Mabuk Kepayang.. Erkkk??

0 comments

Assalamualaikum wbt. 

Bismillahirahmanirahim.

Pernah anda melihat orang yang sedang mabuk? Macam mana keadaan mereka? Pada kaca mata saya, mereka kelihatan seperti seorang yang dahaga, berada dalam keadaan yang kusut masai, suka bercakap seorang diri dan tertidur dalam keadaan yang tenang. Seolah-olah tiada masalah. Kadang-kadang, ada juga yang masih lagi mahu meminta. Seolah-olah belum puas lagi.


Errr…. Adakah anda fikir saya sedang mengisahkan tentang kehidupan seorang kaki arak? Kalau itu yang anda fikirkan, anda betul. Adakah anda fikir, istilah mabuk hanya untuk golongan kaki alkohol maka anda salah. Cuba anda luaskan pemikiran anda. Berfikir diluar kotak. Kerana inilah yang terjadi pada mereka yang sedang mabuk dalam hal-hal mereka. Tidak kira, mereka yang mabuk bercinta, mereka yang mabuk judi, serta mereka yang mabuk harta dan kuasa. Golongan – golongan ini, melaksanakan sesuatu atas kemahuan mereka itu sehingga tidak sedar diri. Malah ada juga sanggup menghalalkan sesuatu yang haram. Nauzubillah. Golongan-golongan ini seperti kehilangan panduan. Sanggup berbuat apa sahaja untuk memenuhi keinginan mereka. Sanggup mengorbankan orang lain.

Tapi kita juga tidak menyedari bahawa ada juga golongan yang mabuk ini, tapi masih ada panduan. Melaksanakan sesuatu dengan rela diri malah dalam keadaan kesedaran diri yang penuh. Siapakah golongan ini? Mereka ialah golongan mereka yang mabuk cinta kepada Allah, mereka golongan yang mabuk cinta kepada Rasullulah. Ketahuilah teman, nikmat islam kita yang dikecapi sejak lahir lagi adalah atas usaha golongan mereka yang mabuk ini. Ketahuilah teman, para sahabat Baginda yang begitu mabuk dengan cinta mereka itu menagih janji mereka. Mahu berjumpa, bersama dan tiada yang mampu pisahkan mereka lagi di suatu tempat yang tidak terbayang keindahannya iaitu di Jannah.

Betulkah kita begitu mencintai Allah dan Rasullulah? Cintanya Bilal kepada Allah dab Rasullulah, sehingga menangis semasa melaungkan azan. Cintanya Abu Bakar kepada Allah dan Rasullulah sehingga sanggup menghabiskan harta dan rela menyerahkan kakinya untuk disengat oleh binatang berbisa di gua Sur. Cintanya Umar Al-Khattab kepada Allah dan Rasullulah, sehingga mencadangkan kepada Abu Bakar supaya mengumpulkan mashaf Al-Quran dan dibukukan biarpun hal sedemikian belum pernah dilakukan oleh Baginda sendiri. Di manakah bukti bahawa kita mencintai Allah dan Rasullulah?

 Allah begitu mencintai kita sehingga memberi kita nikmat yang melimpah ruah. Sebut sahaja nikmat anda perolehi, masih banyak lagi nikmat yang tersebut.

Jika kamu jadikan air di lautan sebagai dakwat, ranting pada pohon sebagai pena, masih banyak nikmat Allah yang belum tertulis. –Anonymous-

Rasullulah begitu mencintai kita sehingga disaat kewafatan Baginda, ungkapan ‘ummati’ sentiasa diucapkan. Para sahabat begitu mencintai kita, sehingga Islam tersebar dengan meluasnya. Baginda pernah bersabda,

“Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”.
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.
Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).



Jadi, dimana bukti anda mencintai Allah dan Rasullulah? Jika benar kita cinta kepada Allah & RasulNya..mari buktikan. 

Wallahu'alam.




Post a Comment