Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
AZAM Russia kembali lagi membawakan anda berita-berita terkini dari seluruh dunia.
Pilihan Raya Presiden Mesir 26, 27 Mei
1 April 2014
KAHERAH, MESIR- Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir mengumumkan Pilihan raya Presiden Mesir akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini dan keputusan pilihan raya itu dijangka diumumkan 5 Jun nanti.
Sekiranya tiada calon yang memenangi kerusi, pilihan raya itu akan berlangsung untuk pusingan kedua dijadualkan 16 dan 17 Jun dan keputusan akan diketahui pada 26 Jun.
Jurucakap suruhanjaya pilihan raya berkata, pendaftaran calon-calon dilakukan pada 20 April dengan tempoh kempen selama 20 hari bermula 3 Mei.
Difahamkan, bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi dijangka menjadi calon utama dalam pilihan raya itu.
Bagaimanapun, beliau bakal mendapat tentangan daripada calon pembangkang Hamdeen Sabbahi yang pernah ditewaskan Presiden digulingkan Mohammed Mursi ketika pilihan raya 2012.
Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagaimanapun melahirkan kebimbangan terhadap pencalonan Al-Sisi di mana akan berlaku pertempuran lebih besar dari kalangan rakyat yang menolak bekas tentera untuk kembali mentadbir.
“Kami jangkakan proMursi dan gerakan Ikhwanul Muslimin akan bangkit menentang pencalonan itu,” katanya.
Sementara itu, Al-Sisi mula melakukan kempen pilihan raya dengan menaiki basikal memasuki beberapa kawasan di Tagamu el-Khames di ibu negara.
Beliau dilihat berbasikal bersama beberapa penyokongnya untuk meraih undi dan berkempen secara senyap, laporan dipetik dari Al Arabiya.
Israel tawar RM262j kempen Al-Sisi
4 April 2014
KAHERAH, MESIR- Israel menawarkan AS$80 juta (RM262 juta) kepada bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi sebagai sokongan kempen pilihan raya presiden Mei ini.
Menurut laporan Al Monitor, sumber keselamatan Mesir mendedahkan perkara itu melalui butiran pertemuan antara pegawai-pegawai tentera Mesir dan Israel, dua minggu lalu.
Sumber sama turut membongkar, dua lawatan rahsia dilakukan Al-Sisi ke Israel pada dua bulan lalu juga dikatakan mempunyai kaitan dengan kempen terbabit.
Sebelum ini, pemimpin itu mengaku, pertemuannya dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu adalah untuk menyelaras keselamatan bersama dan menyelesaikan beberapa isu politik.
Agensi berita Quds Press melaporkan, selain menawarkan ganjaran wang, Netanyahu juga berjanji akan meyakinkan Amerika Syarikat untuk meneruskan bantuan ketenteraan ke Mesir.
Sebagai balasan, Netanyahu menggesa Al-Sisi supaya memberi tekanan kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk menghentikan kempen menentang tentera Dahlan di sempadan Sinai yang sebelum ini pernah dimiliki Israel. - Al Monitor
Peguam boikot perbicaraan Ikhwanul
3 April 2014
KAHERAH, MESIR- Barisan peguam bela bagi 50 pemimpin dan ahli Ikhwanul Muslimin, memboikot sesi pertama perbicaraan selepas hakim enggan memperincikan tuduhan bersalah terhadap mereka.
Kesemua mereka dihadapkan ke sebuah mahkamah di Akademi Polis New Cairo selepas didakwa bersalah mendalangi keganasan Ogos lalu di Dataran Rabaa Al-Adawiyah, Bandar Nasr, timur Kaherah.
Sumber perundangan berkata, barisan peguam bela menarik diri sebagai protes selepas salah seorang defendan memberitahu hakim, beliau tidak dapat mendengar dengan jelas prosiding itu.
“Pasukan pembelaan menuntut mahkamah perincikan setiap pertuduhan namun permintaan ditolak dan hakim meneruskan perbicaraan,” katanya dipetik Al Ahram.
