Kunci-kunci Kejayaan!

0 comments

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah, keluar sahaja dari rumah untuk ke kelas, muka terus disapa dengan deru angin yang lembut, membawa bersama tanda-tanda pertukaran musim. Suhu menjadi semakin selesa, tumbuh-tumbuhan pula sudah mula mengeluarkan pucuk masing-masing. Tak sabarnya menantikan tibanya musim bunga!

Apabila disebut sahaja mengenai bunga, mesti akan dikaitkan dengan perihal wanita. Kenapa ya? Wanita itu cantik seperti bunga? Indah dipandang, sebagai perhiasan dunia???


Wanita itu bukan perhiasan sebarangan! Wanita solehah itulah yang bisa menggoncang dunia!

Jadi, jom kita intai kisah salah seorang daripada wanita penggoncang dunia ini agar dapat kita contohi bagaimana cara-caranya untuk menggegarkan kehidupan seharian kita dengan produktiviti!

Wanita yang saya maksudkan adalah Hajar, yang telah ditinggalkan oleh Ibrahim a.s bersama seorang bayi kecil Ismail a.s di tengah-tengah padang pasir yang tandus, berbekalkan sebungkus kurma dan sedikit bekalan air sahaja. Isteri mana yang tidak takut dengan tindakan suami sebegitu, apatah lagi dengan kehadiran seorang bayi kecil yang mendambakan perhatian, bagaimana mereka akan bertahan? 

Namun, atas dasar keimanan kepada Allah, Hajar rela ditinggalkan, kerana yakin bahawa Allah tidak akan mensia-siakan mereka berdua. Dari situlah bermulanya susur galur keturunan yang akhirnya membawa kepada kelahiran Rasulullah s.a.w.,bersama-sama dengan risalah penyelamat, yakni seruan islam.

Daripada kisahnya ini, ingin saya fokuskan kepada 2 aspek yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian;

1) Bersabarlah di atas apa jua ujian dan dugaan yang melanda, dan yakinlah Allah sentiasa bersama kita.

Perintah Allah untuk meninggalkan Hajar berdua dengan Ismail a.s merupakan satu ujian, bukan sahaja untuk Ibrahim a.s., namun juga untuk isteri dan anaknya. Namun apakah yang dikatakan oleh Hajar sebaik sahaja mengetahui bahawa tindakannya hanyalah kerana ingin memenuhi perintahNya?

“Kalau memang demikian, maka Dia tidak akan mengabaikan kami.”

Nah, betapa yakinnya Hajar pada kekuasaanNya! Betapa Hajar sentiasa berbaik sangka kepada Sang Pencipta! Setiap ujian yang melanda kita seperti kegagalan dalam peperiksaan, timbulnya masalah keluarga, mahupun masalah bersama rakan-rakan, merupakan salah satu cara Allah untuk melatih diri kita untuk menjadi insan yang lebih baik. Walaupun begitu, tidak pernah sekalipun Allah melepaskan pandanganNya dan genggamanNya terhadap kita. Bahkan, Allah menanti-nanti agar makhlukNya menadah tangan dan meminta daripadaNya yang Maha Memiliki segala sesuatu.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : "Allah Ta'ala berfirman : "Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepadaKu sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil". (Hadits riwayat Bukhari).

Seperti sebuah bilik yang mempunyai jalan keluar, seperti itu jugalah setiap permasalahan yang pasti mempunyai jalan penyelesaiannya. Berbincanglah dengan orang yang berhak untuk mendapatkan keputusan yang wajar diambil untuk menyelesaikannya. Dan yakinlah, pertolongan Allah itu sentiasa ada untuk para hambaNya.

2) Bekerja keraslah untuk menggapai keajaiban!

Allah tidak sewenang-wenangnya memberikan Hajar bekalan air yang diperlukannya dengan mudah. Bahkan, Hajar terpaksa berlari-lari anak di antara dua buah bukit sebanyak tujuh kali dahulu, sebelum air zam-zam memancut daripada tanah yang dihentak-hentak oleh kaki Ismail a.s. yang seterusnya menghilangkan rasa dahaga mereka berdua.

Begitulah, kejayaan tidak akan datang bergolek, dan segala penyelesaian masalah tidak akan turun daripada langit begitu sahaja. Tidak ada satu perkara pun yang akan berjaya dicapai dengan hanya duduk bergoyang kaki dan minum kopi! Setakat ucapan harapan dan doa yang tidak disertakan dengan usaha tidak akan membawa sebarang perubahan pun. 

Apa yang diperlukan adalah usaha yang aktif, kritis dan kreatif daripada kita untuk mencapai matlamat yang diimpikan. Jangan pernah berputus asa daripada rahmatNya yang pasti!

InsyaAllah, dengan kesabaran dan usaha yang berterusan, segala perancangan dan matlamat yang telah disusun kemas akan dapat dicapai dengan mudah. Tidak dilupakan, doa dan tawakal kepada segala takdirNya yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. Ayuh, jangan duduk-duduk lagi! Bersabarlah dan aktifkan diri dalam mengejar cita-cita anda!


Wallhua’lam.


Post a Comment