Memberi Bantuan

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim.

Teringat kata-kata seorang ukthi. Menurutnya, jika dia tidak membantu orang lain, dia merasakan bahawa dirinya tidak berguna. Allahu Allah. Kata-katanya meninggalkan kesan di hati ini. Nafiun li ghairihi, yakni berguna untuk orang lain, merupakan muwasofat kesepuluh daripada 10 Muwasofat Tarbiyah. Ia merupakan salah satu daripada ciri-ciri utama pembinaan seorang tentera dakwah.

Bermanfaat kepada orang lain. [Kredit]
Kita hidup bermasyarakat. Pastinya banyak peluang untuk kita saling membantu memandangkan kita juga tidak lari daripada sifat saling memerlukan. Benar, semua nikmat adalah dari Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Namun, Allah SWT juga mengurniakan nikmat kepada seseorang hambaNya itu melalui hamba-hambaNya yang lain. Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada orang lain, dia tidak berterima kasih kepada Allah SWT.

Cuba kita fikirkan. Baju yang kita pakai, siapa yang menjahitnya? Buah-buahan yang kita makan, siapa yang menanam pokoknya? Kenderaan yang kita naiki, siapa yang membuatnya? Banyak lagi persoalan yang boleh diutarakan dan jawapannya tetap sama, yakni hamba-hamba Allah SWT yang lain. Hakikatnya, kita hanyalah seorang lagi hamba Allah SWT yang diciptakan dari tanah. Kita juga perlu kepada bantuan yang lain. Maka janganlah sombong untuk memberi bantuan.

'Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara..' (Surah Al Hujurat 49:10)

Rasulullah SAW membantu orang lain seperti angin yang laju. Rasulullah SAW tidak memilih siapa yang ingin baginda SAW bantu. Muslim atau kafir, lelaki atau perempuan.. Semuanya Rasulullah SAW bantu. MasyaAllah, tingginya akhlak baginda SAW.

insya Allah, semua orang mampu berubah! [Kredit]
Tahukah kamu akan kisah bantuan Rasulullah SAW kepada seorang wanita kafir tua yang pada mulanya tidak mengenali siapa sebenarnya Nabi Muhammad SAW? Pada suatu hari Rasululluah SAW membantu wanita tua ini mengangkat barang. Wanita tersebut tidak mengetahui bahawa yang membantunya itu adalah baginda SAW. 

Sepanjang perjalanan itu, dia menceritakan betapa bencinya dia terhadap insan yang bernama Muhammad (SAW). Baginda SAW tetap melayan wanita ini dengan kelembutan dan senyuman. Wanita tua ini turut menasihati Rasulullah SAW agar menjauhi Muhammad (SAW). Di akhir perjalanan tersebut, dia bertanyakan nama jejaka yang membantunya itu. Dia terkejut bila mendapat tahu bahawa yang membantunya adalah Nabi Muhammad SAW sendiri. Tersentuh dengan ketinggian akhlak baginda SAW, dia lalu mengucapkan dua kalimah syahadah.

Allah SWT berfirman, 'Sesiapa yang memberikan bantuan yang baik, nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya..' (Surah An Nisa' 4:85)

WAllahualam.

Post a Comment