Menurutnya, peguam bela juga menuntut penarikan diri panel hakim juri dan memohon mahkamah lain untuk meneliti kes itu.
Kesemua mereka adalah antara 529 tahanan yang dijatuhi hukuman mati selepas dituduh berkomplot untuk menjatuhkan Perlembagaan bagi menubuhkan kerajaan alternatif dan cubaan menculik Ketua Tentera Abdel Fattah Al-Sisi.
Nato gantung kerjasama dengan Rusia
3 April 2014
BRUSSELS, BELGIUM - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menggantung semua kerjasama dengan Rusia susulan krisis Crimea dan mempersoalkan sejauh mana Kremlin mengundurkan tenteranya dari sempadan Ukraine.
Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen berkata, setakat ini tiada pengesahan Rusia menarik balik sepenuhnya tentera negara itu dari sempadan Ukraine.
“Rusia gagal meyakinkan kami tentang penarikan tentera mereka. Oleh itu, semua menteri dari 28 negara bersetuju menggantung kerjasama dengan Rusia termasuk ketenteraan dan awam kecuali hubungan komunikasi diplomatik,” katanya dipetik AFP.
Wilayah Korea makin tegang
3 April 2014
PYONGYANG - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un memberi amaran untuk melancarkan ujian nuklear susulan ketegangan semakin memuncak antara wilayah Korea selepas dua negara terbabit berbalas bedilan baru-baru ini.
Dalam pertemuan dengan pemimpin tertinggi tentera kelmarin, Kim menyalahkan Washington dan Seoul tentang perbalahan semasa yang dihadapi selain mendakwa pihaknya telah ditindas pada rundingan damai Pyongyang.
"Situasi sekarang sangat tegang," menurut Kim dipetik sebagai berkata dari agensi berita rasmi KCNA dipetik laporan Telegraph.
Kim yang juga Komander Tertinggi Tentera Korea Utara (KPA) memberitahu pegawai kanannya, walaupun Korea Utara memberi gerak isyarat untuk berdamai, namun latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat dilihat sebagai untuk menceroboh Pyongyang.
Britain arah siasat Ikhwanul Muslimin
2 April 2014
LONDON, UNITED KINGDOM- Perdana Menteri Britain David Cameroon mengarahkan siasatan ke atas Ikhwanul Muslimin (IM) susulan kebimbangan bahawa kumpulan itu merancang aktiviti radikal di negara tersebut.
Menurut AFP, Cameroon meminta agensi perisikan mengumpul maklumat mengenai falsafah dan aktiviti kumpulan terbabit serta potensi ancamannya di United Kingdom
Tindakan diambil kerajaan adalah susulan laporan mengatakan pemimpin IM telah bertemu di London tahun lalu untuk membuat keputusan mengenai tindak balas mereka terhadap krisis Mesir, yang tercetus apabila salah seorang ahlinya Mohamed Mursi digulingkan sebagai presiden.
25 pelajar al-Azhar dibuang universiti
2 April 2014
KAHERAH, MESIR- Universiti al-Azhar membuang 25 pelajarnya kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi antikerajaan yang diadakan di kampus baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, pihak universiti juga memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang terbukti terlibat dalam sebarang protes di mana-mana universiti di negara tersebut.
Menurut Press TV, kesemua pelajar yang dibuang didakwa menyertai protes 30 Mac lalu yang menyebabkan kematian dua pelajar semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan.
Pertempuran maut itu dipercayai tercetus apabila penunjuk perasaan menyerang pihak keselamatan kerana mengecam pencalonan presiden bekas Menteri Pertahanan, Abdel Fattah al-Sisi.
Pencerobohan Crimea ditolak PBB
29 Mac 2014
NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT- Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyokong resolusi disokong Barat yang mengisytiharkan referendum untuk memisahkan Crimea dari Ukraine adalah tidak sah.
