akan berubah ke musim sejuk. Tak semua orang suka musim sejuk dan tak kurang juga ramai yang menyukai musim sejuk. Tak lama lepas tu, musim sejuk akan berganti dengan musim bunga. Dan orang yang menyukai musim sejuk, akan membenci musim bunga.”
 
“Masha Allah bro. Kau dah kenapa bermadah pasal musim pula dengan aku? Tegak bulu roma aku!”
 
Aku tergelak membaca mesej Irfan. Memang aku ingin membiarkan dia tertanya-tanya.
 
“Kalau bumi pon berubah musimnya, apatah lagi manusia. Manusia pon berubah-ubah fikiran dan pegangan. Dan tak semua akan setuju dan suka seperti mana orang yang akan membenci musim sejuk kerana musim luruh yang disukainya berlalu pergi. Jadi teruskan sahaja melangkah.”
 
5 minit…10 minit…15 minit… 30 minit berlalu.
 
Namun tiada mesej balas yang aku terima. Berkali-kali juga aku pastikan adakah mesej yang aku taip tadi telah dihantar. Berkali-kali juga aku membaca kembali mesejku sekira-kiranya ada silap di mana-mana.
 
Cuti musim panas telah kembali. Setelah sepuluh bulan aku meninggalkan tanah airku, kini aku kembali. Sewaktu aku masuk ke dalam kereta, mama menghulurkan sebuah buku kepadaku.
 
“Nah, abang. Tadi mama pergi MPH. Mama tengok buku ni best seller bulan ni. Jadi mama belikan untuk abang. Abang kan suka baca buku bila cuti.”
 
Aku segera memeluk mama. Aku cium pipinya dengan penuh kasih sayang.
 
“Terima kasih mama sebab sokong hobi abang.”
 
Walaupun sepupu-sepupu lelaki selalu mengejek aku seperti perempuan kerana membaca buku dan novel di waktu lapang, bukannya bermain game seperti mereka, mama dan ayah tidak pernah mempertikaikan hobi aku.
 
“Lelaki yang banyak membaca dan berilmu itulah lelaki yang memiliki minda paling kacak.” Bisik ayah kepada aku sewaktu aku menangis diejek sepupuku sewaktu kecil dulu.
 
Aku mengoyak plastic yang membaluti buku tersebut. Menghidu bau baru buku. Bau yang paling aku suka mengalahkan bau minyak wangi mana-mana jenama mahal.
 
Jutaan terima kasih kepada pihak penerbit yang sudi menerbitkan karya picisan ini,
Terima kasih kepada mak dan ayah yang sentiasa menyokong langkah kaki ini yang goyah,
Dan jutaan terima kasih buat sahabatku Ashraf bin Azmi,
 
Aku terpaku seketika. Wah, wujud juga manusia lain yang mempunyai nama seketul seperti aku.
 
Benarlah bumi pun tidak selamanya kekal begitu, ada waktu bumi akan berubah musim,
Begitu juga manusia yang sentiasa berubah-ubah,
kerana itu aku menulis karya ini kerana aku malu pada bumi.
Jika bumi pun berubah musimnya, takkan aku mahu terus berdiri kaku tidak berganjak.

p/s: aku dah tunaikan permintaan kau untuk selitkan nama kau. Mudah-mudahan kau glamour. :P
 
Aku pantas menutup buku yang aku pegang. Aku melihat kulit buku dan aku membaca nama penulis yang tertulis di situ.
 
IRFAN ALIFF.
 
Bukan setakat bibir tetapi hati aku turut tersenyum gembira.


Read more

KETEGUHAN DALAM KEGOYAHAN

0 comments
Cerita hidup kita, mahupun cerita hidup mereka,
Ada pelbagai ranjau dan pelangi yang ditemui,
Tapi novel hidup orang, kita selalu tatap dengan penuh menarik,
Novel hidup kita entah dicampak hilang ke mana,
Sampai lupa bahawa watak kita dalam novel sendiri bagaikan kaku tak bernyawa.

“Bila anak saya kata nak jadi doctor, benda pertama yang saya tengok adalah biliknya dan almarinya.”

Hairan. Apa kaitan cita-cita menjadi doctor dengan bilik dan almari. Jujur aku bingung dengan kenyataan  cikgu sains jemputan sekolah itu.

“Bila saya tengok je bilik dan almari dia, saya kata: “kakak,I think doctor is not the best choice for you.””

Wahai cikgu, sesungguhnya saya memerlukan penjelasan yang lebih terperinci. Aku terus merenung mata cikgu tersebut dengan harapan, cikgu akan menyambung kata-katanya lagi.

“Awak tahu kenapa saya cakap macam tu pada anak saya?”

Semua menggeleng laju. Hebat gaya penghantaran cerita cikgu ini. Semua memberi focus dan seakan-akan tertanya-tanya dengan kesudahan ceritanya.

