Bismillah.
Assalamualaikum wbt.
Telemovie Sejadah Dari Mekah
Mengisahkan tentang keinsafan seorang anak. Jika sudah terbit hasrat murni dalam hati untuk berubah ke arah kebaikan, usah sesekali terniat untuk menangguhkannya kerana rahmat Allah hanya hadir pada seseorang dan situasi dikendaki-Nya. Kisah penuh pengajaran melalui telemovie menarik ini disiarkan khas dalam bulan Ramadan lalu di siaran RTM mengisi slot Citra bertajuk Sejadah Dari Mekah.
Mengetengahkan pelakon handalan seperti Nasir Bilal Khan, Izreen Azminda, Eira Syazira, Ryzal Jaafar, Mohd Shahfriz dan Hairee Es, drama terbitan Ardwerk Production Sdn Bhd ini pastinya mampu meruntun hati dan membuat penonton menitiskan air mata bila mana seorang bapa tunggal yang menjaga dua anak gadisnya setelah kematian isterinya 15 tahun lalu diuji dengan sikap salah seorang anak gadisnya.
Panas yang disangkakan hingga ke petang rupanya tidak berpanjangan apabila anak bongsunya mula berubah sikap. Rohaya dilihat jauh berubah terutama dari segi perwatakan dan pergaulannya. Dia berpewatakan seperti lelaki dan kemuncaknya terlibat dengan najis dadah.
Situasi itu mencalarkan kreadibiliti kakaknya, Suraya yang juga seorang guru apabila dirinya mula dicemuh masyarakat kerana sebagai seorang pendidik dia telah gagal membimbing adik sendiri. Suraya tertekan dengan situasi itu dan sejak itu hubungan mereka adik-beradik mulai dingin. Apatah lagi tingkah Rohaya semakin hari semakin menjadi-jadi.
Pak Akhil kecewa dengan persengketaan yang wujud antara kedua-dua anak kesayangannya itu. Dia mahu membawa Rohaya pulang ke pangkal jalan. Namun tidakannya tidak direstui Suraya yang nyata putus asa untuk memulihkan adiknya. Harapannya sudah hancur berkecai sejak dirinya terpaksa menanggu malu atas keterlanjuran sikap Rohaya.
Satu hari Pak Akhil meluahkan hasrat mahu menghantar Rohaya menunaikan umrah. Tindakan ayahnya itu dibantah keras oleh Suraya kerana hasratnya mahu Pak Akhil yang menunaikan umrah dan bukannya Rohaya yang dianggap jauh tersesat. Apatah lagi telah lama ayahnya menyimpan hasrat mahu menjejakkan kaki ke tanah suci.
Akhirnya doa Pak Akhil makbul untuk melihat Rohaya berangkat menunaikan umrah meskipun sebelum itu terjadi beberapa perkara yang memilukan hatinya sebagai seorang bapa dengan sikap anaknya itu yang bertindak melarikan wang simpanan miliknya. Rohaya terpana bila mendengar rintihan bapanya yang bersungguh-sungguh mahu melihat perubahan dirinya.
Berkat doa Pak Akhil, Rohaya kembali ke tanah air dengan selamat dan dia sempat menitipkan sejadah dari Mekah untuk dihadiahkan kepada ayahnya itu. Namun kemudiannya berlaku situasi yang tidak diduga sama sekali bila Pak Akhil menemui ajal di atas tikar sejadah yang dihadiahkan oleh Rohaya.
Banyak pengajaran yang terdapat dalam telemovie ini. Hidayah adalah anugerah terhebat. Para pembaca yang ingin menonton telemovie hebat ini boleh terus ke laman web http://www.flm2u.com/2012/08/sejadah-dari-mekah.html . Semoga kita sama-sama mengambil iktibar dan bersyukur dengan segala nikmat.
Sekian. Wallahu'alam.
Post a Comment