Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wrt.
Assalamualaikum wrt.
Sabda Rasulullah s.a.w:"Janganlah salah seorang daripada kamu berpeluk tubuh dalam keadaan seseorang itu dibelasah secara zalim, kerana laknat Allah akan turun ke atas orang yang menyaksikan ketika mereka tidak mempertahankan".
(Al-Tabrani)
Ayuh, bersama berganding bahu! [Kredit] |
Saban hari kita digemparkan dengan berita-berita derita dari sahabat-sahabat seaqidah kita biar di pelusuk mana jua mereka berada. Perjuangan mereka dalam menegakkan panji Islam yang qudus masih diteruskan biar darah membuak-buak mengalir tanpa henti dari tubuh mereka. Anak- anak kecil, tanpa menghiraukan kekerdilan tubuh badan mereka, turut mempertaruh nyawa dan masa depan mereka untuk mempertahankan agama Allah di muka bumi ini.
Setiap hari, langkah keluar mereka tidak dapat menjanjikan yang mereka akan dapat pulang kembali ke rumah sebagaimana keluarnya mereka bersama anak-anak mereka. Setiap hari mereka melangkah, mereka tidak tahu adakah itu langkah terakhir mereka meninggalkan keluarga ataupun tidak. Tetapi apa yang mereka tahu, balasan Allah terhadap perjuangan mereka adalah pasti.Ya, mereka pasti.
Tidak sanggup untuk melihat perjuangan yang mereka lalui. Jika mereka yakin, jika mereka tahu maka kita juga perlu yakin dan tahu. Kerana apa? Kerana kita juga adalah sama seperti mereka, melafazkan satu kalimah agung, mewarisi mukjizat yang mulia dan berusaha untuk mengangkat panji-panji Ilahi.
Aku mengharapkan bahawa akulah orangnya! Amin. [Kredit] |
Jika di Palestin, di Syria mereka bertumpahan darah tidak bermakna kita yang selesa di sini hanya perlu berdiam diri dan tidak pula bermakna kita semestinya bertumpahan darah juga. Sumbangan yang dapat kita lakukan untuk saudara-saudara kita, walaupun tidak seberapa, namun ianya besar untuk mereka malahan sesuatu yang mulia di sisi Allah.
Mengapa tidak untuk kita turut menitiskan air mata dalam mendoakan perjuangan mereka? Ketahuilah, sebenarnya perjuangan itu adalah perjuangan kita juga. Luluhkan hati ini untuk berdoa kepada Yang Maha Esa untuk kemenangan yang nyata, ketabahan hati yang pasti dan kekuatan yang azali untuk kita juga mereka di sana.
Jika kita diserang dengan senjata-senjata berat janganlah berputus asa kerana kita ada senjata yang lebih hebat iaitu doa. Berdoalah kepada Tuhan yang menciptakan segalanya, kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Jangan berputus asa kerana saudara-saudara di bumi itu tidak pernah mengenal erti penat lelah. Begitu juga dengan pejuang-pejuang yang ada sebelum kita, mereka juga tidak berputus asa apatah menghela nafas lelah. Iringilah semangat kita ini dalam meningkatkan kualiti diri dan mendekatkan diri kepada Allah yang Esa.
Allahu ghayatuna. [Kredit] |
Ingatlah, Allah adalah matlamat terakhir kita. Buatlah segalanya hanya keranaNya. Biiznillah.
Wallahu a’lam.
Post a Comment