Tips: Hidup Bersama

2 comments


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wrt.

Sepanjang musim peperiksaan ini, semua pelajar mesti sedang sibuk menelaah buku dan nota masing-masing dari kulit ke kulit. Namun, ingat! Anda masih melaksanakan aktiviti harian anda seperti biasa, yakni tidur, makan dan membersihkan diri, di samping berinteraksi dengan rakan sebilik atau serumah dengan anda. 

Kesibukan mengulangkaji tidak melenyapkan tanggungjawab anda untuk menjaga keharmonian dan keselesaan hidup bersama. Mari kita tinjau serba sedikit tips untuk kekal berkongsi hidup dengan aman dan sejahtera disebalik keserabutan yang melanda minda!

1. Jadual

Sediakan jadual tugasan harian mahupun mingguan yang meletakkan tanggungjawab ke atas setiap ahli rumah/bilik. Tugasan yang perlu diselesaikan termasuklah giliran memasak, membuang sampah, membersihkan rumah, dan membeli barang-barang keperluan. Pecahkan tugas secara adil, agar dapat sama-sama merasakan tanggungjawab yang perlu dipikul.

2. Penuhi tugasan yang telah ditetapkan

Kesibukan diri sebagai pelajar sememangnya tidak memberikan masa yang cukup untuk memastikan rumah dalam keadaan yang selesa dan kondusif untuk belajar. Di sinilah datangnya keperluan untuk bekerjasama dalam mewujudkan kondisi yang sesuai agar segala pekerjaan dan proses mengulangkaji menjadi lebih produktif. Jangan hanya mengharapkan ahli rumah atau bilik yang rajin sahaja untuk bertugas, inilah masanya untuk mendidik diri anda menjadi lebih matang sebagai persediaan membina keluarga baru nanti!

3) Amalkan fleksibiliti

Seandainya anda terlampau sibuk pada minggu ini dengan tugasan universiti, mesyuarat persatuan dan aktiviti usrah anda, berbincanglah dengan rakan serumah/bilik untuk mencari penyelesaian. Mungkin anda boleh bertukar giliran dengannya, mahupun mengganti tempatnya apabila dia pula yang sibuk nanti. Ingat, andai anda meringankan beban seorang sahabat, insyaAllah Allah juga akan meringankan beban anda!

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: 
Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. 

Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”
(H.R Muslim dan Al-Tirmizi)

4. Berjimatlah!

Inilah salah satu kelebihan hidup bersama rakan-rakan! Anda dapat berjimat dalam pelbagai perkara, contohnya...
-kewangan: melalui perkongsian kos barang-barang keperluan dan bil rumah.
-masa: gotong-royong membersihkan rumah sudah pasti dapat menjimatkan lebih banyak masa dan tenaga!
- ilmu: Dengan hidup beramai-ramai di bawah satu bumbung, dapatlah anda bertukar-tukar nota mahupun tips mengulangkaji pelajaran daripada rakan-rakan. Anda juga boleh belajar secara berkumpulan untuk membuahkan idea-idea yang bernas!

5) Menjaga hubungan baik

Menjaga hubungan yang baik di antara ahli rumah sangat penting, kerana andai kata terdapat konflik di dalam satu-satu bilik/rumah, ia akan memberi kesan psikologi kepada ahli-ahlinya. Suasana akan menjadi suram, bertemu pun bermasam muka, bagaimana anda hendak menumpukan perhatian terhadap pelajaran secara efektif? Jika terdapat apa-apa masalah, berbincanglah dengan cara yang baik. Jangan mengasingkan diri mahupun mengasingkan seseorang daripada kumpulan anda. Sekali-sekala boleh juga anda lakukan aktiviti bersama seperti bermain bowling, pergi bercuti, dan sebagainya.

Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” 
(Hadis riwayat al-Hakim)

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda, 
Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” 
(Hadis riwayat Muslim)

Semoga beberapa tips ini dapat membantu anda menjadi lebih produktif dalam berkongsi hidup bersama teman-teman seperjuangan!

Wallahua’lam.


2 comments:

  1. terbaik utk sy kongsikan bersama rakan serumah sy =)tq ye

    ReplyDelete
  2. Sama-sama ukhti.. Moga ia bermanfaat, insyaAllah.

    ReplyDelete