Untuk Siapakah
Amalan Ini?
Untuk siapakah amal ini? [Kredit] |
Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim.
Sedang amalan-amalan harian ku lakukan,
timbul pelbagai penyakit hati. Riak. Ujub. Sombong. Aku sedar. Namun, aku tidak
tahu bagaimana caranya untuk menyembuhkan hatiku ini. Sungguh, aku takut
penyakit-penyakit ini menjadi asbab amalan-amalan yang aku usahakan selama ini
menjadi sia-sia. Alangkah ruginya. Untuk siapakah amalan ini?
Murabbi berpesan agar aku menjaga
amalan-amalan khusus yang aku
istiqamahkan. Aku diberi 'mutabaah
amal' yang semakin lama
semakin bertambah. Amalan-amalan ini ku ulangi. Ada yang perlu dilaksanakan
setiap hari, ada yang setiap minggu. Namun, hati terasa kosong. Terasa seperti
amalan-amalan ini ku laksanakan semata-mata untuk memenuhi ruangan borang
mutbaah amal yang perlu ku isikan. Untuk siapakah amalan ini?
Sambil mengejar untuk melakukan pelbagai
perkara, sedar tak sedar, aku sedang berlumba-lumba dalam melakukan
amalan-amalan tersebut. Asalkan selesai. Hati entah ke mana. Bukankah saat ini
saat untuk berzikir kepada Allah? Meskipun suatu amalan itu selesai, ia berlalu
dengan laju tanpa memberiku kesempatan untuk sebarang penghayatan. Ke manakah larinya
hatiku ini? Untuk siapakah amalan ini?
Ku hayati kata-kata Syeikh Ibn Athoillah
ini:
"Bagaimana mungkin hati akan terang
bercahaya sedangkan masih ada gambaran makhluk di dalam hati. "
Ya Rabb. [Kredit] |
Allahu Allah. Astaghfirullah. Gambaran-gambaran makhluk memenuhi ruangan
mata hati ku. Di manakah keikhlasanku? Di manakah aku meletakkan diriku sebagai
hambaNya? Untuk siapakah amalan ini?
Hati mampu menjangkau semua yang tidak
dapat dijangkau oleh fikiran serta angan-angan. Hati tempat tilikan Allah. Dari
hati itulah hakikat manusia dinilai oleh Allah. Wahai diri, hadirkanlah hatimu
dalam setiap amalmu. Wahai diri, hidupkanlah Allah dalam hatimu. Untuk siapakah
amalan ini?
Allah tidak perlu kepada amalanku, sedangkan aku yang memerlukannya
demi mencapai redhaNya. Untuk siapakah amalan ini? Untuk Allah. Untuk mencapai redhaNya.
WAllahualam.
Post a Comment