PBB turut menolak pencerobohan Rusia di wilayah itu selain mengkritik keputusan Presiden Vladimir Putin yang sewenang-wenangnya mengeluarkan dekri mengiktiraf Crimea sebagai sebahagian daripada negara terbabit.
Resolusi tidak terikat itu diluluskan selepas dipersetujui 100 negara anggota.
Sementara itu, Ukraine yang menggubal resolusi terbabit telah menggesa masyarakat antarabangsa supaya menyokong dokumen tersebut bagi menyekat kemaraan Rusia ke negara berkenaan.
Menurut pemangku Menteri Luar, Andriy Deshchytsya, beliau yakin undi tersebut dapat menghalang tindakan lebih agresif yang bakal diambil Moscow.
EU boikot Israel
30 Mac 2014
BRUSSELS, BELGIUM- Parlimen Kesatuan Eropah (EU) bersepakat menyertai kempen antarabangsa yang semakin berkembang untuk memboikot Israel susulan peningkatan aktiviti di kawasan yang diduduki di wilayah Palestin.
Ketua Dasar Luar EU Catherine Ashton berkata, sebanyak 29 ahli Parlimen menyokong usul supaya menggesa firma-firma Eropah menggantung urusan perdagangan dengan firma Israel.
“Sebarang hubungan ekonomi dengan syarikat Israel yang terlibat dalam pembinaan penempatan haram adalah pencabulan hak asasi manusia dan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya dalam laporan Al Ahram.
Menurutnya, EU juga menyekat semua geran dan pembiayaan kepada mana-mana entiti Israel yang berpangkalan di penempatan haram.
Pemulauan berleluasa sejak Mac lalu menyebabkan negara itu kerugian 30 juta dolar (RM 98 juta) setakat ini.
Dua lagi 'proMursi' digantung
31 Mac 2014
ISKANDARIAH, MESIR- Sebuah mahkamah Mesir menjatuhi hukuman mati terhadap dua lagi penyokong Presiden yang digulingkan Mohammed Mursi kerana melakukan pembunuhan hingga mencetuskan keganasan tahun lalu.
Mahmoud Ramadan dan Abdullah el-Ahmedi dituduh mencampak Mohamed Badr dari sebuah bumbung bangunan di bandar Mediterranean.
Bapa Mohamed Badr berkata, beliau tidak tahu sama ada individu mencampakkan anaknya dari bumbung itu adalah 'penyokong Mursi' atau sekumpulan individu yang sengaja mencetuskan provokasi.
“Seluruh rakyat Mesir tahu ketika kejadian itu, ratusan ‘orang luar’ dibawa masuk ke Kaherah untuk sengaja mencetuskan kekecohan,” katanya dipetik Al Ahram.
AKP umum kemenangan pilihan raya tempatan
1 April 2014
ANKARA, TURKI- Pilihanraya Umum Turki pada 30 Mac 2014 sekali lagi mencatatkan kemenangan bagi Parti AKP Pimpinan Recep Tayip Erdogen.
Kemenangan ini dianggap satu kejutan buat Erdogen ketika dirinya menjadi sasaran pertuduhan melakukan korupsi serta memerintah secara autokrasi. Dipetik dari BBC 31/3/2014, selepas memenangi pilihanraya umum, Erdogen menyatakan kemenangan itu adalah satu kepercayaan dari warga Turki selama pemerintahannya.
“Kalian telah menyokong Perdana Menteri kalian, saya sangat berterima kasih. Kalian telah melindungi perjuangan bagi kemerdekaan baru di Turki,"...ucap Erdogen.
Dalam pilihanraya umum itu, Parti AKP memperolehi 47.6 peratus undi, 25.5 peratus dari Parti Rakyat Republik dan 13.7 peratus dari Parti Gerakan Nasional.
Kemenangan Parti AKP dan Erdogen dianggap paling layak setelah AKP berkuasa lebih dari 10 tahun telah berjaya mengubah Turki dan keseluruhan rakyat menjadi lebih baik. Kestabilan Politik tetap terjaga serta pertumbuhan ekonomi Turki meningkat ditengah-tengah krisis ekonomi yang melanda negara-negara kesatuan eropah ketika ini.
