KEMBALIKAN AKU YANG DIRINDUI

0 comments




Sehelai kertas berlipat kemas, aku temukan di dalam buku notaku. Perlahan-lahan aku membuka lipatan itu.Tiada sebarang nama pengirim tertulis,namun aku dapat mengagak siapa pengirim itu.
Jendela bilikku terbuka luas, kedinginan menguasai diri. Sebelum sempat dibaca isi kandungan kertas itu, aku mengambil seputung rokok di dalam kotak ‘Dunhill’ yang terletak di atas meja. Berteleku aku di jendela sambil menikmati asap rokok yang dihembuskan , cuba menghangatkan diri menatap suasana malam yang kian sepi.
Aku mengalihkan perhatianku, menatap kembali kertas yang digenggam erat.

“Aku rindu dia yang dahalu, sahabat seperjuangan yang aku percaya mampu menjadi orang-orang yang hebat. Insan yang boleh ku banggakan sebagai seorang sahabat.”

Bukan aku ingin menjadi insan yang mengambil tahu urusanmu,
Kehidupanmu adalah hakmu,
Jalan yang kau pilih  adalah kehendakmu,
Namun perlu kau tahu,
Sebagai seorang teman,
Saudara seagama yang mempunyai tanggungjawab padamu,
Sebagai seorang yang mengetahui serba sedikit kisah hidupmu,
Tergerak diri ini,
Mengutuskan sekeping surat buatmu.

Aku tahu,
Engkau sudah cukup dewasa untuk memikirkan baik buruk kehidupanmu,
Hanya satu pesanan dariku buatmu,
Refleksikan kembali kisah hidupmu,
Jalan yang diaturkan buatmu,
Tidak  kosong kerana ada nilai tersirat di sebaliknya.

Ujian yang kau lalui sebelum ini,
Adalah rasa kasih dari Pencipta buatmu,
Untuk kau refleksikan kembali,
Dosa noda yang pernah kau lakukan,
Sebagai manusia yang sentiasa alpa.

Kerana kasih dariNya,
Kau masih hidup hari ini,
Diberi peluang untuk kembali padaNya,
Cukuplah diri,
Sampai bila kau harus mengkhianati,
Kasih sayangNya padaMu?

Takungan air mata Imran seakan-akan sudah penuh, menunggu masa berlinangan di pipi. Sebak dirinya.Dia dapat merasakan keikhlasan si penulis dalam bait-bait kata yang diungkapkan.
                              ********************************************



Kedengaran beberapa kali ketukan di pintu bilik Amir. Pantas Amir mengatur langkah,membuka pintu. Kelihatan satu susuk tubuh yang sangat dikenalinya.

“Kau ada masa untuk aku? “,soal Imran penasaran.

Sudah semestinya,masuklah”,balas Amir ringkas.

Suasana sepi seketika. Tiada siapa yang berani untuk memulakan bicara.

Kau tahu kan,aku dulu bukan aku yang sekarang. Aku jadi begini sebab aku rasa kosong, lebih-lebih lagi,selepas ketiadaan ibu aku, aku rasa seolah- olah hilang tempat bergantung. Aku penat, dunia seakan-akan tidak adil untukku. Jiwa aku tak tenteram. Aku  inginkan keseronokan untuk menggantikan segala kekosongan, aku cuma mahukan ketenangan. Dengan keputusan peperiksaan aku sekarang, yang asyik gagal je. Aku tertekan”,ucap Imran menyatakan segalanya yang terbuku di hati.

“Dengan keadaan diri kau sekarang,kau dapat ketenangan ke?”,ujar Amir selamba.

Kedengaran gelak tawa Imran memecah kesunyian malam.

Aku sebenarnya dah lama sedar apa yang aku buat sekarang ni, berdosa. Aku cuma tak tahu dari mana harus aku mula untuk kembali, aku tak ada kekuatan. Dah terlalu lama aku lupa, aku dah terbiasa”,balas Imran.

“Kau masih lagi solat bukan?”,soal Amir penasaran.

“Tak tentu,kadang-kadang aku solat”,dibalasnya selamba.

“Kau mahu kembali bukan? Mulakan dengan menjaga solat kau. Solat dapat mencegah seseorang daripada melakukan perkara mungkar,dapat beri kau kekuatan,bersihkan jiwa yang tak tenteram”,ungkap Amir.

Kawan aku solat je, tapi sama je macam aku, buat lagi benda jahat-jahat ni, tapi dia tak macam kau lah,dia solat laju semacam je aku tengok,” ucap Imran diiringi dengan gelak tawanya.

Solat ni, bukan sekadar menghadap badan kau pada Allah ,bangun duduk, cukup semua rukun solat kau laksanakan. Kau nak dapat nikmat solat,dapat rasa ketenangan semua tu, kau kena bawa sekali hati,fikiran kau pada Allah ketika solat. Solat tiang agama seorang Muslim,kukuh tiang itu,maka tertegaklah binaan yang lain. InsyaAllah,aku yakin, solat yang mengingati Allah, dapat pelihara, lindungi kau dari segala masalah dan perasaan yang kosong tu”,balas Amir mengungkapkan kata yang telah sekian lama dia inginkan ucapkan kepada sahabatnya itu.

Imran hanya mendiamkan diri. Dia sedar,apa yang dikatakan temannya itu,benar sekali.

Solat membawa kita berhubung dengan Allah. Bayangkan seandainya kita tidak solat, terputus talian dengan Allah, jadilah kita seperti manusia yang terumbang -ambing tiada dalam radar pemeliharaan, penjagaan Allah S.W.T.


Surah Taha ayat 14
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكْرِي
“ Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”

 Bertapa hebatnya, Allah menghadiahkan solat kepada kita sebagai alat untuk kita menghantar laporan kepada Allah, mengadu segala masalah, maksiat dan juga segala kesalahan dan tatkala selesai solat itu yang membuat hati kita tenang. Allah sentiasa bersama kita.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ
“….Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat.” (Al-Baqarah: 186).

Namun kita sering lupa, bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja,maka terlepaslah dia dari pemeliharaan Allah.

Kekuatan yang kau inginkan tidak akan datang dengan sendiri. Kau harus mencari kekuatan itu. Sesiapa yang mencari jalan Allah,pasti akan menemukannya.
Ihfazillah,yafazka (Jaga hak Allah,Allah pasti jaga hak kamu).

“Lihat sahaja generasi Sultan Muhammad Al Fateh terdahulu, mereka menjaga solat dan Allah memberi kemenangan kepada mereka. Bukan sahaja kemenangan di dunia,bahkan di akhirat juga”, ucap Amir memberikan nasihat yang panjang kepada sahabatnya.

“InsyaAllah,aku akan cuba.Teruskan menasihati aku. Kau tahu bukan, untuk berubah itu tidak payah,namun untuk istiqamah di jalanNya, aku perlukan orang untuk sentiasa mengingatkanku.Sebetulnya,aku rindu diriku yang dulu,”,ujar Imran syahdu.

Aku yakin kau mampu,aku akan sentiasa untuk kau.Kau jangan menafikan lagi perasaan untuk berubah yang ada dalam diri kau. Bangun malam ni,solat taubat dan menangislah sepuas-puasnya di hadapanNya. Aku tidak akan kekal di dunia ini,suatu masa aku akan pergi, pohonlah kekuatan dari Allah, Sesungguhnya hanya Dia yang akan bersama Engkau, memberikan kekuatan untuk terus istiqamah di jalanNya”ujar Amir sentiasa menjadi sandaran buat Imran saat susah dan senang.





Post a Comment