CERGAS JASMANI, JUGA CERDAS EMOSI!

0 comments

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selesai sudah PMIG 2014 pada ahad yang lepas, di mana semua atlet telah mempamerkan semangat dan skill yang mantap ketika berentap untuk meraih pingat kemenangan. Cergas dan lincah sekali! Namun, dengan berakhirnya temasya sukan tahunan di bumi Rusia ini, tibalah masanya untuk kita kembali ke medan perjuangan berbentuk ilmiah pula.

Bercakap mengenai sukan, seringkali kita mengaitkannya dengan kecergasan. Cergas tubuh badan. Tetapi bukankah manusia itu dibentuk bukan sahaja terdiri daripada komponen jasmani, tetapi juga daripada komponen emosi dan pemikiran?

Cukupkah andai kita hanya sihat, cergas dan kuat daripada sudut jasmani, tanpa mengendahkan kesihatan dan kecerdasan emosi? Mampukah individu seperti ini mengharungi kehidupan yang sudah pastinya penuh dengan pelbagai cabaran dan rintangan, pergolakan jiwa dan permainan perasaan? Belum lagi melihat kepada tekanan perasaan yang bakal dihadapi dalam era pekerjaan nanti.

Aduhai…

(credits: http://www.bubblynotes.com/2013/09/cara-menjaga-kesihatan-emosi.html)


KELEBIHAN MEMILIKI EMOSI YANG CERDAS

1. Mampu mengawal emosi daripada menguasai tingkah laku.

Emosi mempunyai kesan yang kuat terhadap tingkah laku dan perbuatan zahir kita. Apabila kita gembira, terpancar keceriaan daripada riak wajah yang tersenyum dan tertawa. Apabila kita sedih, mengalirlah air mata dan kita kehilangan interest terhadap apa jua yang berlaku di sekeliling kita. Apabila kita marah pula, hai, tak perlu dikata!

Namun Allah berfirman,

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."
(Surah Al-Imran 3:133-134)

Emosi yang terdidik akan mampu untuk menghindarkan kita daripada mengambil langkah yang tidak rasional, dan sudah pastinya membuahkan tindakan yang bebas daripada tekanan emosi itu sendiri.

2. Mampu menyelesaikan masalah dengan efektif

Emosi yang ekstrem akan menyebabkan fikiran dan pandangan kita terganggu dan kabur dek buaian perasaan. Seterusnya, kita akan menghadapi kesukaran dalam menimbang tara antara kelebihan dan kekurangan sesuatu keputusan tersebut. Namun elemen emosi dan perasaan tidak boleh diasingkan terus daripada proses memperoleh keputusan tersebut kerana empati itulah yang dapat membantu kita untuk menilai efek keputusan kita itu terhadap orang lain. Kerana itulah perlunya emosi yang terkawal dalam menyelesaikan sesuatu masalah secara efektif dan saksama.

3. Dapat melaksanakan tanggungjawab dengan produktif

Emosi yang tidak seimbang akan mempengaruhi gerak kerja dan hasil pekerjaan kita. Kita akan hilang tumpuan dan melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan sambil lewa sahaja. Oleh itu, untuk melaksanakan sesuatu tugas dengan produktif, kita harus mampu untuk membentuk emosi yang cerdas dan sihat sepanjang masa, di mana pun kita berada.

4. Memelihara hubungan dan komunikasi

Emosi yang negatif akan menyebabkan kita lebih suka untuk menyendiri, tidak menghiraukan orang lain, bahkan adakalanya bertindak agresif terhadap sesiapa sahaja yang berdekatan dengan kita. Hal ini, andainya tidak terkawal, akan menyebabkan kerenggangan, bahkan keretakan dalam persahabatan. Lebih teruk lagi sekiranya ia berlaku di tempat pekerjaan kita nanti, nahas jawabnya!

Untuk menjamin hubungan yang sihat bersama rakan, keluarga dan teman sekerja, kita perlu mencerdaskan emosi agar tidak mudah melatah atau bertelagah sesama kita. Dengan ini dapatlah kita mewujudkan komunikasi yang berkesan untuk mencapai persefahaman dalam apa jua perkara atau masalah yang timbul.

5. Membentuk fikiran yang positif

Individu yang memiliki emosi yang cerdas sentiasa cuba untuk mendidik diri agar memikirkan perkara yang positif dan meninggalkan fikiran yang negatif. Lama kelamaan tabiat ini akan menjadi kebiasaan diri, seterusnya membuahkan satu pola pemikiran yang mantap dan sihat. Kita akan menjadi lebih fokus, dan segala cabaran yang dihadapi akan dapat diselesaikan dengan mudah, manakala segala pekerjaan akan dapat mencapai tahap produktiviti yang tinggi.

(credits: http://ramlanhamzah.com/2013/09/kesihatan_emosi/)

Ok. Bagaimana pula cara-cara untuk mendapat emosi yang cerdas ini?

TIPS MEMBENTUK EMOSI YANG CERDAS

* Sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan Ilahi.

* Menerima segala kekurangan dengan fikiran dan hati yang terbuka, bahkan mengambil kesempatan untuk menjadikan kekurang itu sandaran untuk mencapai yang lebih baik.

* Bersedia memaafkan orang lain.

* Memiliki sahabat yang dipercayai sebagai pendengar yang setia dan memberikan nasihat apabila diperlukan.

* Tumpukan perhatian kepada perkara yang positif dan gunakannya sebaiknya.

Jadi, marilah kita sama-sama berusaha untuk membina kecerdasan emosi dalam diri kita agar segala urusan dapat diselesaikan secara produktif dan berkesan!

Wallahua’lam.


Post a Comment