Rawatlah Hati....

0 comments

Assalamualaikum wbt

Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi diberikan peluang untuk bernafas dengan udara yang dikurniakanNya. Tatkala ada yang sedang menghembuskan nafas terakhir, kita masih lagi diberikan peluang untuk hidup. Ingatlah bahawa hidup ini amatlah singkat. Dan kehidupan di dunia bukanlah satu garisan penamat bahkan merupakan titik bermulanya suatu kehidupan yang hakiki.

“Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan, (yaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.” As-Syu’ara : 87 – 89

Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati. Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Cuba kita tanya diri, apakah atau siapakah yang memiliki hati ini. Adakah Allah? Atau ada benda atau perkara lain yang telah berjaya menguasainya.

Cuba kita ingat kembali, dalam kehidupan seharian, apa yang paling banyak difikirkan.

Cuba kita ingat kembali, dalam kehidupan seharian, berapa banyak perbuatan kita yang dilakukan kerana Allah?

Cuba kita renung kembali, dalam solat, adakah kita betul-betul khusyuk atau terfikir akan benda lain selain daripada Allah?

Adakah duit yang hilang atau makanan di dapur yang bermain diminda tatkala kita bersembahyang?

Kita sendiri tahu apa atau siapa yang memiliki hati kita sebenarnya.

Ingatlah bahawa hati ini diciptakan lain dan tidak bukan hanya untuk menyerah dan tunduk kepada Allah. Bukan duit. Bukan untuk manusia, status. Dan bukan untuk segalanya selain daripada Allah.

Sebuah kereta memerlukan minyak untuk bergerak. Namun, jika digantikan minyak dengan air teh pekat sekalipun, kereta tidak mampu untuk berfungsi malah jika berlarutan akan merosakkan kereta tersebut.

Sama juga dengan manusia. Hati seorang manusia hanyalah untuk Allah. Namun, jika harta, status yang menguasainya, manusia tidak akan dapat memenuhi tujuannya diciptakan malah mungkin akan rosak seperti rosaknya kereta tersebut malah lebih teruk lagi.

Oleh itu, marilah kita sama-sama merenung kembali apa yang perlu diperbaiki dalam diri. Banyakkanlah bertaubat walaupun merasakan diri tidak melakukan dosa sekalipun. Bagi yang merasakan diri begitu banyak dosa, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah. Teruskan bertaubat. Ingatlah bahawa, manusia yang tenggelam di dasar lautan mempunyai dua pilihan. Sama ada hendak berputus asa dan mati atau terus berusaha sehingga berjaya menyelamatkan diri dan membawa balik segala mutiara dari dasar lautan.

Akhir kata, teruskanlah mencari dan mencari kebenaran dan beramal dengannya kerana perkara inilah yang akan menyelamatkan kita dari seksaan api neraka dan memasukkan kita ke dalam syurga yang di dalamnya terdapat keseronokan yang abadi. Wallahualam

Post a Comment