Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Friday Wrap kini kembali membawakan berita-berita terkini dari seluruh dunia.
Karpal Singh, pembantu meninggal dunia nahas di Gua Tempurung
17/4/2014
KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh serta pembantunya, meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 301.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara di Gua Tempurung, kira-kira jam 1 pagi tadi.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dilaporkan terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya terbabas dan melanggar belakang sebuah lori.
Turut terbunuh pembantunya, Michael Cornandez, manakala tiga lagi parah.
Feri karam di Korea Selatan: 179 diselamatkan, 290 masih hilang
17/4/2014
SEOUL - Pasukan pengawal pantai Korea Selatan berkata setakat pagi ini hanya 179 orang di dalam karam di perairan selatan negara itu semalam sudah diselamatkan manakala 290 lagi masih hilang.
Tragedi itu juga sudah meragut enam nyawa setakat ini. - AP
Yingluck dibicara esok
17/4/2014
BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, berdepan perbicaraan di mahkamah esok yang mungkin membawa kepada pemecatannya, langkah yang selari dengan matlamat penunjuk perasaan antikerajaan yang mahu beliau disingkirkan.
Pegawai memberi isyarat keputusan tidak menyebelahi beliau, kabinetnya boleh memberi alasan cukup kukuh untuk membuat keputusan sama ada melaksanakan pilihan raya baru atau tidak
Aktivis pembangkang pula membayangkan kemungkinan konflik sivil yang lebih luas. Yingluck dijangka hadir di Mahkamah Perlembagaan untuk mempertahankan diri terhadap dakwaan beliau menyalah guna kuasanya pada 2011 apabila memindahkan Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan, bertujuan menjamin kenaikan pangkat salah seorang saudaranya.
Keputusan dijangka diketahui sebelum akhir bulan ini, dengan peluang kemenangan Yingluck dilihat rendah. Bulan lalu, kes berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Pentadbiran, yang menyatakan tindakan Yingluck memindahkan Thawil Pliensri tiga tahun lalu, menyalahi undang-undang.
Ukraine, Moscow kian tegang
14/4/2014
DONETSK - Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam pertempuran antara pasukan anti-pengganas Ukraine dengan kumpulan bersenjata pro-Russia yang menawan sebuah balai polis di Slavyansk, insiden yang diramal meningkatkan ketegangan hubungan dengan Moscow.
Menteri Dalam Negeri Ukraine, Arsen Avakov, berkata seorang pegawai negara itu terbunuh manakala kemalangan jiwa turut dilaporkan di pihak pemisah.
Seramai 40,000 askar Russia kini ditempatkan sempadan timur Ukraine manakala Moscow memberi amaran kepada Kiev agar tidak melaksanakan sebarang tindakan kekerasan. “Kemalangan jiwa berlaku di kedua-dua belah pihak,” kata Avakov melalui laman Facebooknya, ketika media Russia dalam laporan yang tidak disahkan berkata, seorang penunjuk perasaan terbunuh.
Sabtu lalu, Avakov mengecam apa yang disifatkan sebagai ‘paparan tindakan agresif Rusia’ apabila militan pemisah bersenjata melancarkan siri serangan ke atas ibu pejabat polis di seluruh bahagian di sebelah timur.
Serangan terancang sekumpulan lelaki yang memakai seragam tentera tidak bertanda merujuk kepada apa yang berlaku di Crimea Mac lalu, sekali gus mencetus kebimbangan bahawa Russia cuba menyemarakkan kekacauan sebagai alasan untuk campur tangan di Ukraine.
Majlis Keselamatan Ukraine bermesyuarat lebih tiga jam kelmarin untuk membincangkan krisis di timur, namun setakat ini tiada keputusan diumumkan.
Tuduh Moscow ceroboh
Ukraine turut menuduh Moscow melakukan ‘pencerobohan’ kelmarin selepas sekumpulan lelaki bersenjata merampas dua bangunan keselamatan ketika tunjuk perasaan menuntut wilayah majoriti berbahasa Russia ini untuk menyertai Russia semakin merebak.
Serangan yang diselaraskan itu dan satu siri tembakan antara militan dan polis di dua bandar di timur menambahkan lagi ketidaktentuan krisis menjelang rundingan langsung pertama antara Kesatuan Eropah (EU) dan diplomat Amerika berserta rakan sekutu mereka Moscow dan Kiev di Geneva pada Khamis.
Kerajaan sementara Ukraine berdepan tekanan berterusan dari Russia sejak penyingkiran presiden kurang popular yang disokong Kremlin Viktor Yanukovych Februari lalu dan keputusan untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan Barat.
AFP
Mahathir doakan Jokowi dipilih sebagai Presiden baharu Indonesia
14/04/2014
JAKARTA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendoakan calon presiden dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Joko Widodo atau Jokowi, dipilih sebagai presiden baharu Indonesia pada Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden, 9 Julai ini.
"Saya doakan Bapak Jokowi menjadi presiden berikutnya,” kata Dr. Mahathir ringkas kepada Jokowi sebelum meninggalkan kediaman Ketua Umum PDI-P, Megawati Soekarnoputri di sini, Isnin.
Diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir itu, Jokowi yang juga Gabenor Jakarta dan calon paling popular dalam kalangan bakal calon presiden dari parti lain, hanya tersenyum sambil berkata: “Amin...”.
Sebelum ini, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang akan menamatkan pentadbirannya pada Oktober ini, secara terbuka menyokong Jokowi sebagai penggantinya.
Pada Pemilu parlimen 9 April lepas, PDI-P berada pada kedudukan teratas menerusi kiraan awal yang dilakukan oleh pelbagai badan kaji selidik. - Bernama
Bincang pihak urus kotak hitam
14/4/2014
KUALA LUMPUR - Malaysia sedang berbincang dengan pihak berwajib dan pakar-pakar penerbangan mengenai siapakah pihak yang berhak menguruskan kotak hitam Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang selepas ia ditemui kelak.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan pakar-pakar terlibat juga akan melihat kepada undang-undang domestik dan antarabangsa berhubung isu tersebut.
Menurut beliau, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) kini berada di United Kingdom untuk berbincang mengenai perkara tersebut.
"Siapa yang berhak ke atas kotak hitam itu dan menyiasat data di dalamnya, kita akan umumkan selepas ia ditemui, buat masa ini Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, Angus Houston sedang berusaha mengesahkan isyarat yang dikesan di Lautan Hindi itu dahulu.
"Kita juga sedang membuat persediaan untuk menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa kementerian, panel pakar-pakar dan Suruhanjaya Diraja yang akan diumumkan tidak lama lagi bagi menyiasat kandungan data dalam kotak hitam tersebut," katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan persiapan Persidangan dan Pameran Ke-14 Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 14 hingga 17 April ini.
Serangan kimia terbaharu di Syria
13/4/2014
BEIRUT - Kumpulan penentang dan pihak kerajaan mengesahkan seorang penduduk terbunuh, manakala sejumlah orang lagi cedera ekoran serangan gas beracun di kawasan yang dikuasai penentang kerajaan, semalam ketika usaha memusnahkan senjata kimia di negara ini sedang giat dijalankan.
Pihak berkuasa sedang masih menyiasat kejadian itu, yang berlaku kelmarin di perkampungan Kfar Zeita yang dikuasai penentang kerajaan, kira-kira 200 kilometer dari Damsyik.
Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengambil masa beberapa bulan untuk mengesahkan beberapa serangan senjata kimia yang berlaku pada tahun lalu, termasuk serangan yang menyebabkan beratus-ratus penduduk terbunuh.
Beberapa rakaman video oleh pihak aktivis di Kfar Zeita menunjukkan imej beberapa lelaki, wanita dan kanak-kanak memakai topeng gas oksigen dan mengalami kesukaran bernafas di sebuah hospital.
Kejadian itu didakwa berpunca daripada kesan serangan sejenis racun.
Pihak penentang dan tentera kerajaan menyalahi antara satu sama lain berhubung kejadian itu.
Kumpulan Gabungan Kebangsaan Syria mendedahkan bahawa serangan gas beracun itu turut mencederakan berpuluh-puluh orang, namun jenis gas yang digunakan tidak dapat dikenal pasti.
Sementara itu, Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, gas beracun itu dikeluarkan melalui serangan udara yang mengeluarkan asap tebal di kawasan tersebut dan menyebabkan orang ramai lemas dan mengalami sesak nafas.
Stesen televisyen tempatan pula menyalahkan Barisan Nusra dalam serangan berkenaan dan mendakwa kumpulan itu menggunakan gas klorin yang mengakibatkan dua orang terbunuh dan lebih 100 orang cedera.
Namun, stesen televisyen itu tidak menjelaskan tentang cara penggunaan gas klorin itu, selain mendakwa Barisan Nusra sedang bersiap-sedia untuk melancarkan satu lagi serangan senjata kimia di Wadi Deif serta Hama.
Bagaimanapun, stesen televisyen kerajaan itu tidak menyatakan sumber yang mendedahkan rancangan kumpulan tersebut. - AGENSI
Perarakan menentang pengepungan Semenanjung Gaza akan diadakan di seluruh Eropah
14/4/2014
EU - Pertubuhan-pertubuhan hak manusia Eropah telah mengisytiharkan cadangan mereka untuk menyertai perarakan terkenal yang diadakan di seluruh Eropah sebagai tanda protes kepada pengepungan berterusan Israel selama 8 tahun berturut-turut di Semenanjung Gaza, terutama apabila berlakunya sekatan-sekatan Mesir di lintasan Rafah baru-baru ini.
European Campaign to End the Siege of Gaza (ECESG) telah mengesahkan bahawa beberapa pertubuhan dan institusi hak manusia di lebih dari 30 bandar-bandar Eropah telah menyuarakan cadangan mereka untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan secara bersepadu pada 26 April ini terhadap pengepungan Semenanjung Gaza dan sekatan Mesir di semenanjung itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis lalu, ECESG menyatakan bahawa perarakan Eropah secara besar-besaran ini diadakan berikutan situasi kemanusiaan yang semakin merosot di semenanjung itu akibat sekatan oleh Israel-Mesir yang semakin ketat.
Sekian sahaja Friday Wrap untuk minggu ini. Semoga bermanfaat!
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara”..
(Al-Hujurat : 10)
Post a Comment