Ada jiwa
yang lebih gemar mendengar celoteh,
Namun
ada juga jiwa yang lebih suka dibuai dengan coretan kata.
“Aliya suka sukan lasak?”
kerling Kak Siti, seniorku.
“Suka. Suka sangat. Kenapa?”
“Rock climbing nak?”
“NAKKKK!!!!” Jeritku penuh
teruja.
Merenung batu-batu yang
dipasang pada dinding. Pelbagai bentuk, pelbagai warna. Sama macam kehidupan.
Tak semua orang sama dan setiap orang ada karakter yang tersendiri.
Sukan lasak. Sejak kenal
jalan dakwah dan tarbiyah, sukan lasak seakan tidak sesuai dengan jiwa yang
kenal apa itu ‘hidayah’. Seolah jiwa yang kenal ‘hidayah’ itu, hari-harinya
seharus dipenuhi dengan sibuk mentarbiyah orang.
Umat makin nazak, tarbiyah
perlu pantas dan harus setiap waktu. Mana mungkin ada waktu untuk sukan segala
bagai.
Minat yang tinggi untuk
menunggang kuda terpaksa dibuang ke tepi. Kata mereka, mana sesuai perempuan
yang bertudung labuh, berseluar gedabak terhegeh-hegeh nak menunggang kuda.
Orang tudung labuh kerjanya berdakwah semata-mata.
“Aliya.”
Jiwa seakan tidak dapat
menerima bahawa minat itu terpaksa dikuburkan sebegitu sahaja.
“Aliya!!!!!!”
Apakah Islam sememangnya
menghalang penganutnya untuk aktif bersukan terutamanya kaum perempuan??
“Cik Aliyaaaaaa!!!! Kalau nak
berangan bukan di sini tempatnya ya!!!!”
Bahuku digoncang laju. Gempa
bumikah??
Wajah Kak Siti merah padam
pada penglihatanku. Astaghfirullah. Jauh rupanya aku berangan. Senyum kuukir
semanis mungkin dengan harapan dapat meneutralkan wajah Kak Siti yang masam
mencuka.
“Kak Siti yang comel lagi
baik hati, jangan marah-marah. Nanti tak comel dah.” Pujukku dengan penuh
harapan.
“Kalau anak tekak akak ni
boleh terkeluar, dah lama tau dia terkeluar sebab menjerit panggil awak tau. Ni
mesti sibuk berangan nak kahwin dengan anak raja.”
“Hahahahaha.. Epic la akak
ni. Berangan nak kahwin dengan anak raja dah tak relevan untuk masa kini, ok!”
“Dah apa yang relevannya
dengan masa kini??”
“Untuk orang yang dah dipeluk
cium oleh Mak Cik Hidayah, angan-angan nak kahwin dengan raja telah bertukar
kepada angan-angan nak kahwin dengan ikhwah yang imannya cool dan kacak
bergaya. Hehehehe.”
“Perghhhh.. Lagi epic
rasanya.” Senyum Kak Siti sampai ke telinga.
Batu yang tidak sama
bentuknya ini benar-benar mencabar. Fikirku panjat dinding ini sama seperti
panjat pokok jambu zaman kanak-kanak dulu. Payah benar rasanya untuk sampai ke
atas. Kalau dulu panjat pokok jambu, walaupun susah habuan jambu di atas
memberikan motivasi semangat yang tinggi.
Tapi panjat dinding ni mana
ada tergantung jambu pada penghujung batu. Yang ada atap sahaja sebagai tanda
anda sudah berjaya sampai ke puncaknya. Hebatnya, anda boleh bergaya tangkap
gambar dan upload di instagram dan tulis caption “ Hari ini tak ubah seperti
spiderman, merangkak-rangkak pada dinding.” Kemudian, kira berapa orang like dan
komen gambar tersebut.
“Aliya, awak boleh lepaskan
pegangan pada batu tu. Akak akan turunkan awak perlahan-lahan dengan tali ini.”
Lepaskan batu di hadapan
ini??? Biar betul. Buat ke aku jatuh terus ke bawah macam mana.
Dosa banyak
lagi yang tak bertaubat kalau nak serah diri pada ajalpun.
“Tak nak!!! Saya takut.”
“Aliya, you need to believe
me.”
“Tak nakkkk!!! Takut.”
“Aliya, listen! Berapa lama
awak kenal akak??? Pernah ke akak nak buat cubaan membunuh pada awak?”
Soalan epic apa yang Kak Siti
cuba ketengahkan ni. Soalan Kak Siti benar buat aku fikir sama ada dia pernah
tak cuba hunus pisau pada aku atau letak racun dalam air atau….
“Aliya, jangan cakap yang
awak memang tengah fikir sama ada akak pernah buat cubaan membunuh pada awak ke
tak?”
Alamak. Kantoi pula.
“Aliya, sekarang percaya pada
akak. Lepaskan pegangan awak pada batu, kemudian tendang kaki awak pada
dinding. Akak akan turunkan awak perlahan-lahan dengan penuh lembut dan kasih
sayang.”
“Ok.” Aku mengangguk lemah
dan berdoa di dalam hati agar umurku dipanjangkan oleh Allah.
Ehhhh.. Alhamdulillah. Dah
sampai ke bawah. Seronoklah pula.
“See??? Akak tak de buat
apa-apa yang pelik pun pada awak kan??”
