Nikmat Bertambah Andai Bersyukur..

0 comments



Sedar atau tidak manusia tidak terlepas dari menerima nikmat dan rahmat Allah SWT.Nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia tidak terhitung banyaknya.Jelas dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud:

“ Dan jika kamu menghitung nikmat Allah,niscaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.Sungguh Allah Maha Pengampun, Maha penyayang”
(surah Al-Nahl:18)


Meneliti kejadian dan kurniaan anggota badan utama pada tubuh manusia seperti kaki, tangan, perut, mulut, telinga, hidung dan mata, sudah cukup bagi kita membuat kesimpulan betapa berkuasa, agung dan murahnya Allah serta betapa lemah dan tidak berdayanya manusia. Anggota badan itu pula dijadikan Allah dengan rapi dan lengkap serta dapat bergerak dan berfungsi serentak pada waktu yang sama. Sambil melihat, kita dapat bercakap, mendengar, menghidu, berjalan dan sebagainya.

"Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur ..” (Surah An-Nahl : ayat 78)

Imam Al Ghazali mendefinasikan nikmat itu sebagai: setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup 'ukhrawi' - hari akhirat yang kekal abadi.'

Segala sesuatu yang ada dalam alam ini, bermula daripada tanam tanaman sampailah kepada binatang ternakan dan barang logam, semuanya diperuntukkan supaya dapat dimanfaatkan oleh manusia.

"Dan sebagai tanda untuk mereka ialah bumi yang mati (kering), Kami hidupkan dan Kami keluarkan dari dalamnya buah tanam-tanaman sebahagiannya mereka makan. Dan Kami adakan padanya kebun kurma dan anggur.

"Dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan buahnya. Semua itu bukanlah (hanya) usaha tangan mereka. Mengapa mereka tidak bersyukur." (Surah Yaasin :ayat 31 hingga 35)

Lumrahnya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya.
Sesungguhnya nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit.
Seorang yang berkuasa atau berpangkat akan merasai nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan yang disandangnya hilang.
Seorang hartawan apabila jatuh miskin dan melarat, maka akan terasalah olehnya bagaimana besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya itu.
Oleh itu peliharalah setiap nikmat diperolehi. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu akan terus dikekalkanNya.

"Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." (Surah An-Nahl : ayat 144)

Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang telah dianugerahkan.

Orang yang bersyukur jiwanya akan menjadi semakin bersih. Dia akan bertambah dekat kepada Tuhan dan semakin sedar bahawa nikmat itu adalah kurniaan Illahi yang perlu dipergunakan untuk kebaikan sesama manusia.

Sesungguhnya bagi orang bersyukur maka nikmat yang diperolehinya semakin bertambah. Ini jelas dinyatakan Allah dengan firmanNya yang bermaksud:

"Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu ingkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih." (Surah Ibrahim : ayat 7)

Sedar akan pentingnya sikap ini, maka syukurilah nikmat kurniaan Allah kepada kita baik nikmat lahir atau batin.

Mudah-mudahan dengan berbuat demikian, maka nikmat itu akan kekal berterusan bersama kita dan hidup kita pula akan mendapat keredaan Allah baik di dunia atau akhirat.

Wallahualam..


Post a Comment