“Sebab bilik dan almari anak saya bersepah-sepah. Bagi saya, orang yang ingin mendalami bidang Sains memerlukan pemikiran yang tersusun dan strategik.”

“Ooooo.” Semua mengangguk seakan faham. Ada yang mengangguk seakan bersetuju dengan pandangan cikgu tersebut.

Kecuali aku. Aku tunduk ke bawah, kakiku cuba menguis-nguis permaidani yang dipasang di dewan itu. Hakikatnya aku kecewa.

Sejak sekolah rendah lagi, setiap kali cikgu-cikgu mengajukan soalan mengenai cita-cita, aku dengan yakinnya menyebut doktor atau cikgu. Tapi jika benar bidang Sains memerlukan orang yang kemas, aku adalah orang paling terakhir yang layak untuk bidang ini.

Almari aku bersepah. Baju asalkan terlipat dan tergantung seperti sepatutnya. Walaupun ada waktu aku kagum dengan junior locker sebelah aku yang menyangkut baju-bajunya mengikut warna, menyusun lipat setiap helaian baju mengikut saiz yang sama.

Aku cuba untuk jadi seperti itu. Malangnya seminggu pun aku rasa tidak berjaya. Patutlah mama selalu mengatakan bahawa dia keliru melihat anaknya ini berjantina perempuan tetapi berperangai seperti jantan.

“Kakak dah isi borang biasiswa?”

“Tak lagi. Tak tahu nak pilih MARA ke JPA.”

“Ayah rasa, better JPA. Akak fikirlah yang mana paling terbaik untuk akak. Nak minta bidang apa?”

“Medic.” Aku tenung muka ayah. Menjangkakan akan timbul persoalan, mengapa bidang perubatan yang aku pilih.

“Ok. Good. Moga tercapai cita-cita akak.” Ayah senyum melihatku dan aku pula terang-terang mempamerkan muka keliru.

Hakikatnya, aku tidak percaya itu respond ayah. Aku mengharapkan ayah akan bertanya panjang mengenai cita-citaku ini. Namun, ayah hanya memberi sokongan padu tanpa berbelah bagi.

Sebenarnya, aku mengharapkan ayah mempersoalkan cita-citaku supaya aku goyah dengan keputusan aku ini. Aku sendiri tidak yakin dengan diriku sendiri yang gila ini mahu menjadi seorang doctor satu hari nanti. Malu. Malu bilamana ayah lagi yakin dengan cita-citaku berbanding diriku sendiri.



    

“Ya Allah, ma!”

Aku yang seronok menonton cerita Korea di atas katil, segera memandang abangku yang menjerit memanggil mama di muka pintu bilikku.

“Kenapa?” Mama dengan segeranya datang seperti mana Superman terbang segera apabila mendengar jeritan memohon pertolongan.

“Entah abang. Kenapa?” Aku tak tahu kenapa abangku mengada-ngada menjerit memanggil mama. Abang sememangnya suka berdrama tapi mungkin sebab rupa paras yang tidak berapa kacak makanya abang tidak sesuai untuk menjadi pelakon.

“Mama, tengok bilik kakak ni. Macam tongkang pecah.”

“Biasalah tu abang. Mama tak larat nak berleter dah. Kalau mulut mama ni ada pasang skrew, dah lama skrew tu longgar dan tercabut.”

“Kenapa? Akak tengok bilik ni okey je.” Aku melihat setiap penjuru bilikku. Kosong rasanya. Hanya ada katil, almari dan meja.

“Cubalah hias susun macam bilik anak perempuan. Ini kosong je mama tengok. Kalau tetamu datang dan tak buka almari baju, confirm dia tak tahu ni bilik abang ke bilik kakak.”

“Patutlah kakak boleh ambil medic. Hidup pon bersepah.” Sambung abang aku. Mulutnya celupar betul. Kalau boleh aku cilikan, dah lama aku buat.

“Apa kaitan pula medic dengan bilik aku?” soalku dengan penuh rasa tak puas hati.

“Ye la. Kau boleh focus seratus peratus untuk belajar medic semata-mata. Tak susah-susah bazir masa nak mengemas. Budak medic kan selalu tak cukup masa. Nanti bila kau dah kerja, kau balik on call penat-penat pon kau mampu tidur lena walaupun ada selonggok lagi baju kau yang tak dilipat.”

“Dah. Tak payah membebel macam mak nenek. Sekarang keluar dari bilik kakak.” Aku menolak abangku keluar dan menutup pintu.

Dulu waktu sekolah, cikgu kata orang yang nak belajar bidang perubatan perlukan orang yang kemas dan tersusun. Hari ini, abangku pula dengan falsafahnya bahawa orang yang bersepah macam aku hakikatnya sangat sesuai untuk berada dalam bidang perubatan.




Oh, iye. Aku kini di tahun akhir bidang perubatan. Aku sememangnya anak nombor dua yang terkenal dengan kedegilannya yang tak boleh digoyah. Aku tetap dengan kedegilan untuk memilih bidang perubatan walaupun aku sedikit goyah selepas mendengar kata-kata Cikgu Sains tersebut dulu.

