SIAPA CAKAP TAK BOLEH?

0 comments


Assalamualaikum wrt wbt.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Perginya musim salji, datangnya musim bunga. Tanpa sedar, rupanya sudah hampir di pengakhiran April. Buat pelajar Malaysia di Rusia khususnya, bulan inilah semangat untuk melaksanakan salah satu Muwasaffat Tarbiyah yang diasaskan oleh Imam Hassan al-Banna membuak-buak. Apakah ia? Tidak lain dan tidak bukan : Qawiyyul Jism ertinya sihat tubuh badan.

Hei! Budak usrah pun main sukan ke? Bukan ke sukan itu antara '5S'- sport, sex, song, smoke, style. Agenda yahudi untuk jatuhkan umat Islam kot! Dah! Tak payah pergi bersukan, nanti lalai. Kata nak bina ustaziatul alam. Benda macam ni pun tak kuat iman.

Eh! Mana pula datang teori ni?

Eh! Mana pula datang teori ni? Sukan yang dimaksudkan itu adalah apabila matlamat sukan itu sendiri berubah. Bukan lagi untuk kesihatan, tetapi sebaliknya untuk berseronok dan bergembira, yang akhirnya bertukar kepada perkara yang melalaikan. Azan sudah tidak dihirau, batasan pergaulan tidak terjaga, aurat dibiar terdedah, rasuah mula bercambah, lalu akhirnya pergaduhan tercetus dan berlakulah perpecahan dalam masyarakat.

Hakikatnya, jika dilihat kembali dalam sejarah, Islam menggalakkan penganutnya mementingkan kekuatan dan kesihatan tubuh badan. Nabi Muhammad S.A.W. sendiri menganjurkan kita menguasai ilmu berkuda, berenang dan memanah agar kuat jasmani untuk melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna dan terpenting, sebagai persediaan untuk berperang dengan kaum musyrikin.

Apa tiada contoh orang Islam yang bersukan dan dalam masa yang sama masih menjaga tuntutan agama? Ada!

MUSLIMAH
Ruqaya Al Ghasara


Muslimah yang dilahirkan pada tahun 1982 dan berasal dari Bahrain ini merupakan atlet wanita yang pertama mewakili negaranya di Sukan Olimpik dalam acara lari pecut 100 meter. Tudung dan baju yang menutupi tubuh sepenuhnya tidak dijadikan alasan untuk tidak menceburi bidang sukan. Sebaliknya, beliau telah memenangi beberapa pingat emas dalam acara yang disertainya. Kejayaan beliau dalam Sukan Asia 2006 di Doha sebagai atlit pertama kelahiran Bahrain yang memenangi pingat emas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa telah membuktikan bahawa pakaian menutup aurat bukan penghalang kejayaan dalam sukan. Pada tahun 2008 pula, dalam Kejohanan Dalam Dewan Asia di Doha, beliau telah berjaya mencipta rekod baru kejohanan dengan masa 7.40 saat dalam acara lari 60 meter sekali gus merangkul pingat emas sekali lagi.


MUSLIMIN
Mesut Ozil

 

Pemain bola sepak kelas satu dunia ini beragama Islam dan berasal dari Jerman. Kini, beliau memegang jersi nombor 11 dalam pasukan Arsenal memegang posisi sebagai pemain tengah. Semasa Piala Dunia FIFA 2010, Mesut Ozil telah menarik perhatian dunia apabila dicalonkan untuk Golden Ball Award, anugerah yang diberikan kepada pemain terbaik perlawanan. Seringkali sebelum memulakan perlawanan, beliau tidak akan lupa untuk membaca doa dan ayat-ayat al-Quran kerana tanpanya, jiwanya tidak akan tenang semasa bermain. Atas sebab itulah beliau kelihatan tenang di atas padang walaupun perlawanan saat itu sangat geting. Perlakuannya ini telah cukup difahami oleh rakan sepasukan dan kebiasaannya mereka tidak mengganggunya semasa sedang berdoa. Kehebatannya di atas padang memang cukup diakui dan digeruni. Malahan, beliau merupakan pemain Arsenal yang paling mahal dan telah meraih penghargaan sebagai Pemain Terbaik Jerman 2011.

Ini baru contoh individu yang menganut Islam yang berjaya pada zaman moden ini. Zaman dahulu tiadakah? Kenalkah anda kepada wanita yang digelar Bidadari Besi Jihad? Beliau hidup pada zaman Rasulullah S.A.W. Bersaudarakan Dhirar bin al-Azwar, iaitu antara penunggang kuda yang terkenal di kalangan bangsa arab dan ayah yang bernama al-Azwar yang telah terbunuh ketika mempertahankan Rasulullah S.A.W. Beliau adalah Khaulah Al-Azwar al-Kindi merupakan seorang wanita yang memiliki kekuatan jiwa dan fizikal yang kuat serta susuk tubuh tinggi lampai dan tegap. Sejak kecil beliau sudah pandai bermain pedang dan tombak. Rasulullah S.A.W. telah membenarkan Khaulah menyertai angkatan peperangan muslimin bersama-sama mujahidah yang lain.


Dan untuk muslimin pula yang jika disenaraikan dan dihuraikan adalah terlalu ramai. Oleh itu, marilah kita jadikan pemimpin terbaik kita, Nabi Muhammad S.A.W. sebagai contoh. Diriwayatkan bahawa Baginda pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy, Rukanah bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku apabila Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya. Syarat pertandingan itu adalah jika Rasulullah menang, Rukamah akan memeluk Islam. Akhirnya, Rasulullah memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu.

Dalam peristiwa lain pula, Rasulullah S.A.W. pernah berlumba lari dengan isterinya, Saidatina Aishah. Diriwayatkan bahawa,

"Suatu ketika Aisyah bersama Nabi S.A.W. dalam permusafiran. Aisyah berkata “Aku berlumba lari dengannya dan aku dapat mengalahkannya. Setelah mana aku berisi, aku berlumba lari sekali lagi dan baginda dapat mengalahkanku.” Nabi S.A.W. bersabda “Kemenangan kali ini membalas kekalahan yang lepas.”

Sebagai pewaris agama Islam, kita perlu menggerakkan usaha agar umat Islam mempunyai identiti sukannya sendiri 

Justeru,dengan beberapa contoh dan huraian jelaslah bahawa Islam itu sendiri tidak pernah menghalang penganutnya bersukan. Sebagai pewaris agama Islam, kita perlu menggerakkan usaha agar umat Islam mempunyai identiti sukannya sendiri agar kita tidak terus dikongkong dalam idea sukan yang dipelopori oleh Barat.

Ingatlah pesanan Rasulullah S.A.W., sabdanya :“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab,“Siapa lagi kalau bukan mereka?”(Riwayat Muslim)


Wallahu’alam.


Post a Comment