Hehehehehe. Tersengih malu
aku.
Kami berehat seketika. Di
kesempatan itu, aku melihat orang lain yang sibuk memanjat. Benda yang paling
menarik perhatianku ialah tali itu.
Ada apa pada tali itu???
Tali itu diibaratkan seperti
iman kita. Tali itulah yang menjaga kita sewaktu memanjat ke atas dan membawa
kita turun dengan selamatnya. Begitu juga dengan iman. Iman itulah yang menjaga
kita daripada melakukan segala apa yang ‘tak selamat’ atau dengan perkataan
mudahnya menjaga kita daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaanNya.
Selain itu, tali imanlah yang
membawa kita dengan selamatnya pulang ke tempat tinggalnya Adam dahulu iaitu
syurga. Apa jadi jika tali itu tidak kukuh dan terputus???
Boleh jadi, aku yang sibuk
memanjat tadi tiba-tiba jatuh ke belakang yang boleh mengundang kepada pelbagai
jenis kecederaan. Begitu juga dengan tali iman kita. Putusnya tali iman kita
menyebabkan putusnya kita daripada rahmat Allah yang membawa kepada pelbagai
kebinasaan di dunia dan akhirat.
“Sekarang giliran akak pulak
jadi spidergirl. Jaga tali betul-betul. Akak percaya awak sayangkan akak.”
“Hahahaha. Epic la akak ni.”
“Ye la. Akak percayakan awak
tapi sedihnya awak tak percayakan akak.”
“Mana ada. Cuma cuak je
tadi.”
“Ok. Alasan diterima kalau
awak janji nak jaga tali tu betul-betul.”
“Saya janji madam!”
Tersembur gelak ketawa kami.
Orang-orang Rusia memandang hairan. Mana mungkin mereka faham apa yang kami
bualkan.
Kak Siti tampak benar-benar
percaya padaku. Sesampainya dia ke puncak, dia melepaskan pegangannya pada batu
tanpa ragu. Maka aku cuba menjaga kepercayaannya sebaik mungkin.
Kami bergilir-gilir memanjat
dan menjaga tali. Semakin lama, aku semakin yakin bahawa Kak Siti akan menjaga
tali itu dengan sebaiknya.
Alangkah bagus jika jiwa aku
ini pada setiap masa yakin bahawa Allah itu selalu ada di sisi dan menjaga aku
penuh rasa kasih sayang. Alangkah bagusnya jika aku tanpa pernah ragu meyakini
bahawa Allah itu tidak pernah menganiayai aku, meninggalkan aku
terumbang-ambing sendiri. Alangkah bagusnya jika dari dulu lagi aku sedar
bahawa Allah bukan meletak aku di satu tempat yang bahaya cuma menguji sedikit
sahaja iman di dada. Bukankah sebagai seorang kekasih, Allah berhak menguji
cinta kekasihnya bila-bila masa saja??
Aduhaiii aku. Aku yang
sentiasa penuh prasangka pada Tuhan.
“Macam mana Aliya???
Seronok???”
“alhamdulillah seronok
sangat.”
“Akak tahu Aliya suka sukan
lasak.”
Hairan. Ahli nujum ke Kak
Siti ni.
“Tak payah buat muka berkerut
sangatlah. Kalau dah hampir setiap masa dengan awak, awak sibuk bercerita pasal
kenangan tunggang kuda dulu dah cukup membuktikan yang jiwa awak tu rindukan
sukan yang lasak.”
Senyum simpul. Rasa termalu
sendiri.
“Tapi akak… kata orang sukan
lasak tak sesuai dengan orang-orang yang dah ditampar dengan Mak Cik Hidayah
ni. Kata orang, masa kita haruslah sepenuhnya sibuk memikirkan dan mentarbiyah
ummah semata.”
“Perghhhhh.. Dasyat sangat
ni. Patut la awak makan hati.”
Aku mengangguk lemah.
“Pernah tak awak dengar hadis
yang mengatakan mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh
Allah daripada mukmin yang lemah.
Mana mungkin mukmin itu akan kuat kalau tidak bersukan. Betul tak??”
Kini, anggukanku lebih bersemangat.
“Islam tak pernah melarang umatnya bersukan
cuma kena menjaga batas-batas pergaulan, menutup aurat dengan sempurna agar
tidak mendatangkan fitnah pada agama.
Jadi, lepas ni kalau nak bersukan teruskanlah.”
“ Arosso
akak.”
“Alahai…
Jadi minah Korea pulak adik akak ni.”
Kami
melangkah pulang. Aku berpaling ke belakang. Siapa sangka, daripada bersukan
banyak hikmah yang diperolehi. Syaratnya mudah sahaja, setiap apa yang kita
lakukan pandanglah dengan mata hati insha Allah akan jumpa hikmah yang hilang.
“Hikmah sering menjadi sesuatu yang hilang buat mereka yang hanya memandang dengan mata kasar semata.”
“Akak,saya
ada teori yang hebat tentang ‘rock climbing’ tadi dengan Islam. Teori yang
lebih hebat daripada teori Albert Einstein mungkin.”
“Apa
dia?”
Senyum
terukir. Segala teori tadi ku bentangkan penuh semangat.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya,Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada orang yang bijaksana di mana sahaja dia mendapatinya maka dialah yang lebih berhak dengannya”.
Post a Comment