Luahan Rasa Bersempena Hari Nakba

0 comments

Assalamualaikum wrt

From river to the sea, Palestine will be free! [Kredit]

Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana masih lagi diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan kita sebagai hambaNya. Ingatlah rakan-rakan sekalian bahawa tatkala di padang mahsyar kelak, hanya Allah sahaja tempat pergantungan kita, tiada lagi harta, pangkat, anak pinak yang boleh membantu kita.

Pada saat itu, tiada guna lagi penyesalan. Pintu taubat juga sudah ditutup serapat-rapatnya. Naudzubillah, semoga kita dijauhkan daripada penyesalan itu dan semoga kita semua ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang memperoleh syurga Firdaus, tempat pengakhiran yang terbaik.

Baiklah, memandangkan kini bulan Mei, marilah kita sama-sama melihat dan merenung kembali sejarah lalu, yang telah memberi kesan langsung mahupun tidak langsung kepada seluruh umat Islam di atas muka bumi ini, sebuah peristiwa hitam pada 15 Mei 1948 yang dikenali sebagai Hari Nakba.

15 Mei 1948 [Kredit]

Secara ringkasnya, peristiwa itu telah menyebabkan tertubuhnya negara haram Israel dan akhirnya berlaku penindasan terhadap rakyat-rakyat Palestin sehingga ke hari ini.

Sebagai seorang muslim yang cakna dengan isu umat, kita seharusnya menjadikan peristiwa ini sebagai satu pengajaran. Pengajaran yang sepatutnya mengubah cara kita berfikir dan sekaligus membuahkan amal. Kita sudah tiada masa lagi untuk melayan tidur kita sambil dibuai mimpi indah.

Bangunlah wahai pemudaku! Bangunlah! Tenaga kalian amat diperlukan. Perjalanan kita masih panjang lagi namun persoalannya adakah kalian sudah melaksanakan apa yang patut kalian laksanakan? Lihatlah realiti hari ini, ramai pemuda menghabiskan masa mereka dengan perkara yang langsung tidak memberi manfaat malah mendatangkan mudarat. Segala tenaga dibazirkan begitu sahaja. Main game atau tengok movie sampai pukul 3 pagi sehingga solat subuh entah ke mana. Bergosip tentang artis di FB, Twitter, Blog tidak henti-henti. Merempit malam-malam sehinggakan mengganggu jiran-jiran untuk tidur. Bayi yang tak bersalah dibuangnya ke dalam tong sampah. Penyalahgunaan dadah yang berleluasa. Sampai bila pemudaku hendak berterusan sebegini!

Sebuah hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."

Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"

Sabda Baginda SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut." Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"

Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."

Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?" Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."


Ayuh bangkitlah pemudaku! Kita sudah ada tidak banyak masa lagi. Sedarlah bahawa kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara dan sebentar sahaja. Kecantikan dan kenikmatan dunia tidak akan kekal selama-selamanya. Bekalan apakah yang dapat menyelamatkan kita kelak kalau bukan amal jariah kita dan keredhaanNya. Jangan biarkan kecintaan kita kepada dunia melebihi kecintaan kita kepada Allah. Ingatlah bahawa daripada Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan kembali. Dan mati itu pasti! Sejauh mana kebencian kita terhadap kematian, kita tidak akan dapat terlepas daripadanya.

Oleh itu, ayuh kita semua, jadilah seperti pemuda-pemuda Palestin yang berjiwa besar, menjadikan Allah dan akhirat sebagai tujuan utama, yang mempunyai iman yang sangat tinggi dan digeruni oleh musuh-musuh Islam. Berhentilah daripada mengidolakan artis-artis atau pemain-pemain bola yang membawa kita semakin jauh daripada Allah swt. Ingatlah bahawa setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak, tatkala tiada apa lagi yang mampu menolong kecuali rahmatNya.

Wahai pemuda-pemudi sekalian, gunakanlah masa muda kalian dengan sebaik-baiknya. Kita tidak mahu berlakunya penyesalan yang tiada penghabisan. Air mata darah yang tidak berkesudahan. Ayuh! Bangkitlah dari tidurmu!

Ya syabab! Bangunlah! [Kredit]

Wallahualam


Post a Comment