Sampai kini aku tetap juga tiada keyakinan seratus peratus pada diri aku sendiri. Bila gagal ujian dalam kelas, aku akan pulang termenung di atas katil, apakah medik ini adalah keputusan terbaik yang aku buat. Kemudian aku tertidur dan bangun seakan tidak pernah ada penyesalan.

Bila mana aku melihat kawan-kawanku dengan pantasnya mengingati segala fakta Sains, otak aku pula menjerit memohon oksigen dan bantuan kerana aku lemah dalam menghafal dan cepat dalam mengira. Sedangkan bidang perubatan memerlukan otak fakta dan bukannya otak mengira. Dan untuk kali keberapa aku mepersoalkan diri sendiri kenapa aku menolak tawaran ke Maktab Perguruan dalam bidang matematik.

Aku mungkin sentiasa keliru, sentiasa mempersoalkan akan kebolehan sendiri, namun aku sentiasa berdoa pada Tuhan, semoga terus diberi kekuatan untuk berjuang dan pulang berkhidmat pada masyarakat suatu hari nanti. Doakan aku dan kawan-kawan di tahun akhir bidang perubatan ini.

DAN ANDA? TERUSKAN DENGAN CITA-CITA ANDA WALAUPUN PELBAGAI KERAGUAN DATANG MENGGOYAHKAN KETEGUHAN ANDA. :)




JANGAN SENTIASA MENAGIH KEPERCAYAAN ORANG LAIN AKAN KEBOLEHAN DIRI KITA, JIKA KITA SENDIRI RASA GOYAH. HAKIKATNYA KITA AKAN SENTIASA TIDAK PERCAYA DENGAN KEBOLEHAN SENDIRI SEHINGGA KITA BERJAYA MELAKUKANNYA.


Read more

Di Manakah Engkau Saat Ini?

0 comments






Saat diri asyik dengan kedinginan angin mencengkam tulang, menghirup segar secawan teh di teratak nan mewah, menikmati pemandangan ,ditemani salji tak berpergian, sudahkah kau mensyukuri nikmat kurnian Tuhan?

“ Amir, khusyuk betul aku tengok kau tatap skrin ‘smartphone’ kau, ada apa-apa berita menarik ke dekat FB tu?” soal Ikram penasaran.

“ Ni, aku tengah tengok poster Aqsa Syarif tentang sumbangan untuk penduduk Palestin, Syria dan Iraq. Menarik poster keluaran kali ni. Aku paling suka ayat dekat poster tu, memang tersentuh hati kalau baca, ‘Winter Relief, Stories in the cold, worth to be told’. ’Cool’ kan ayat dia,” balas Amir penuh bersemangat.

“Best, best,best. Tapi aku nak tanya soalan lagi menarik ni. Cuti ‘winter’ ni kau pergi mana? Aku ingat nak pergi London. Macam seronok je, aku tengok orang pergi sana. Macam-macam dah aku fikir nak buat bila sampai sana. Kau tak pergi mana-mana ke?” soal Ikram tersenyum lebar membayangkan cuti yang akan tiba tidak lama lagi.

“Aku tak pergi mana-mana rasanya.Nak simpan duit sikit kali ni. Banyak betul duit kau. Hehe. Kalau macam tu, apa kata kau guna sikit duit kau, untuk bagi sumbangan dekat orang-orang ni? “ jawab Amir tersengih-sengih menghulurkan telefonnya kepada Ikram.

Setelah melihat poster yang tertera di skrin telefon Amir, Ikram membalas,
“Tak cukup nanti duit aku. Lagipun, macam banyak je, aku perlu bagi sumbangan bila dia buat pakej macam ni. Satu pakej RM 100, satu lagi RM 500. Kalau RM5 ke, RM 10 ke, ok juga. Duit RM 100 ni, kalau aku ambil pakej untuk melawat mana-mana tempat dekat London, banyak tempat boleh aku masuk, lagi seronok aku nak pergi bercuti,” balas Amir selamba.

“ Bro, aku tak nafikan, memang seronok pergi jalan-jalan. Tapi satu perkara aku nak bagitahu, keseronokan yang sebenar adalah, bila kau mampu berkongsi kesenangan, kegembiraan yang kau ada dengan orang lain, lebih-lebih lagi orang yang memerlukan macam diorang ni. Kau akan rasa seronok bila bercuti,tapi seronok tu sekejap , kau akan rasa waktu tu je. 

Kalau kau beri keseronokan dekat diorang, kegembiraan tu berkekalan, kau akan rasa gembira bila tengok diorang hargai dan guna sebaik-baiknya hasil pemberian penyumbang-penyumbang ni, dan yang paling penting, besar pahala yang kau akan dapat, ganjaran dekat akhirat lagi,” ungkap Amir dengan nada lembut dan penuh bersahaja, walaupun panjang lebar dia memberi nasihat kepada rakan karibnya itu.

