Ke Mana Hilangnya Semangat Itu?

0 comments
Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Seperti yang kita tahu, terconteng-conteng di “facebook”, “twitter” dan laman-laman sosial lain mengenai An-Nakbah. Secara ringkasnya, ramai sudah sedia maklum mengenainya. Tetapi apa yang hendak ditekankan di sini ialah apa yang perlu kita buat setelah mengetahui tentang an-Nakbah, atau lebih spesifik lagi mengenai Palestin tercinta.

Saban hari, semakin berkurang semakin mengecil. [Kredit]
Patutkah kita mengambil tahu perkara-perkara yang bersangkutan dengan Palestin ini? Ya, itu jawapan yang sepatutnya. Namun, jawapan itu seperti di bibir sahaja dan semangat itu hanya hadir di permulaan kisah.

Ke mana hilangnya semangat itu? Jawapannya hanya berada di dalam jiwa, di dalam hati sanubari masing-masing. Sebagai seorang insan biasa, kita terlahir dengan sifat keperimanusiaan kerana naluri itu telah tertanam sejak awal lagi.Cuma kita sendiri yang tidak sedar dengan kelebihan yang dikurniakan Allah ini.Astaghfirullahal’azim. Semoga Allah mengampunkan kita. Amin.

Pertama sekali, marilah kita sama-sama betulkan niat kita. Sentiasalah memperingati untuk tajdid niat kita, paling kurang sehari sekali kerana hati kita ini mudah berbolak-balik.

Diungkapkan oleh Ibnu Rawaahah r.a kepada Abu ad Dardaa’ r.a sambil memegang tangannya:

تعال نؤمن ساعة إن القلب أسرع تقلبا من القدر إذا استجمعت غليانا

 


Maksudnya: Marilah kita beriman sejenak.Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak.

Mujahadah ala nafs. [kredit]
Benarlah bahawa hati itu berkaitan dengan iman kita. Dan iman kita juga ada naik turunnya. Tetapi tidak perlulah kita menyalahkan iman kita kerana hakikatnya kita sendiri yang melakukan kesilapan kerana membiarkan iman itu terkulai layu.

Janganlah kita hanya berfikir untuk bersenang-lenang mengikut nafsu, kehendak hati dan keseronokan di dunia ini kerana dunia ini tidak akan kekal. Yang akan kekal hanyalah Allah Yang Maha Berkuasa. Kita seharusnya lebih cenderung kepada alam yang akan kekal selamanya , iaitu akhirat.

Firman Allah dalam surah Asy-Syura [ 42:20]:

“Barangsiapa mengkehendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barangsiapa mengkehendaki keuntungan di dunia Kami berikan sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat.”

Allahuakbar3x! Bergenang air mata ini membacanya.

Isu pembelaan nasib Palestin masih tiada kesudahan. Jika benar cinta itu hanya kerana Allah dan Rasulnya, pasti hati yang tulus ikhlas itu akan menjawab segala persoalan tadi.

Jika kita tidak mampu untuk melakukan segala kebaikan, janganlah pula kita meninggalkan terus segala amal kebajikan tersebut.Buatlah sehabis baik. Mungkin, bukan di sini terlihat ganjaranNya, namun, Allah itu Maha Menepati Janji.

Teruslah berjuang untuk Palestin.Banyak perkara yang mampu kita lakukan, cuma hendak atau tidak sahaja. Jika ada yang mampu untuk meng”update” di laman-laman sosial, silakan. Jika mampu untuk menderma untuk mereka, silakan. Jika mampu untuk memberi tazkirah mengenai Palestin, silakan.

Tidak akan ada satu kebaikan walaupun sebesar zarah yang tidak akan dihitung Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Teliti dan amat cepat perhitunganNya. Insya Allah, dengan hati dan niat yang ikhlas kerana Allah, mari kita teruskan perjalanan kita yang masih jauh ini.

Akan selesai bila ajal diambil Ilahi. [Kredit]

Wallahu'alam.


Post a Comment