Fill Your Time [Part Two]

0 comments


Assalamualaikum, bismillahirrahmanirrahim..

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” 
(Al-Asr : 1 – 3)

Hampir setiap hari kita membaca surah tersebut sebagai penutup majlis, terutamanya setelah selesai berbulatan gembira bersama ahli-ahlinya yang tercinta. Ya, kita berada di dalam kerugian! Saya pasti, rata-ratanya pasti merasakan 24 jam yang ada setiap hari ini masih tidak cukup untuk menyelesaikan segala urusan yang terbenteng di depan mata. Apatah lagi bagi yang bakal menghadapi peperiksaan!

Jadi dengan izinNya ingin saya kongsikan beberapa tips untuk memaksimakan penggunaan waktu anda. Sedar atau tidak, kebanyakan waktu kita seringkali dicuri untuk mencapai satu-satu destinasi. Selama kita berada di dalam bas, keretapi, mahupun kapal terbang, apa yang boleh dilakukan untuk mengisi masa yang terluang ini? Rugilah sekiranya kita hanya memandang ke luar tingkap sahaja dengan minda yang kosong. Jom optimakan kebaikan yang bakal diperolehi daripada perjalanan kita!

1. Membaca AlQuran
Sama ada membaca naskhah alQuran, mahupun melalui software di dalam gadget canggih anda seperti iPhone, iPad mahupun Samsung tab, pastinya penuh dengan keberkatan dan redhaNya.

2. Menghafaz surah pilihan
Inilah caranya untuk mencuri masa dengan ideal! Bawalah buku hafazan kecil, mahupun MP3 surah pilihan yang telah di‘set’ untuk bermain berulangkali(replay) dan teruskan usaha untuk menghafaz kalamNya yang indah.

3. Mengulangkaji nota ringkas
Sediakanlah nota poket yang kreatif dan berwarna warni bagi meningkatkan minat anda untuk mengulangkaji!

4. Mendengar MP3
Antara MP3 pilihan yang boleh dimasukkan di dalam ‘playlist’ anda termasuklah MP3 bacaan alQuran, nasyid, mahupun ceramah-ceramah ilmiah.

5. Menonton video ilmiah
Inilah kelebihan bagi sesiapa yang mempunyai telefon pintar! Amat mudah untuk mencari video-video yang bagus dengan menggunakan internet, mahupun menonton video yang telah sedia ada.

6. Mentadabbur alam.
Langit yang biru, burung-burung yang berkicauan, semuanya adalah tanda-tanda kebesaranNya. Ambillah masa sebentar untuk menginsafinya, dan berzikir mengingatiNya.

7. Merancang perjalanan aktiviti harian
Mungkin anda seorang yang berjawatan dan mempunyai pelbagai amanah untuk diselesaikan? Rancanglah hari anda dan buatlah jadual ringkas agar setiap saat yang bakal dilalui tidak menjadi sia-sia dan banyak perkara akan dapat diselesaikan dengan kadar yang segera.

8. Mencatat idea-idea menarik(brainstorming)
Memerlukan idea menarik untuk aktiviti bulatan gembira yang seterusnya? Inilah masanya untuk memerah otak dan kreativiti anda. Jangan lupa untuk catat idea menarik anda di alam buku nota anda untuk tindakan seterusnya apabila anda telah sampai ke destinasi nanti.

9. Membalas panggilan atau sms
Khas untuk sesiapa yang mempunyai ramai kenalan, iniliah masanya untuk bertukar-tukar khabar sambil mengeratkan ikatan silaturrahim!

Semestinya, senarai aktiviti yang boleh mengisi masa lapang anda di dalam perjalanan yang jauh itu tidak berhenti setakat itu sahaja! Jadilah lebih kreatif, sekiranya anda berjaulah secara berkumpulan, libatkan semua untuk menghasilkan aktiviti yang lebih menarik, seperti pop kuiz sirah, dan sebagainya. Semoga perjalanan anda yang mendatang bakal terisi dengan aktiviti-aktiviti yang penuh dengan kebaikan dan rahmat daripadaNya!

Oh, jangan lupa amalkan doa keluar rumah dan doa menaiki kenderaan juga ya!

Doa Keluar Rumah
"Dengan nama Allah aku bertawakkal kepadaNya dan tiada daya serta upaya kecuali dengan keizinan Allah".


Selamat beramal!
Wallahua’lam.


Post a Comment