Kisah Dua Sahabat Kelas 1A

0 comments

Assalamualaikum wrt...
Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap kali cuti semester, murid-murid lelaki kelas 1A akan mengadakan barbecue beramai-ramai sambil beraktiviti dan bersantai. Pada cuti semester pertama, mereka mengadakan program tersebut di tepi Pantai Cantik Berseri. Sememangnya pemandangan di situ indah sekali dan sesuai untuk berekreasi. Tatkala program itu berlangsung, ada yang memanggang ayam, ada yang bermandi-manda, ada yang sibuk membuat istana pasir.
Namun suasana yang jernih itu bertukar menjadi keruh. Kamal yang sedang asyik mengambil gambar rakan-rakannya dengan tidak sengaja terpijak istana pasir buatan Haris. Dengan muka merah padam, Haris yang tidak dapat menahan kemarahannya menengking Kamal. Hati Kamal yang lembut itu terguris dengan kata-kata Haris yang sangat tajam sebentar tadi. Lalu, Kamal membawa dirinya jauh sedikit dari tempat Haris duduk. Kamal ternampak sebatang ranting kayu di atas pepasir pantai itu lalu diambilnya dan ditulisnya, ‘Hari ini, aku telah ditengking oleh rakanku sendiri. Aku amat sedih dengan perbuatannya itu’. Haris ternampak perbuatan Kamal itu lalu dia berasa ingin tahu apa yang ditulis Kamal pada pasir itu. Setelah melihatnya dengan mata sendiri, Haris berasa kesal dengan perbuatannya namun dia tetap tidak ingin meminta maaf kerana egonya yang tinggi.

Setelah tamat persekolahan untuk semester kedua, murid-murid lelaki kelas 1A telah mengadakan program mereka seperti biasa cuma tempatnya agak berbeza. Kali ini mereka mengadakannya di Taman Rekreasi Air Terjun Sejuk Nyaman. Seperti biasa, ada yang memanggang ayam, sotong dan ada yang bermandi manda. Ada yang sekadar berehat sambil menikmati bunyi air sungai yang menenangkan dengan burung-burung riuh berkicauan. Suasananya mendamaikan jiwa sekali.
Namun begitu, satu tragedi yang hampir meragut nyawa telah berlaku. Kamal yang sedang bermandi manda tidak sedar bahawa dirinya hampir ke bahagian tengah sungai yang kedalamannya amat membahayakan bagi orang yang tidak pandai berenang. Lalu, Kamal tidak dapat mengawal dirinya untuk kembali ke tebing sungai dan akhirnya lemas. Haris yang berada di tebing sungai ternampak Kamal yang sedang terkapai-kapai meminta tolong. Tanpa berfikir panjang, Haris terus terjun ke dalam sungai lalu menyelamatkan Kamal. Syukur Kamal berjaya diselamatkan. Kamal berterima kasih kepada Haris kerana telah menolongnya.

Setelah keadaan kembali tenang, Kamal mencapai beg galasnya lalu diambilnya buku diari. Haris yang ketika itu berada di tepi Kamal melihat perbuatan Kamal itu. Kamal membuka buku diarinya dan mengambil sebatang pen lalu menulis, ‘Hari ini, aku telah diselamatkan oleh rakan baikku, Haris. Aku berasa amat bersyukur kerana diberikan rakan yang sungguh baik hati. Semoga Allah merahmatinya sentiasa’. Haris yang turut membaca apa yang ditulis si Kamal berasa amat terharu dan akhirnya memohon maaf kepada Kamal atas apa yang telah berlaku sewaktu mereka di pantai pada cuti semester lepas.
Haris kemudian bertanya kepada Kamal, “Mengapa sebelum ini, sewaktu aku menengkingmu, engkau menulis di atas pasir dan sekarang engkau menulis di dalam buku diarimu?”
Jawab Kamal, “ Aku menulis di atas pasir kerana ia akan hilang dipadam oleh ombak yang tiba di persisiran pantai tersebut, dan aku menulis di dalam buku diariku ini supaya aku mengingati perbuatanmu sampai bila-bila….”



Begitulah dengan hidup kita ini, ada hal yang menyakitkan kita, menyedihkan malah memberi derita kepada diri, tulislah mereka di atas pasir, biarlah mereka hanya singgah sebentar di dalam minda kita dan dilupakan untuk selama-lamanya. Dan segala kebaikan dan nikmat yang kita peroleh daripada Allah mungkin secara terus atau melalui perantaraan manusia, maka pahatkanlah mereka di suatu tempat yang kita akan ingat sampai bila-bila.
Petua mendapatkan kedamaian yang hakiki, salah satunya adalah memaafkan segala kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Jadikanlah amalan memaafkan ini sebagai rutin harian kita sebelum tidur. Pejamkanlah mata dengan merasakan jsetiap denyutan jantung melahirkan rasa kesyukuran atas nikmat yang dikecapi. Tidurlah dengan rasa kesyukuran kepada pencipta kita.



Post a Comment