Bismillahirahmanirahim.
Mari kita renung kembali segala kebaikan yang pernah kita lakukan: Mengangkat barang untuk cikgu, meminjamkan nota untuk rakan yang memerlukan, menemani sahabat yang sakit ke hospital, menghafaz ayat-ayat lazim, memberi sedekah…
Alhamdulillah, banyak juga yang telah cuba kita amalkan dalam kehidupan ini! Namun kadangkala, timbul bisikan halus yang meragui amalan-amalan kita tadi.
“Ikhlas ke aku tolong dia ni?”
“Allah terima ke apa yang aku buat?”
“Patutkah aku teruskan? Takde orang kisah pun bila aku cuba nak tolong…”
Amat merugikan andainya amalan kebaikan kita berkurangan akibat bisikan-bisikan durjana itu tadi. Apatah lagi masih ramai yang memerlukan pertolongan kita – rakan-rakan, keluarga, dan juga saudara seakidah walau di mana sahaja mereka berada! Maka, ingin saya kongsikan beberapa tips untuk memberi anda panduan agar tetap tegar untuk terus memberi!
1)Tetapkan niat
“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-Katthab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
(H.R Bukhari dan Muslim)
Memang tepat sekali hadith ini ditempatkan sebagai yang pertama, membuktikan betapa pentingnya peranan niat dalam setiap tindakan kita. Niat dan hala tuju akan menentukan langkah kita yang seterusnya. Dan yang paling penting, tetapkanlah niat semata-mata untuk mendapatkan redhaNya. Dengan ini, anda akan sentiasa termotivasi untuk tetap melakukan kebaikan, semata-mata untuk mencapai tahap yang tertinggi menurut neraca Allah swt.
2) Mohon keampunan
Semua orang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apa yang ditakuti adalah, andainya kesalahan yang telah dilakukan itu akan menyebabkan amalan kita tidak akan dikira di sisiNya. Ah, betapa ruginya! Jadi, marilah kita berusaha untuk sentiasa beristighfar dan memohon keampunan daripadaNya agar amalan kita tidak menjadi sia-sia.
3)Jangan bertangguh
Sebaik sahaja timbul niat di hati untuk berbakti kepada orang lain, cepat-cepatlah pergi melaksanakannya. Jangan bertangguh, kerana rasa itu mungkin tidak akan datang buat kedua kalinya.
4)Jangan berputus asa
Kadangkala, kebaikan yang ingin kita lakukan itu agak sukar untuk dilaksanakan. Namun, janganlah berputus asa kerana Allah juga melihat pada usaha kita! Selagi mana niat anda ikhlas keranaNya, usaha anda tidak akan menjadi sia-sia.
5) Sentiasa bersyukur
Setelah anda selesai dengan satu kebaikan, teruskanlah dengan kebaikan yang seterusnya! Dan jangan lupa, bersyukurlah kepada Allah kerana dengan rahmat dan kurniaNya lah anda dapat menyelesaikan tugasan anda tersebut. Teruskan berdoa kepadaNya agar dipermudahkan urusan-urusan anda yang mendatang.
InshaaAllah, semoga kita sentiasa bermotivasi untuk melakukan kebaikan untuk diri, dan juga orang-orang di sekeliling yang memerlukan. Jom, mulakan!
Wallahua’lam.
Post a Comment