“Aku tak faham dengan kau ni. Kau letak minyak pengasih apa dekat aku, sampai aku selalu nak dengar cakap dan tersentuh dengan percakapan kau? “ balas Ikram dengan gurauan.
“ Betul cakap kau. Aku setuju.Siapa lagi nak bantu diorang, kalau bukan kita sebagai saudara seagama dengan mereka, tapi aku macam tak cukup duit je sekarang, ”sambung Ikram.

“Apa kata kita kongsi duit untuk bagi sumbangan ni? Aku bagi ¾, dan kau bagi ¼ daripada jumlah RM 100  ni, ok tak idea aku?” ucap Amir sambil tersenyum melihat Ikram yang kelihatan bersalah terpampang di raut wajahnya. “ Bagus betul idea kau Amir. Tapi, ok ke kalau aku bagi sumbangan banyak tu je? Macam sikitlah pulak,” balas Ikram tidak keruan.

“ Tiada masalah bro, yang penting kau bersungguh-sungguh nak beri sumbangan dekat mereka, perasaan nak memberi yang ada dalam hati kau sekarang ni yang penting, bukan nilai yang kau bagi, bak kata orang,’ berilah dengan seikhlas hati’.Kau betul-betul nak bagikan, bukan sebab akukan? Hehe,” soal Amir sempat mengusik kawannya itu.

Betul lah ni, kalau sebab engkau, baik aku tak payah bagi, tak ada rasa nikmat memberi nanti. Aku pun nak jadi orang yang suka memberi, supaya aku antara golongan yang dicintai Allah, bukan kau je,” jawab Ikram membalas kembali usikan Amir dengan gurauan.

“Aku minta maaf bro, kalau kata-kata aku tadi, buat kau terasa,” ungkap Amir.
“Apa gunanya kawan kalau tak saling nasihat menasihati antara satu sama lain. Cakap nak masuk syurga sama-sama.Kau tegur je aku ni, kalau ada mana-mana yang silap, aku ok je bro,” ucap Ikram tersenyum.

“ Kau memang kawan baik akulah, Ikram. Jom, hari ni aku belanja kau makan”,balas Amir keriangan. “ Jom, orang kata rezeki jangan ditolak,” jawab Ikram sambil mengatur langkah mengiringi Amir menuju ke kedai makan kegemaran mereka.

Kehidupan diri kita yang diserikan dengan beribu nikmat, buat kita lupa untuk berpaling seketika dari tempat duduk yang penuh selesa, memandang dunia luar sana yang penuh mencabar. Pernahkah kita membayangkan, andai kata diri ini berada di tempat mereka? Sudahkah kita menilai sejauh manakah tahap hati nurani saat ini?

Celik mata, buka fikiran, pasakkan hati, cakna dengan keadaan mereka. Ambil beratlah dengan keadaan di sekeliling. Bukankah kita telah diingatkan, untuk tidak hanya sibuk meninggikan menara sendiri, tapi buatlah jambatan yang menghubung menara bersama?

Jangan kita lupa,insan di luar sana adalah saudara kita. Saudara yang mengharapkan belas ihsan untuk membela nasib mereka.Tidak tersentuhkah hati kecil kita, untuk mengambil tahu keadaan mereka?

Jika tidak mampu menyumbangkan wang dan harta untuk mereka, sebarkanlah berita mengenai keadaan mereka kepada insan  lain, mana tahu mereka boleh membantu dan jika kita juga tidak mempunyai waktu berbuat demikian, ingatkan diri kita untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan,keamanan dan kebahagiaan buat mereka.

Jadilah insan yang gemar memberi, selagi kita mampu. InshaAllah manfaatnya akan kembali kepada kitaa sama ada di dunia atau akhirat. ^_^






Ingatlah Saudaraku,

Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

“ Barang siapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan  dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah  nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan akhirat. Barangsiapa yang menutup ke’aiban seorang Muslim, nescaya Allah menutup ke’aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa yang melalui jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga. Sesuatu kaum (kelompok manusia) tidaklah berkumpul di satu rumah (masjid) daripada  rumah-rumah Allah, sambil membaca Al Quran, saling memperbetulkan bacaan dan memahami kandungannya, kecuali as Sakinah (satu makhluk Allah yang terdapat rahmat dan ketenangan,serta ditemani para malaikat) akan turun kepada mereka dan mereka diselubungi rahmat. Mereka juga dilinkungi oleh para malaikat,serta dipuji dan disebut oleh Allah di kalangan (para malaikat) yang ada di sisiNya. Sesiapa yang diperlahankan oleh amalannya(kerana amalan yang sedikit) dia tidak dipercepatkan oleh keturunannya( keturunan tidak akan diangkat darjatnya).”


