KEMBOJA
140206
Remang fajar menyapa indera.
Terpapar indah berjajar terletak ancala. Lembut bertiup bayu Teberda, terasa
permai persis di desa. Tersentak tidur kami yang sekilas lena, langsung teruja
memulai kembara, darmawisata jiwa dan cinta.
Setelah hampir 14 jam bertarung
nyawa meredah lebuh raya lantaran kondisi jalan yang tidaklah sebaik bumi
Malaysia, namun berkat doa dan tawakal pada yang Maha Pemelihara, ditambah
tipikal cekapnya pemandu menangkis setiap halangan yang menduga, Alhamdulillah,
kini kami tiba di penginapan sementara, selamat dan sejahtera.
Istirahat kami tidak lama, melokasi bagasi di
bilik cuma. Selepas itu kami bergegas keluar melaksana rencana. Tuah kami
agaknya, hari ini cuaca seakan senang bekerjasama. Bukan dingin terlalu
sebagaimana selalu. Mungkin sahaja musim sejuk sudah nyaris berlalu, terkaanku
apabila menganalisa variasi suhu.
Aktiviti pertama disenarai Aila dan
Nisya, teman ekspedisi yang lebih mahir berbahasa Rusia; menaiki kereta kabel
ke puncak Mussa-Achitara, gunung lagenda yang menjadi tumpuan para pengunjung
dari segenap dunia.
Oh
ya, menariknya, menurut marhaen senja yang pakar salasilah pusaka, nama gunung
ini sebenarnya boleh diterjemah sebagai ‘Mussa yang menangis’. Jelas mereka,
suatu masa pada zaman dahulu kala, seorang pemuda bernama Mussa telah mencuri
sekawan haiwan ternak dan berniat untuk menjualnya di kampung-kampung di balik
banjaran. Akan tetapi, hajatnya terhalang oleh pinggir gunung yang curam,
terlalu merbahaya untuknya meneruskan kegiatan sumbang, sekaligus menafikan
kepulangannya ke daerah kediaman, lantaran bimbang perbuatannya diketahui
orang. Mussa yang tidak keruan, akhirnya hanya mampu berlutut dan menangis
tersedu sedan. Mungkin, simboliknya nama ini bertujuan untuk memberi
peringatan, teladan buat semua insan agar tidak mencuba melakukan kejahatan.
Selesai urusan di kaunter tiket, kami bertujuh beratur untuk
menaiki kereta kabel tertutup ke aras pertama, sebelum maju ke aras kedua dan
ketiga menggunakan kereta kabel terbuka. Pada mulanya, kami hanya membisu tanpa
bicara. Gayat barangkali. Hati siapa tidak diuji, tergantung tiada bertali
selang beberapa meter dari bumi. Membayang situasi andai terjatuh dari kerusi
sahaja mengundang ngeri. Apatah lagi apabila melihat sendiri para pemain ski
yang tergelincir dari fondasi dan terperosok ke dalam timbunan salji hanya di
bawah tempat duduk kami.
Menginjak klimaks, takjub membuak. Kami bungkam sejenak, mencari damai di puncak,
apresiasi citra indahnya amat, sukma melunak bertasbih rancak, ibrah bercetera
dek kemilau nikmat.
“Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung
yang kukuh supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka dan telah Kami
jadikan (pula) di bumi itu jalan-jalan yang luas, agar mereka mendapat
petunjuk.” [Al-Anbiya’ : 31]
Adli
bersuara, memetik firman agung daripada kitab mulia, menarik perhatian kami
yang leka merakam memori melalui lensa kamera. Lantas kami bertafakur bersama,
mengakui benarnya alamat pencipta. Andai sahaja tiba masa bumi dirata, nescaya
goncanglah seisi dunia. Bumi tegar membawa berita, setiap perbuatan dihitung
sempurna. Telah datang pembalasan buat si lalai dan lagha yang ralit dibuai
kemewahan harta. Telah hadir kecelakaan buat sang penderhaka dan pengamal riba.
Itulah hari buat pendosa yang dahulu mendusta, dan tiada siapa terdaya membantu
melerai sengketa. Sedang masih bisa kembali kepada-Nya, guna jasad juga minda
sebaiknya, moga bahagia menanti di alam sana.
Insaf.
