Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim.Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Taqwa? Apa itu taqwa?
Berulang kali dalam Al Quran Allah menyebut tentang taqwa. Mengapa? Kerana aku sering terlupa. Terlupa untuk berusaha menanam sifat taqwa dalam diriku. Anggota membuat amal, tetapi hatiku ke mana? Atas dasar apakah aku beramal?
Sering kali aku terlalai dengan dunia dan permainannya. Aku cenderung untuk melakukan perkara-perkara yang sia-sia, yang sedikit sebanyak membawa aku terjerumus ke lembah dosa.
«Memang, sebuah nafas panjang ditarik dan dihembuskan. Bersama jutaan jeritan. Menanti suatu keputusan. Dunia ini menawarkan kenikmatan. Nuansa indah mendengungkan nilai-nilai kemanusiaan. Kaki, hendak ke mana melangkah? Antara syaitan dan malaikat bergelut. Berebut menguasai diri. Tapi, hendak ikut siapa…? Demikianlah peperangan itu berlangsung.»
Aku tahu apa yang kurang. Taqwa. Takut kepada Allah. Mengapa membiarkan diri terus terleka? Adakah aku lupa bahawa Allah itu ada. Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Mengetahui.
«Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang diusahakan untuk besok (hari Kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.» (Surah Al Hasyr:18)
«Yang membezakan kedudukan seseorang hamba Allah di sisi Allah adalah taqwa, bukan pada paras rupanya, jawatan yang disandangnya, hartanya yang banyak dan yang sewaktunya dengannya.»
Terselit harapan di hati kecilku. Ingin sekali memperoleh kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Adakah yang lebih penting daripada redha Allah dan kasih sayang Allah dan Rasulullah SAW? Mengapa aku masih bergelumang dengan dosa?
Wahai mata.. Mengapa tidak menangis? Di manakah tangisan takut kepada Allah? Tangisan taqwa? Adakah hatiku sudah mengeras, lanjutan daripada dosa-dosa dan kemaksiatan yang aku lakukan? Lantas apa lagi yang boleh aku lakukan melainkan kembali kepada yang Maha Esa. Allah.. Allah… Astaghfirullahal'azhim.
Allahu ma'i, Allahu nazhori, Allahu syahidi..
«Allah selalu bersamaku. Allah selalu melihatku. Allah selalu menyaksikan perbuatanku..»
Ayuh! Mari kita bersama-sama mencuba sebaik yang kita mampu untuk terus bertahan di dalam medan perjuangan ini.
Wallahu'alam.
Post a Comment