Hadis diriwayatkan oleh Al Imam Muslim
 ( Hadis 36,hadis 40 Imam Nawawi)




Read more

ST. PETERSBURG || REMEMBRANCE IN JUMAAH AGAINST LUST(R.I.J.A.L)

0 comments
Tazkirah R.I.J.A.L.(Remebrance In Jumaah Against Lust) Alhamdulillah pada 27 November, jumaat baru-baru ini sekumpulan mahasiswa penuntut jurusan kejuruteraan di State Marine Technical University of St. Petersburg telah mengadakan satu sesi tazkirah yang berkisar tentang kebersihan. Kebersihan yang dimaksudkan adalah; 1)dari segi rohani, yang berkisar tentang menjauhkan diri dari kesyirikan dan membersihkan jiwa dan akidah dengan menyembah Allah semata-mata, menyucikan diri dengan ilmu yang diambil dari dua sumber yang sahih, al Quran dan As-sunnah dan membersihkan diri dengan menjauhi diri dari sifat-sifat mazmumah seperti riyak, ujub dan takbur. 2)dari segi jasmani, yang menyentuh soal penjagaan kebersihan diri sendiri dan sekeliling, yang sepatutnya telah menjadi norma dalam kehidupan seorang muslim dengan menitik beratkan soal kebersihan dari sekecil-kecil perkara seperti memotong kuku, membersih bilik tempat tinggal sehingga lah sebesar-besar perkara seperti soal kebersihan tempat awam yang menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai warga. Jelaslah bahawa, kebersihan bukan soal yang remeh, bahkan ianya amat dituntut dalam Islam sebagai mana di dalam Quran Allah berfirman; ".....Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." -Baqarah:222






Read more

Tazkirah: Penyakit Wahan?

1 comments
WAHAN.

Buntu. Sesak. Lemas.
Aku tenggelam dalam lautan dunia. 
Ditarik-tarik terus ke dasar bumi. 
Graviti menjadi musuhku.
Lepaskan. Bebaskan. 
Aku butuh senafas udara. STAT.

Cinta dunia. 
Cinta si dia yang sering aku dambakan. 
Umur yang panjang bak pinta Firaun.
Harta yang melimpah seperti Qarun. 
Populariti di kaca mata dunia.
Lemas dan terus lemas.

Aku takut. 
Bukan. Belum tiba waktunya lagi.
Aku tidak bersedia lagi wahai Izrail.
Amalku. Aku belum yakin dengannya. 
Dosaku. Setinggi banjaran Himalaya.

Aku perlukan sepasang tangan. 
Untuk menarik tubuh ini,
Dari terus hanyut dibawa arus dunia.

Aku perlukan satu tolakan kesedaran.
Biar jatuh sekarang, bukan terlena selamanya.
Agar bangkitku kuat, tidak selemah dahulu.

Aku perlukan redha Sang Pencipta. 
Untuk terus kukuh di bumi penuh dugaan,
Tanpa terjerumus dalam pasir jerlus sekali lagi.

Kini aku hargai sedetik masa.
Senafas udara, sekawan ukhuwah.
Kerana aku mula faham, 
Dunia itu letaknya di tangan bukannya di hati.
Terima Kasih ya Allah. 
Moga aku istiqamah.

Hadis Rasulullah tentang penyakit wahan.
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; 
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". 

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" 

Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan". 

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" 

Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". 
(H.R. Abu Daud)

Wallahu'alam.




Read more

MOTIVASI : BERFIKIRAN POSITIF DENGAN ALLAH

0 comments
Assalamualaikum wbt.

                Malaysia kian tenggelam!! Hampir seluruh negeri di pantai timur dan sesetengah di pantai barat dicurahi rahmat tuhan tanpa henti hingga menyebabkan semua harta benda tenggelam dan juga orang tersayang yang terkorban ketika bah itu melanda. Adakah sesetengah makhlukNya menganggap bah ini sebagai satu musibah atau satu nikmat?Atau satu balasan terhadap perbuatan mereka? Apa sifat positif yang perlu kita tanam dalam diri ketika menghadapi situasi ini? 

…………….


                       Ada  seorang  lelaki  yang  tinggal  berdekatan  sebuah  sungai.  Musim  tengkujuh  sudah  tiba.  Hampir  tidak  ada  hari  tanpa  hujan  baik  hujan  rintik-rintik  mahupun  hujan  lebat.  Pada  suatu  hari  terjadi  bencana  di  daerah  tersebut. Hujan  lebat  tidak  berhenti, permukaan  sungai  semakin  lama  semakin  naik,  dan  akhirnya terjadilah  banjir.

                         Saat  itu  paras  air  sudah  sampai  ketinggian  lutut  orang  dewasa. Orang – orang  sudah  mulai  mengosongi daerah  tersebut,  takut  kalau  permukaan  air  semakin  tinggi. Lain  dengan  orang-orang  yang  sudah  mula gelisah  untuk  menyelamatkan  diri,  lelaki  tersebut  tampak  tenang  tinggal  di  rumah. Akhirnya  datanglah trak  penyelamat  berhenti di hadapan  rumah  lelaki  tersebut.

