BIDADARI SYURGA

0 comments
Puas sudah neuron-neuron bersambung memikirkan madah yang perlu diukir tetapi kosong! Kosong sepertinya tajuk lagu penyanyi Najwa Latif. Sedang diri punya keinginan yang meronta agar sampai kepada si pemilik hati apa yang terbuku di hati ini. Mungkin perlu kuukirkan dulu…

Assalamualaikum wrh. wbt.

Menjengah sudah bulan Mac, atau mungkin sinonimnya rakyat bumi Soviet ini memanggilnya первый весенний месяц (the first month of spring). Paling tidak, pasti akan dikaitkan dengan cuti yang panjang selama 3 hari berturut khususnya untuk meraikan golongan wanita. Women’s Day!

[credit]
Golongan wanita dirai, dihormati haknya, diberikan kebebasan padanya, diberikan peluang untuk berjawatan tinggi. Kini, ia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama mungkin si empunya tulang rusuknya. Tapi ia lupa akan suatu masa dahulu. Dialah golongan yang paling dihina melebihi binatang. Ditanam dan dibakar hidup-hidup. Kelahirannya membawa aib kepada keluarga dan dia sememangnya tidak pernah peroleh kelayakan untuk hidup. Diperkosa dan diperhambakan tanpa kerelaan serta dijadikan warisan tanpa ada kebebasan. Kehidupannya ibarat telur di hujung tanduk!

Kemudian, datangnya nur Islam dari Allah Yang Maha Penyayang. Melalui utusanNya, disampaikan wahyu untuk memartabatkan maruah wanita. Mereka tidak lagi dilayan seperti seekor haiwan. Sebaliknya, dijadikan sebagai teman dan isteri untuk didampingi dan dilindungi sepanjang masa.

Allah Ta'ala berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (4:19)

Tapi wanita pada zaman metropolitan ini seakan lupa sejarah silamnya! Ia merasakan sudah kebal. Sudah sehebat kaum adam. Paling mendukakan ia mencabar undang-undang Allah seolah-olah dunia ini kekal dan hidup ini adalah haknya. Ia terlupa bahawa dunia ini hanyalah pinjaman sementara. Dunia ini hanyalah taman permainan tipu daya yang apabila telah sampai waktunya akan terhapus dan  kembali kepada Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Kekal.

Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah S.A.W. melihat Syurga dan Neraka. Ketika baginda melihat Neraka baginda bersabda kepada para sahabatnya:

                “ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda S.A.W. menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” 
(HR Imam Al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda bersabda:

                “ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bonggol unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.”
(HR Muslim dan Ahmad)


Begitu banyaknya peringatan dan teguran untuk semua wanita. Namun, tidaklah Allah itu berlaku kejam dengan memberi ancaman sahaja. Mereka juga sering diperingat akan hakikat dengan penuh kasih sayang bahawa wanita juga adalah golongan yang paling mudah memasuki syurga.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, “Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya : Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka.” (HR Ahmad)

Untungnya para wanita kerana diberi peluang memilih mana-mana pintu syurga apabila telah melakukan keempat perkara tersebut. Mereka ini, wanita dunia, jua punya kelebihan yang dicemburui oleh para bidadari syurga, sedangkan bidadari ini tidak pernah peroleh kemurkaan Allah. Apakah yang membuatkan bidadari ini cemburu kepada wanita dunia?
                
Daripada Ummu Salamah, katanya: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Jawabnya Baginda SAW: “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.” Aku bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda SAW menjawab: “Dengan solat, puasa dan ibadah mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning.” (HR At-Thabrani)

Jika lelaki diberikan nikmat berjihad dengan mengangkat pedang di medan perang, wanita juga boleh berjihad mengikut batas kemampuannya,
                
Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.” (HR al-Bukhari)

Dengan nikmat yang pelbagai ini, apakah wanita harus mendominasi neraka di akhirat kelak? Dan tiada rasa cemburukah dalam diri seorang wanita apabila ia mengetahui Allah memberikan syurga berserta bidadari buat para jejaka yang syahid? Apatah lagi jika jejaka itu adalah lelaki yang dicintai atau yang telah berjanji sehidup semati bersama. Inilah cabaran. Inilah ujian. Inilah ibrah yang harus diambil untuk menguatkan azam wanita.  Jalan mudah telah terbentang luas. Hanya kerana terleka dengan tipu daya dunia, peluang menjadi bidadari syurga terlepas begitu sahaja. Hanyut dalam kealpaan dan kesibukan mencari dan mencanang ciri-ciri imam buat masjid yang akan terbina. Namun, terlupa akan masjid yang juga memerlukan sentuhan sang bidadari syurga agar amanlah dan berkatlah segala isi masjid yang terbina kerana Allah. Ayuh! Berubahlah! Burulah cita-cita menjadi bidadari syurga! J

Wallahua’alam.

[credit]









Post a Comment