Selepas berpenat menuai ilmu menunai amanat,
jaulah ini nyata membangkit semangat. Sepagi itu, kami berlama, menggilap cinta
pada buana, mengimbuh iman pada yang Esa, mengangumi elok potret maya yang
membentang saujana. Pada elevasi 3012 meter diatas permukaan laut, ukhuwah kami
bertaut.
140208
Kugenggam butir salju yang meliputi cerun
landai itu seeratnya. Pandangan kutumpu pada si anak kecil yang baru berguru
bermain ski dengan para bapa juga ibu. Cemburu. Nafinya tidak perlu, lantaran
tiada pernah kupunya peluang sebegitu. Kualih visi kepada kumpulan pelancong di
belakangku. Dalam gamat suasana, kutancap gigih kelibat Tisha mendidik Ira
mengawal papan luncur saljinya. Pertama kali mencuba, cabarannya tentu sahaja
menguji kekuatan emosi.
Entah mengapa, gah deretan banjaran Kaukasus
Besar yang membentang sejauh kira-kira 1200 kilometer dari Semenanjung Taman di
Laut Hitam ke Semenanjung Absheron di Laut Kaspia itu tidak lagi berupaya
menenangkan, malah seakan makin merungsingkan fikiran. Aneh, entah kenapa,
gigilku hebat, detak jantungku galak.
Bukankah lekuk dan liku perbukitan semalam
telah berjaya diredah menaiki ATV? Bukankah telah kupacu kuda tunggangan dengan
berani, biarpun hujan rintik menyukar situasi? Biar hakikatnya aku baru mencuba
buat pertama kali? Lantas apa lagi yang menghalangi aku hari ini? Bukankah
sedari tadi semangatku yang lebih berapi-api, mengalahkan teman-teman yang
lebih mahir dalam sukan ini? Nah, kenapa sekarang aku rapuh untuk sekadar
berdiri? Seolah ada yang tertawa memerhati. Seolah ada suara berbisik agarku
berhenti. Tapi, bukankah aku mahu pulang tanpa sesalan dalam hati?
Benar, kupunya nostalgia duka ketika mengikuti
aktiviti sukan di tempat terbuka pada zaman remaja. Kelihatannya, alasan itu
yang sering kuguna andai diajak sahabat juga tenaga kerja di madrasah untuk beriadah
bersama. Kumungkir sengaja muwasafat tarbiyah yang diwarta Imam
Hassan al-Banna. Lebih kusuka jadi pemerhati daripada beraksi. Lebih aku gemar
menyendiri daripada berasimilasi. Biarpun cukup aku sedari, bahawa mukmin
sejati yang kuat itu lebih dicintai ilahi berbanding yang lemah fizikal dan
jati diri.
Titik
tolaknya, hadirku kesini menggalas satu ambisi, mahuku jana dzaka’ jismi dalam
diri yang telah mati. Agar bisa kukumpul kembali, kekuatan untuk berdiri di
tengah gelanggang, bersaing sihat bersama rakan dan taulan, menyubur semula
kecintaanku pada dunia sukan, mengubat jiwa yang lama penasaran.
"…
dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah.
Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan
kaum yang kafir" [Yusuf : 87]
Lembut suruhan ayahanda Ya’qub
menuntut anak-anak mencari puteranya Yusuf yang hilang. Kendati amarah membarah
di setiap urat darah, baginda hanya berkisah sedih dan susah kepada Allah.
Hebat benar rindu baginda kepada anakanda yang dibuang saudara, sampai butalah
matanya kerna terlalu berduka. Namun tiadalah surut takwanya pada Yang Esa.
Sentiasa sahaja yakin dan percaya, bahawa suatu hari Yusuf bisa kembali
kepangkuan baginda.
Ah,
andai dapat kuteladani kental tawakal susuk agung itu. Tak sekali gusar dan
bimbang, padu pergantungan beserta harapan, jitu taatnya hanya pada tuhan.
Sekonyong-konyong, angin kencang
membadai, menghambat kepulan salji, hancur bersepai. Aku terkapai, lemas dan
cemas. Semua pengunjung ikut rimas. Lima minit berlalu, khayalan kuhenti,
seiring tenangnya ribut yang menggugah hati.
“Nia, nak ke
mana?” Afi bertanya, kehairanan.
“Turun.” Jawabku
enggan.
“Eh, kan baru
sekejap kita main. Takkan dah nak berhenti. Jatuh tu perkara biasa la. Semua
orang pun macam tu.”