“Pakcik,  cepat  masuk  ikut  trak  ini, tidak  lama  lagi  banjir  semakin  tinggi”, teriak  salah  seorang  penyelamat  kepada  lelaki  tersebut.

Si  lelaki  menjawab “Tidak  mengapa, terima  kasih, anda  terus  saja  menolong  yang  lain. Saya  pasti  akan diselamatkan  Tuhan. Saya  ini  kan  sangat  rajin  berdoa.”

                   Setelah  beberapa  kali  memujuk  tetapi  tidak  berhasil,  akhirnya  trak  tersebut  meneruskan  perjalanan  untuk menolong  yang  lain. Permukaan  air  semakin  tinggi. Ketinggian  mulai  mencapai  1.5 meter. Lelaki  tersebut masih  di  rumah, duduk  di  atas  almari. Kemudian  datang  pula  pasukan  penyelamat  yang  kedua  dengan membawa  perahu  dan  berhenti  di  hadapan  rumah  lelaki  tersebut.

“Pakcik,  cepat  ke  sini, naik  perahu  ini. Keadaan  semakin  tidak  terkawal. Kemungkinan  air  akan  semakin meninggi.”

                    Lelaki  tersebut  mengulang  lagi  “Terima  kasih,  tidak  usah  menolong  saya, saya  orang  yang  beriman, saya yakin  Tuhan  akan  selamatkan  saya  dari  keadaan  ini.”Perahu  dan  pasukan  penyelamat  pun  pergi  tanpa  membawa  lelaki  tersebut.

                      Ramalan  banjir  semakin  besar  ternyata  menjadi  kenyataan. Ketinggian  air  sudah  semakin  tinggi  sehingga air  sudah  hampir  menenggelamkan  rumah-rumah  disitu. Lelaki  itu  kelihatan  di  atas  atap  rumahnya  sambal  terus  berdoa.

                      Datang  lagi  sebuah  helicopter  dan  pasukan penyelamat. Pasukan  penyelamat  melihat  lelaki  tadi  duduk  di atas  atap  rumahnya. Mereka melempar tangga tali dari  helikopter. Dari  atas  terdengar  suara  dari megaphone: “ Pakcik, cepat  pegang  tali  ini  dan  naiklah  ke  sini.” Tetapi  lelaki  tersebut  menjawab  dengan berteriak, “Terima  kasih, tapi  anda  tidak  usah  menolong  saya. Saya  orang  yang  beriman  dan  rajin  berdoa. Tuhan  pasti  akan  menyelamatkan  saya.”

                       Ketinggian  banjir  semakin  lama  semakin  naik, dan  akhirnya  seluruh  rumah  di  daerah  tersebut  sudah terendam  seluruhnya.

                        Bagaimana nasib lelaki tersebut?Lelaki tersebut akhirnya mati tenggelam.Di  akhirat  dia  dihadapkan  pada  Tuhan. Lelaki  ini  kemudian  mulai  berbicara  bernada  protes, “Ya  Tuhan, aku  selalu  berdoa  padamu, selalu  ingat  padamu, tapi  kenapa  aku  tidak  engkau  selamatkan  dari  banjir itu?”Tuhan  menjawab  dengan  singkat, “Aku  selalu  mendengar  doa-doamu, untuk  itulah  aku  telah  mengirimkan  trak, kemudian  perahu  dan  terakhir  helikopter. Tetapi  kenapa  kamu  tidak  ikut  salah satu  pun?

                         Sebuah  cerita  menarik. Demikian  juga  dalam  kehidupan  kita, kita  berusaha  dan  selalu  berdoa  kepada Allah s.w.t.  dan  mungkin  Allah  sudah  sering  mengirimkan  “trak”, “perahu”, dan “pesawat” kepada  kita, tapi  kita  tidak  menyedarinya. Dan  masih  kau  tidak  mahu  bersikap  positif  sama  Tuhan ?


Wallahua’lam..



Read more

Keranaku Manusia Punya Harapan

0 comments
HARAPAN.


Assalamualaikum w.b.t.
Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Harapan itu bagaikan peta kehidupan, yang mana manusia berjalan sesuai dengan harapannya. Mengukir dan mencorak langkah dengan harapan. Setiap manusia begitulah fitrahnya.
Dan untuk setiap muslim yakni anda , anda dan anda yang digerakkan hati oleh Allah untuk meniti bait-bait perkataan yang tertaip di skrin komputer mahu pun telefon pintar anda sekarang di saat ini, harapan yang anda bawa haruslah bersama Iman.

Harapan dan Iman itu bergerak sejajar. Kenapa dan bagaimana?
Apabila adanya iman, maka wujudlah harapan, dan apabila tidak ada iman maka harapan itu sukar untuk terwujud.

