Adab Bermusafir

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, satu semester telah berjaya kita tempuhi.

Ini bermakna, ramai di kalangan kita yang sedang menikmati cuti musim sejuk.

Musim cuti sejuk amat sinonim dengan percutian ke negara-negara lain dan ada juga yang mengambil kesempatan cuti ini untuk pulang ke tanah air tercinta, Malaysia.

Namun begitu, musim cuti tidak bermakna kita boleh bercuti dalam semua perkara.

Hal-hal dakwah dan tarbiah tidak harus di abaikan, tetapi seharusnya kita menggunakan peluang masa terluang yang ada untuk dipenuhi dengan sesuatu yang berfaedah.

Jangan sekali-kali kita membiarkan diri kita futur dek tertipu dengan nikmat masa lapang yang ada.



Dari Ibnu Abbas RA, dari Rasulullah SAW bersabda: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia terpedaya dengannya ialah waktu sihat dan masa lapang." (Riwayat Bukhari)

Adakah kita termasuk dalam orang yang terpedaya seperti yang disebutkan di dalam hadis tersebut? Mudah-mudahan kita sedia merencana langkah yang bijak bagi mengisi masa lapang, apatah lagi musim cuti yang menjanjikan kita dengan pakej-pakej pelancongan yang menarik. Tetapi, tanpa kita sedari, kita terlalu sibuk untuk merancang perjalanan dan percutian yang menarik hingga kita lupa untuk menyediakan perancangan yang cukup untuk memenuhi tuntutan ruhiyyah Islami yang ternyata lebih penting. 

 






Oleh hal yang demikian, dalam merancang perjalanan, kita seharusnya tidak mengabaikan adab dan sunnah Rasulullah dalam bermusafir. Antaranya ialah: -



1- Niat dan tujuan yang baik

Sebelum merancang dan memulakan perjalanan, marilah sama-sama kita semak kembali niat dan tujuan kita bermusafir. Jika tujuan kita hanya untuk bersuka ria dan melepaskan tekanan selepas menghadapi peperiksaan akhir semester, maka wajiblah bagi kita untuk memperbaiki kembali niat tersebut. 


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-Katthab RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."



2 - Solat sunat 2 rakaat

Sebelum meninggalkan rumah, kita disunatkan untuk menunaikan solat sunat 2 rakaat. Dengan menunaikan solat ini, bermohonlah kepada Allah SWT agar Dia memberikan keselamatan, kemudahan serta memberkati perjalanan yang hendak dilakukan.



“Tidaklah seseorang meninggalkan sesuatu bagi keluarganya yang lebih baik daripada solat 2 rakaat yang dilakukan di sisi mereka ketika berniat untuk bermusafir." (Riwayat Tirmizi)



3 - Memulakan perjalanan pada waktu malam


Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.” (Riwayat Abu Daud)




4 - Bawa beg kecil berisi barang peribadi

Ketika bermusafir, Nabi SAW ada membawa satu beg kecil yg diisikan siwak, sikat, cermin dan celak. Ini akan memudahkan Nabi SAW untuk bersuci sepanjang tempoh bermusafir.



5 - Banyakkan berdoa

Rebutlah peluang untuk memperbanyak berdoa sepanjang perjalanan, doakanlah kedua ibu-bapa dan para Muslimin amnya atau siapa sahaja.


Dari Abu Hurairah RA berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Abu Daud)



6 - Sunnah al-Huda (Nyanyian musafir)

Bagi menghilangkan ketegangan dan keletihan dalam perjalanan, disunatkan juga mendengar nyanyian. Ketika bermusafir, Nabi menyuruh sahabat yang pandai bersyair seperti Kaab bin Zubair untuk mengalunkan syairnya. Sunnah ini jelaslah amat bertentangan dengan sikap segolongan remaja masa kini yang lebih memilih untuk menyanyi dan mendengar alunan lagu-lagu yang melalaikan.



7 - Membeli buah tangan

Kebiasaannya, kita memang membawa pulang buah tangan kepada keluarga dan rakan tersayang tetapi kita tidak mengetahui bahawa amalan tersebut merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW. 
Biarpun hadiah yang dibawa pulang itu kecil dan tidak tinggi harganya, tetapi ia amat bernilai bagi orang di sekeliling yang menerimanya. Dan diharapkan hadiah itu mampu mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengeratkan tautan hati insyaAllah.





“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.” (Al Hajj, 22:46)


Post a Comment