Encik Sow Latt

0 comments

Encik Sow Latt

Apa khabar hati? [Kredit]

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, bersyukur ke hadratNya kerana masih mengekalkan kita semua dalam nikmatNya yg terbesar iaitu islam.
Inshaallah untuk tazkirah kali ini, saya ingin berkongsi  serba sedikit pengajaran yang saya dapat baru-baru ini. Semoga memberi manfaat kepada semua yang membaca inshaallah.
Pernah tak kita terdengar atau termasuk dalam perbualan sebegini,

Ali: “Abu, kau tahu tak kenapa kita kena solat?”
Abu: “Errr…. supaya kita ingat Allah”
Ali: “Ha! Pandai!” (sambil senyum-senyum). “Kita ni ada 24 jam sehari kau tahu? Haha mestila, soalan bodoh je aku tanya. Kalau lah perintah solat ni takde, kita semua ni harus sehari suntuk dah tak ingat kat Allah. Jadi sebab tu la kita kena spend betul-betul time solat ni untuk ingat Allah je, time lain jangan harap la. Kalau nak ikutkan, 5 minit je kita guna setiap kali solat. Memandangkan lima kali solat, jadi semuanya 25 minit. So, bayangkan 25 minit je kau nak ingat Allah betul-betul. Yang 23 jam 35 minit lagi tu harusla kita buat apa yang patut kan macam kerja, study, makan, tidur, sukan, game, muzik dan lain-lain. Time tu sure kita takde la nak ingat Allah kan. Ada ke kau pernah tengok orang sambil makan sambil astaghfirullah….astaghfirullah……astaghfirullah…? Takde kan. So, sebab tu la kita kena spend our sweet 25 minit tu betul-betul untuk Allah. Kau setuju x?”
Abu: “Setuju” (sambil mengangguk kepala tanda betul-betul bersetuju)

[Perbincangan penting antara Ali dan Abu] [Kredit]


Mungkin ada di antara anda semua yang pernah mendengar perbualan sebegini (mungkin yang makan sambil istighfar tu tiada la barang kali) dan mungkin ada yang tidak.
Sememangnya tidak dinafikan yang solat ini adalah perbuatan yang boleh mengingatkan diri kita kepada Allah.

Tidak dinafikan juga bahawa kita harus solat dengan betul-betul (khusyuk)
Tetapi yang menjadi tanda tanya adalah adakah pada waktu solat sahaja kita mengingati Allah? (Korang mesti jawab ‘tidak’ dalam hati) (Bagus-bagus).

Sebagai seorang manusia dan juga hamba Allah, apakah tujuan utama kita dalam hidup? Mungkin ada diantara anda yang menjawab untuk beribadat kepada Allah dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Syabas, jawapan anda memang tepat sekali. Jadi hidup kita ini sememangnya adalah untuk mencari keredhaan Allah.

Soalan seterusnya, mengapakah kita bersetuju dengan makna tujuan penciptaan manusia ini?
Jawapannya mudah saja, kita bersetuju kerana hati kita bersetuju. Anda setuju?
Apabila anda bersetuju, oleh itu, tertolak lah kenyataan yang mengatakan untuk mencari keredhaan Allah adalah hanya dengan solat, betul? Jadi sebenarnya seluruh 24 jam dalam sehari itu perlu digunakan sebaiknya untuk mencari keredhaan Allah. Bekerja untuk mencari keredhaan Allah. Study untuk mencari keredhaan Allah. Dan bukannya mencari keredhaan Allah untuk mendapat kerja yang bagus atau hebat dalam study. Setuju? Juga perkara yang sama diaplikasikan kepada perkara lain seperti  makan, tidur, masak,  buang air, bersenam, main game, nyanyi (erk… game? nyanyi?) (Bergantung )

[Kita semua kena jadi Full Time Muslim setuju?] [Kredit]

Tetapi pernahkah hati kita terlupa akan tujuan asal ini, iaitu mencari redha Allah? Mungkin tersasar? Atau terikat kepada perkara-perkara lain selain Allah seperti duit, manusia dan lain-lain?
Mmmhh….. saya membuat andaian bahawa semua yang sedang membaca termasuk diri saya sendiri pernah bukan? Biasalah, kita bukan maksum sepertimana para nabi.

Sememangnya kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa hati kita memang mudah untuk tersasar. Kalau lah benda kecil seperti melontar gumpalan kertas ke dalam tong sampah yang dekat jaraknya boleh tersasar, ini kan pula benda besar, mestilah lagi mudah untuk tersasar bukan.
Jadi di sini lah solat memainkan peranan. Huh?

Nak tanya, kenapa kita boleh tersasar dalam memastikan gumpalan kertas yang dilontar tadi berjaya masuk ke dalam tong sampah? Ada yang jawab……….tak fokus. Tepat sekali! Oleh itu, kita perlu lah mengambil masa seketika untuk mendapatkan fokus dan apabila sudah fokus barulah kita mula melontar gumpalan kertas tersebut betul?

Sama lah juga dalam kes hati yang tersasar ni. Kenapa hati boleh tersasar? Sebab hilang fokus bukan?  Jadi solat lah yang memainkan peranan untuk membantu kita kembali fokus mencari redha Allah. Dengan solat, inshaallah hati kita yang tersasar dapat kembali semula kepada jalan yang betul.


Konklusinya untuk tazkirah kali ini, Allah perintahkan 5 kali solat sehari kepada umat manusia supaya kita tidak hilang fokus dalam mencari redhaNya. Jadi, sebab itulah solat merupakan aspek terpenting dalam kehidupan seorang manusia lebih-lebih lagi bagi seorang daie.
Rasanya, itu sahaja perkongsian kali ini. Mungkin anda sudah dapat meneka bahawa Encik Sow Latt tu sebenarnya solat. Semoga  ianya bermanfaat, diamalkan dan disampaikan kepada yang lain. Segala yang baik datang daripada Allah. Wallahualam.

[Dah solat?] [Kredit]



Post a Comment