Bismillahirrahmanirrahim…
Pada suatu pagi yang tenang, sambil beburung berkicauan…
Guru: Siapa nak dengar kisah Yunus a.s?
Murid-murid: Nak!!!
Guru: Nabi Yunus a.s telah diutuskan kepada kaum Ninawa, walaupun baginda tidak mempunyai sebarang pertalian dengan mereka. Namun, setiap ajakan Yunus a.s supaya mengesakan Allah dan berlepas diri daripada amalan penyembahan berhala ditolak oleh kaumnya. Mereka tetap tegar dengan adat istiadat nenek moyang mereka yang nyata menyimpang daripada jalan Allah yang lurus, walaupun berulang kali diingatkan tentang azab yang bakal menimpa andai mereka menolak dakwah baginda.
Lama-kelamaan, Yunus a.s tidak tahan tinggal dengan lebih lama di tengah-tengah kaum Ninawa yang berkeras kepala dan bersikap buta-tuli menghadapi ajaran dan dakwahnya. Ia lalu meninggalkan Ninawa dengan rasa jengkel dan marah seraya memohon kepada Allah s.w.t. untuk menjatuhkan hukumannya atas orang-orang yang membangkang dan berkeras kepala itu.
Sepeninggalannya, datanglah azab yang dijanjikan Allah kepada mereka, dan pucatlah raut wajah mereka. Mereka bertaubat dengan bersungguh-sungguh, dan Allah pun menerima taubat mereka… Tapi, di mana pula Nabi Yunus a.s ketika itu? Siapa tahu?
Murid-murid: Dalam perut ikan nun!
Guru: Alhamdulillah, bijaknya anak-anak sekalian! Betul, Yunus a.s telah menaiki sebuah kapal yang dilanda oleh ribut taufan, dan tiada cara lain selain daripada mengorbankan salah seorang daripada penumpang untuk menyelamatkan yang lain-lain. Maka, setelah undian dibuat beberapa kali, Yunus pun dicampak ke dalam laut. Dan setelah diilhamkan oleh Allah, maka Yunus a.s pun ditelan oleh ikan nun… Itulah takdir Allah, sebagai teguran dan pengajaran daripadaNya…
“Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap, “Bahwa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.”–Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari pada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.”
(QS. Al Anbiyaa’: 87-88)
Maka, apakah pengajaran daripada kisah ini yang boleh menjadi sebahagian daripada amali kita?
1) Tiada seorang pun yang terlepas daripada ujian Allah
Andai para Nabi juga menghadapi pelbagai mehnah, ujian dan cabaran yang bisa menggugat kesabaran mereka, apatah lagi kita sebagai manusia biasa. Namun percayalah, segala dugaan inilah yang akan membina kekuatan jati diri anda dan mematangkan pemikiran.
Setinggi manapun pangkat anda, akan ada masanya anda tersungkur mencium bumi. Serendah mana pun kedudukan anda sekarang, akan tiba masanya suatu hari nanti untuk menggapai pelangi. Itulah roda kehidupan, ada kalanya kita di atas, di bawah, kemudian di atas semula… Bahkan kehadiran ujian itu juga tanda anda tergolong dalam golongan orang yang beriman, andai anda dapat menghadapinya dengan sabar.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3)
2) Jangan mudah berputus asa apabila menghadapi cabaran dan dugaan
Walaupun usaha yang telah dilakukan seakan-akan tidak membuahkan hasil, jangan mudah mengalah! Mungkin sahaja masanya belum sesuai lagi. Mungkin sahaja Allah ada perancangan yang lebih baik untuk anda. Ataupun, mungkin juga usaha anda sendiri yang masih belum mencukupi!
Kadang kala, kita akan terdorong untuk berpatah balik ke belakang, sedangkan tinggal hanya 2 langkah sahaja lagi untuk melepasi garisan penamat dalam sesebuah perlumbaan. Semuanya gara-gara tertipu dengan garisan penamat yang tersembunyi. Jadi, yakinlah dengan amanah yang telah diberi, dan teruslah maju ke hadapan untuk mencapai matlamat anda dan melepasi garisan penamat itu!
3) Ujian Allah itu juga adalah tarbiyyah (didikan)
Lihatlah, Allah menegur Yunus a.s dengan memasukkannya ke dalam perut ikan Nun. Teguran itu adalah teguran dengan penuh kasih sayang kepada hambaNya yang soleh, sehingga terpancar benar sinar kesolehannya. Ketika berada di dalam perut ikan Nun, Yunus a.s telah membacakan doa yang paling elok andai diamalkan selalu, berdasarkan hadith:
“Doa Dzunnun (Nabi Yunus ‘alaihissalam) ketika di perut ikan adalah “Tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” Sesungguhnya tidak seorang muslim pun yang berdoa dengannya dalam suatu masalah, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.”
(HR. Tirmidzi, dan dishahihkan oleh Syaikh Al Albani)
Ujian daripadaNya bukanlah tanda kebencian, mahupun dengan sengaja ingin menurunkan darjatmu sehina-hinanya… Namun ia adalah sebuah tebing tinggi, yang akan dapat anda nikmati keindahan panoramanya sejurus anda berjaya mendakinya walau dengan susah payah. Ia adalah anak tangga tarbiyyah, yang bisa menaikkan martabat kita menuju taqwa.
Walau apa pun halangan yang melintang di tengah-tengah perjalanan anda, jangan gusar! Inilah peluang yang harus diambil sebaik-baiknya untuk memperbaiki kelemahan diri. Hadapilah ia dengan penuh yakin, dan berdoalah kepada Allah supaya dipermudahkan. Dan hasilnya, itulah hadiah yang tidak ternilai daripada Rabbmu sebagai bekalan di dalam jalanNya yang semestinya panjang dan penuh berduri ini.
Yok, sama-sama kita cuba amalkan!
Wallahua’lam.
Post a Comment