Bagaimana?
"Dan janganlah berputus asa dari rahmat Allah, bahwa sesungguhnya tidak ada seorang pun yang berputus asa dari rahmat Allah, melainkan mereka termasuk orang-orang yang kafir."
(Yusuf: 87)
"Dan tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Allah kecuali orang-orang yang sesat."
(Al-Hijr: 56)

Bilamana kita yakin dan beriman dengan setiap kalimah yang Allah wahyukan kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW, maka ayat-ayat ini seharusnya menjadi pemangkin semangat kita untuk terus berharap. Kepada siapa? Sudah terang lagi bersuluh kepada Yang Maha Pencipta, Allah Azza Wajalla. Maka, letakkanlah pengharapan mu tanpa kenal erti putus asa itu sendiri.

Harapan dan Angan-Angan.


“Man purposed and God disposed”
Human beings can make any plans they want, but it's Allah that decides their success or failure.

Harapan (ar-raja’) haruslah disertai dengan amal(perbuatan) ataupun effort, yakni usaha dari diri kita sendiri. Itulah yang membezakan harapan dan angan-angan. Jika membiarkan setiap apa yang kita harapkan sekadar angan tanpa amal, eventually it will remain as an empty dream.

Sandarkanlah setiap harapan kepada Si Pemberi Harapan.
Mulalah membina harapan yang menghubungkan dunia dan akhirat insyaAllah. Berharaplah , berusahalah dan ingatlah untuk meletakkan harapan untuk menemui Allah dalam keadaan Allah redha kepada kita dan kita redha kepadaNya, sebagaimana firman Allah SWT :
" Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadanya, yang demikian itu bagi orang yang takut kepada Tuhannya ".
( Al-Bayyinah : Ayat 8 )

Wallahua’lam.


Read more

Malaysia, Mu Tunggu Aku Datang!

0 comments



Jika anda mempunyai kawan (baca:friend) di facebook yang merupakan pelajar Malaysia di luar negara khususnya di Rusia, atau mengikuti (baca:follow) mereka di laman instagram, wall anda kini pasti dipenuhi dengan status dan gambar-gambar beserta #hashtag comel berbaur ke-malaysia-an seperti #Malaysia,mutungguakudatang!, #Malaysia,i'mcomingbackhome! , #Malaysiaakubalik! dan sebagainya. Ada juga yang sudah memuatnaik gambar-gambar atau membuat status penyataan bahawa mereka sudah berada di Malaysia, tak kurang juga yang memuatnaik gambar mereka menonton World Cup di kedai-kedai mamak. Namun tak dilupakan juga mereka yang masih berada di bumi Soviet dan bertungkus lumus serta bersengkang mata menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan yang masih lagi berbaki. Gambatte, perjuangan perlu diteruskan!

Pulang ke Malaysia adalah saat yang paling dinanti-nantikan oleh setiap jasad anak Malaysia yang berada di Rusia, terutamanya apabila musim panas menjelang tiba. Namun pernahkah anda terfikir, adakah rutin anda pulang ke Malaysia adalah sama pada setiap tahun? Kalau ya, adakah rutin itu mejadikan anda seorang yang lebih produktif dari masa ke semasa? Penulis (insan hina yang menulis entry kali ini) melihat, rata-rata pelajar di Rusia apabila pulang bercuti di Malaysia, akan menjadi seseorang yang 'berbeza' daripada dirinya apabila berada di perantauan. Berbeza dari sudut apa? Anda ketika di perantauan merupakan seorang Superhero. Ya, semuanya anda mampu lakukan sendiri. Contohnya, segi skill pertukangan, andalah yang paling mantap men'drill' dinding di bilik untuk memasang almari gantung, yang paling hebat memegang spanar dan skru untuk memasang katil double-decker yang baru di beli dan anda jugalah yang membetulkan paip yang tersumbat di sinki rumah anda. Dari segi skill memasak pula, bermacam-macam jenis masakan dan juadah sudah berjaya anda hasilkan menggunakan jari jemari Superhero anda itu. Malahan, anda berjaya menghasilkan juadah Malaysia dengan menggunakan bahan-bahan tempatan Rusia sebagai ganti kepada beberapa bahan Malaysia yang tidak berjaya didapati di sini. Hebat! Anda jugalah yang mengangkat hampir 10kg barang menggunakan kudrat tangan anda setiap kali pulang membeli barangan dari supermarket. Bukan itu sahaja, anda hanya menggunakan public transport untuk ke sana sini, hatta apabila membawa barang-barang seberat 10kg itu. Wah, boleh pengsan dek terpegun mendengar kehebatan Superhero yang anda miliki itu!