Etnik Islam Tatar tuntut hak
31 Mac 2014
SIMFEROPOL, CRIMEA- Penduduk Islam Tatar, kelmarin mengundi untuk membentuk kerajaan sendiri susulan daripada pencerobohan Rusia di wilayah Crimea, minggu lalu.
Lebih 200 wakil dari seluruh Crimea berhimpun di bandar Bakhchysarai untuk menyertai mesyuarat tergempar Qurultay atau Kongres bagi membuat keputusan mengenai nasib kira-kira 300,000 masyarakat Islam di semenanjung Laut Hitam terbabit.
Pemimpin Tatar, Refat Chubarov berkata, semua orang perlu diberi pilihan untuk membuat keputusan bagi menentukan masa depan mereka.
"Kami juga mempunyai hak untuk membuat pilihan seperti penduduk Rusia di Crimea," tegasnya, dipetik dari AFP.
Difahamkan, selepas beberapa jam berdebat, mereka akhirnya mengundi untuk melancarkan prosedur politik dan undang-undang autonomi etnik ke atas wilayah bersejarah terbabit.
Bagaimanapun, butiran mengenai rancangan itu tidak dijelaskan sama ada etnik Tatar berkenaan turut menuntut untuk menjadi sebuah entiti autonomi di Ukraine.
Wartawan wanita terbunuh
30 Mac 2014
KAHERAH, MESIR- Lima terbunuh, termasuk seorang wartawan wanita ketika perhimpunan antikerajaan di Kaherah dan Iskandariah, kelmarin.
Media tempatan melaporkan, kesemua mereka terbunuh selepas tercetus pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan ketika demonstrasi menentang pencalonan bekas Ketua Tentera Abdel Fattah Al-Sisi untuk bertanding dalam pilihan raya presiden yang dijadualkan bulan hadapan.
Keganasan tercetus selepas solat Jumaat itu juga berlaku selepas ribuan rakyat tidak berpuasa hati dengan keputusan mahkamah yang menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap 529 penyokong Mursi dan 700 yang lain bakal didakwa minggu depan.
Pegawai Kementerian Kesihatan Khaled al-Khatib berkata, wartawan akhbar milik persendirian Al-Dustour, Mayada Ashraf, 23, maut ditembak di kepala ketika membuat liputan termasuk tiga individu lain dalam kejadian di Ein Shams.
“Empat orang cedera dalam pertempuran di wilayah utara Damietta,” katanya menurut laporan Agensi.
Di Madinat Nasr, timur Kaherah, polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan pelajar Universiti Al-Azhar menyebabkan puluhan cedera.
Pada kejadian semalam, secara keseluruhannya, lebih 50 penyokong Mursi ditahan di wilayah Damietta dan wilayah Minya selatan atas kesalahan bertempur dengan anggota keselamatan dan mengedarkan risilah berbentuk provokasi.
Pemerhati politik berpendapat, pihak keselamatan sengaja bertindak balas bagi membolehkan lebih ramai lagi penyokong Mursi ditahan.
Sehingga kini lebih, 1,200 penyokong pemimpin itu ditahan dengan prosiding dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Gempa bumi kuat landa utara Chile
2 April 2014
KUALA LUMPUR - Satu gemba bumi berukuran 8.0 pada skala Richter berlaku di Near Coast of Northern Chile pada pukul 7.46 pagi 2 April yang lalu.
Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini menyebut gempa itu berpusat 84 km Barat Laut dari Iquique, Chile dan 17,906 km Barat Daya dari Pontian, Johor.
Bagaimanapun gempa itu tidak menyebabkan ancaman tsunami di Malaysia, menurut kenyataan itu lagi.
Sekian sahaja Friday Wrap untuk kali ini. Semoga bermanfaat!
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”
( 2 : 186)
#pray4egypt
Post a Comment