Assalamualaikum wbt
Seorang pakar motivasi membawa murid-murid sekolah ke tengah-tengah pantai lalu mencabar mereka untuk berjalan dengan lurus di pantai itu dalam jarak yang jauhnya kira-kira 10 meter.
Ramai yang mencuba namun mereka tidak berjaya. Mereka sangkakan bahawa mereka telah berjalan dengan lurus tetapi apabila dilihat balik kesan tapak kaki mereka di belakang, ternyata mereka salah.
Ini merupakan cabaran yang sukar bagi mereka.
Cubaan demi cubaan.
Ada yang cuba berulang kali. Pelik. Mengapa begitu sukar?
Mereka semua terkejut bila salah seorang murid akhirnya berjaya berjalan dengan lurus. Semua mengelilinginya untuk mengetahui rahsia di sebalik kejayaannya itu.
Menurut murid tersebut, dia hanya perlu memberi tumpuan kepada pokok yang berada nun jauh di hadapannya lalu berjalan menuju pokok tersebut. Alhamdulillah, dia dapat berjalan dengan lurus.
Menarik bagaimana murid ini dapat berjalan dengan lurus. Hanya dengan menumpukan perhatian dan berjalan ke arah suatu objek di hadapannya, dia dapat mengelak dirinya dariada tersasar dari jalan yang lurus. Ini sebuah analogi yang membuktikan bahawa pentingnya untuk kita menetapkan target yang jelas agar segera mencapai apa yang kita inginkan.
Sebagai contoh, kita ingin berubah menjadi seorang yang berakhlak baik, tetapi kita sering terlupa untuk berakhlak baik. Mungkin skop target kita terlalu besar sehingga kita sendiri kurang jelas apa yang kita inginkan. Sekiranya kita mengecilkan skop target kita, contohnya,kita ingin berubah menjadi seorang yang jujur, ia akan kelihatan lebih mudah dan jelas. Sesuatu yang mudah dan jelas itu juga membuatkan kita yakin bahawa kita mampu untuk mencapainya.
Sama juga jika kita ingin menghafal kitab suci Al Quran. Targetkan bilangan ayat yang kita mampu untuk menghafal, sebagai contoh, satu ayat setiap hari. Sekiranya kita tidak menetapkan sebarang target dan menghafal sesuka hati kita, kita mungkin akan tersasar dari matlamat kita, lalu lupa mencari waktu dan kesempatan untuk menghafal Al Quran. WAllahualam. Semoga Allah sentiasa membimbing kita agar terus berjalan di siratul mustaqiim.
AllahummaAmmin.
Post a Comment