Namun, apa yang jadi tatkala dua kaki anda telah menjejaki bumi Malaysia yang tercinta? Ya, anda masih lagi menjadi Superhero, namun dengan gaya yang agak berbeza. Andalah yang paling hebat menjejaki kedai-kedai makan yang ada di sekitar kawasan rumah anda, malahan sanggup pula memandu kenderaan jauh-jauh jika anda tahu di sana ada tempat makan yang berbaloi. Anda juga yang paling banyak menghabiskan masa di atas katil dengan alasan untuk qadha' (baca: ganti) tidur. Anda juga mungkin banyak menghabiskan masa di depan laptop, melayani adik-adik atau anak buah anda bermain games, malahan andalah juga juara bertahan bersengkang mata untuk menonton pasukan bola kegemaran anda beraksi di World Cup. Fuh, berpeluh juga mendengar skill Superhero-versi-Malaysia anda ini! Ke mana pula hilangnya skill Superhero anda sepanjang berada di bumi Soviet?

Memetik kata-kata Sheikh Abdul Wahab Azzam, "Pikiran tak dapat dibatasi, lisan tak dapat dibungkam, anggota tubuh tak dapat diam. Kerana itu jika kamu tak disibukkan dengan hal-hal besar, kamu akan disibukkan dengan hal-hal kecil". Kerana hakikatnya, kita tidak akan dapat duduk diam dan akan tetap berbuat sesuatu, maka baiklah kita memilih untuk melakukan sesuatu yang luarbiasa. Mungkin kali inilah peluang untuk anda merubah rutin kehidupan anda yang biasa sepanjang pulang bercuti di Malaysia kepada rutin yang luarbiasa, sekaligus memaknai jawatan Superhero yang anda sandang ketika anda berada di perantauan. Mari sama-sama mencuba beberapa tips yang boleh dilakukan sebagai langkah permulaan untuk kita menjadi Superhero yang luarbiasa, malahan boleh menjadikan ahli keluarga dan sahabat handai di Malaysia pengsan melihat skill Superhero yang berjaya anda terap dalam diri anda ketika menjadi perantau. Berikut adalah tips yang boleh dicuba;

1. Mulakan dengan Bismillahirrahmaanirrahiim.

2. Pasang seberapa banyak niat yang anda mahu. Luruskan semua niat hanya kepada Allah swt.

3. Sediakan sebuah buku nota kosong (apa-apa jenis buku yang anda sukai) yang boleh anda gunakan untuk mencatat.
  • Tuliskan tajuk pada kulit buku itu sebagai 'Superhero's Diary'.
  • Pada muka surat pertama, tuliskan tajuk 'To-Do-Lists'. Senaraikan di bawahnya senarai aktiviti-aktiviti luarbiasa yang ingin anda lakukan sepanjang bercuti. Sebagai contoh: menghadiri program RSSR anjuran Azam Russia, bangun awal pagi setiap hari untuk solat subuh berjemaah dengan ahli keluarga, beriadah bersama adik beradik pada waktu petang, menghabiskan bacaan tiga buah buku dalam masa cuti, membantu ibu memasak di dapur, bertadarus, bertarawih dan qiamullail bersama keluarga di bulan Ramadhan, ziarah ahli keluarga atau sahabat handai setiap minggu, khatam 30juz Al-Qur'an dalam bulan Ramadhan dan sebagainya.
  • Sebelum memulakan catatan, gunakan satu mukasurat untuk memuatkan kata-kata hikmah dan semangat yang diambil daripada Al-Qur'an, hadis, kata-kata sahabat serta figura-figura dunia yang berjaya, sebagai motivasi tatkala anda berasa lemah.
  • Gunakan mukasurat-mukasurat seterusnya untuk membuat segala catatan tentang aktiviti-aktiviti yang anda lakukan. Catatkan kejayaan, kekurangan mahupun peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang percutian anda.
  • Apabila berjaya mencapai sesuatu target, ucapkan Alhamdulillah dan hadiahkan diri anda dengan sesuatu seperti ajak adik beradik anda keluar makan di restoren kegemaran (tapi ingat, jangan sampai berlebihan) :). Jika kurang berjaya mencapai target, cubalah beristighfar, muhasabah dan usaha lagi.

4. Jangan lupa berdoa dengan sungguh-sungguh dan hasilkan momentum untuk fokus, istiqomah dan tak mudah putus asa. Bismillah, jalan saja!


Malaysia merupakan medan perjuangan untuk kita mempraktikkan segala 'survival skills' yang kita latih dalam diri kita semasa di perantauan. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi 'Superhero' dalam erti kata yang sebenar tidak kira di mana kita berada dan menjadi lebih produktif dan bermanfaat dari hari ke hari.

“ Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Mafhum Hadith Rasulullah SAW.

P/s: Jangan lupa untuk membuat persiapan yang mantop ke arah menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubarak yang dinanti-nantikan. Jom saksikan video-video dari Azam Russia yang memaparkan tips-tips menarik dari sahabat-sahabat kita tentang persedian menyambut Ramadhan. Di sini, kami kongsikan dua link video dari Azam Russia|Journey Towards Ramadhan. Nantikan video-video berikutnya pada hari-hari seterusnya. Akhir kata, selamat pulang ke Malaysia dan selamat menjadi produktif!
















Read more