Kenyataan Umum #1: Tentang KITA

0 comments
بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah.



Assalamualaikum wrh dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua warga muslimin Malaysia di Russia. Kenyataan umum ini dikeluarkan bertujuan untuk menjawab beberapa persoalan yang bermain-main di minda masyarakat, dan seterusnya meningkatkan persefahaman dan ukhuwwah antara AZAM Russia dengan masyarakat. Kenyataan berikut merupakan suara rasmi yang mewakili persatuan dan keseluruhan barisan aktivis AZAM.

1. Apa itu AZAM Russia?
Secara ringkasnya, AZAM Russia merupakan sebuah persatuan pelajar muslimin Malaysia yang menuntut di tanah persekutuan Russia yang memfokuskan pada aspek pendidikan dan pembinaan modal insan. AZAM Russia bertujuan untuk mendidik dan membentuk modal-modal insan yang cemerlang berlandaskan neraca islam yang syumul, melalui program-program dan modul-modul yang disediakan. Untuk pengetahuan lanjut mengenai program-program kami, boleh lah berhubung terus dengan mana-mana kepimpinan dan aktivis AZAM Russia atau melalui ruang sosial media yang sedia ada (email, blogspot, fb, twitter, etc)

2. Afiliasi politik; di mana kah terletaknya AZAM Russia?
-AZAM Russia merupakan persatuan pelajar yang bersifat NEUTRAL dan BEBAS dari mana-mana affiliasi atau hubungkait rasmi dengan mana-mana parti/pertubuhan politik.
-Kami melihat isu polarisasi politik sebagai isu yang tidak wajar dan tidak berbaloi diketengahkan dalam mana-mana program dan modul-modul kami.
-Sebarang perbincangan politik dalam program dan modul kami berlaku dalam suasana yang penuh akhlak, ilmiah dan tidak memihak kepada mana-mana parti, sebaliknya lebih fokus pada perbincangan good-governance (kepimpinan yang baik).
-Adapun mana-mana kepimpinan atau aktivis AZAM Russia yang membuat apa-apa kenyataan berbentuk tulisan/video/etc yang berbaur politik di mana-mana ruang social media (fb, twitter, etc), kenyataan tersebut adalah hasil tindakan pada kapasiti PERIBADI dan tidak mewakili pendirian persatuan.
-AZAM Russia melihat kebebasan bersuara berdasarkan kapasiti individu untuk cakna dan peka dengan perkembangan politik sebagai suatu yang baik, terutamanya dalam usaha masyarakat madani (civilized society) untuk melahirkan individu-individu yang faham,peka dan adil dalam menilai politik.
-Mana-mana pihak yang berhajat agar proses pendidikan direncatkan supaya proses penilaian politik dihalang, wajar dilihat sebagai tidak rasional dan mempunyai tujuan negatif yang tersendiri.
-Adapun begitu, sebarang kenyataan yang tidak berakhlak dan tidak wajar daripada mana-mana aktivis AZAM Russia akan ditegur dan dinasihatI secara serius pada peringkat dalaman.

3. Dari mana datangnya sumber kewangan AZAM Russia?
-Aktivis-aktivis AZAM Russia dididik agar melihat dunia sebagai ladang kepada akhirat. Apa-apa amal yang dilakukan secara ikhlas adalah dalam kerangka meraih redha Allah dan syurgaNya yang tertinggi.
-Kerja-kerja yang dijalankan oleh AZAM Russia dilihat secara serius oleh semua aktivisnya sebagai amal-amal jariah dan islah (pembaikan) ummah.
-Oleh itu, dalam menyahut seruan Allah dalam surah Al-Baqarah;
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَنفِقُوا مِمَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمُُ لاَّ بَيْعُُ فِيهِ وَلاَخُلَّةٌ وَلاَ شَفَاعَةٌ وَالْكَافِرُونَ هُمُ الظَّالِمُونَ
 (Al-Baqarah : 254).
 "Hai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafa’at. Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim."

Dan dalam mengambil semangat dari hadis yg dikeluarkan oleh Imam Muslim ;
 Dari Abu Mas’ud Al-Anshari ra. berkata, suatu ketika seorang lelaki datang kepada Nabi Saw dengan menarik seekor unta yang terikat tali di hidungnya, lalu menyerahkannya kepada beliau. Katanya: “Ini untuk sabilillah!” Maka berkata Rasulullah Saw: “Gantinya nanti di hari kiamat 700 ekor unta, semuanya dengan bertali di hidungnya” (HR. Muslim).
Sumber kewangan terbesar AZAM Russia adalah DUIT POKET aktivis-aktivisnya sendiri, dan hasil keuntungan yang dijana melalui projek-projek ekonomi.
Adapun begitu, bagi menampung kos-kos tinggi aktiviti yang berskala besar, AZAM Russia juga mendapatkan sumber kewangan melalui tajaan segelintir aktivisnya yang berkemampuan untuk menyumbang lebih, melalui sumbangan daripada ahli keluarga, rakan-rakan pelajar dari seluruh pelusuk dunia, bekas-bekas pelajar yang telah menuntut di Russia, dan NGO-NGO yang tidak berhubung kait dengan mana-mana parti politik.
 Setakat itu sahaja kenyataan daripada kami, AZAM Russia. Sebarang pertanyaan boleh lah diajukan kepada mana-mana kepimpinan dan aktivis-aktivis kami. Semoga kita semua terus komited dalam meningkatkan tahap keimanan kita dan seterusnya memperbanyak amal-amal kita untuk meraih redha Allah azza wa jalla.

Wallahua'lam.
Sekian, terima kasih.







Muhammad Ilham b Muntari
Presiden AZAM Russia 2014/15

4 April 2014
"Dengan Keazaman, Kita Bermula"


Post a Comment