Aku menggeleng.
“Jumpa kat
bawah” air mata yang tertahan, kubiar mengalir perlahan, saat wajah aku
palingkan ke hadapan.
“Kau takkan
faham.” Bentakku sendirian.
***
Lelaki tinggi berbadan tegap itu
sedari tadi memerhati.
“ Ah,
biarkan sahaja. Di sini lapang tempatnya, masakan bisa dia berbuat apa-apa.
Andai terpaksa, jerit sahaja. Pasti terlepas daripada marabahaya.”
Bujukan
hati terhenti. Lelaki itu menghampiri. Berdiri menghalangi, langkahku mati.
Sepi.
“Kamu
kenapa? Apa yang tidak lancar?”
“Semua.”
“Mau
diajar? Kamu tak perlu bayar.”
Spontan,
aku mengangguk perlahan. Aku relakan papan ski bertukar tangan. Dia mula
mengorak langkah, mendaki ke atas. Aku mengikut tanpa banyak tanya. Mahu kuluah
terima kasih kepada si dia, namun bibirku kelu untuk mengeluarkan kata.
“Dan Dia mendapatimu
sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu
sebagai orang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.” [Adh-Dhuha :
7-8]
Alangkah.
Benarlah. Kitab suci itu sebaik madah. Warkah cinta
menghindar resah, mungusir gundah. Maklum sudah, baginda Rasulullah pernah
dicerca musyrikin Mekah, dituduh sudah ditinggal Allah, lantaran terhenti seketika
penurunan wahyu. Tapi dakwaan itu dibukti palsu. Tiada dibiar Muhammad SAW sendiri
berteman sendu. Hadirnya surah pengubat rindu, membekal tenteram pada kacaunya
kalbu.
Narasi itu membangun tabah, membangkit rebah. Aku akur,
langkah kuatur, satu persatu. Instruksi si guru patuh kuturut, meski takut
masih menjerut. Kami berdiri berhadapan, menjarak kaki mengikut kalkulasi.
Setiap inci harus diperkemas, pusat graviti menjadi asas, agar tidak mudah
terbabas. Cubaan pertama, nyata hasilnya tidak seperti yang dijangka. Aku
hampa. Mungkin dia juga serupa. Namun si guru tidak berputus asa, aku diajar
lagi buat kali kedua. Berulang kali menutur bicara, agar aku terlebih dahulu
percaya, aku mampu melakukannya.
“Saya lihat awak dah sedia. Jadi sampai di sini saja pertemuan
kita. Saya harap awak boleh cuba, main sendiri tanpa bantuan, bermula dari atas
sana.”
Langsung, dia turun ke bawah menghampiri kelompok jurulatih
lainnya, sebelum menghilang di tengah hiruk pikuk manusia. Ah, belum sempat
kubertanya nama, raut wajah pun tidak tergambar di mata. Kalaulah bisa berjumpa
semula. Moga tuhan membalas jasamu hendaknya.
“…bekerjalah, beramallah. Maka keajaiban
akan menyapa dari arah tak terduga. Mulailah. Kerana dalam keberanian memulai
itulah terletak kemudahannya...”
Ringkas pesanan Salim A. Fillah,
memujuk pembaca mengimplementasi Nabi Daud dan Nabi Sulaiman untuk bekerja
setelah menerima pelbagai kurnia daripada tuhan, semata-mata untuk memulang
kembali syukur kepadaNya.
Seraya,
telapak tangan kutempatkan di dada, kutarik dalam nafas yang lega. Mungkin
telah berjaya kusemat keyakinan dalam jiwa. Semangat ini yang baru menyala, aku
berazam takkan kubiar ia padam menjadi bara. Dengan nama Allah yang mulia,
landasan itu kuluncur mula. Bersaksi suria Dombay yang menyinar jagat raya, aku
berjaya, meraih semula cinta yang lama terkubur tiada berpusara.
Umpama
mekarnya bersih kemboja yang mewangi pemakaman, pengalaman ini seolah kembali
menghidupkan sebuah kematian, memberi keringanan pada jasad yang lama tertanam
oleh keresahan memori silam, mendamaikan insan yang selama ini memberi
dorongan, dengan harum aromanya yang melingkari kuburan.
***
“Janganlah
kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah
orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang
beriman.”
[Ali Imran :139]
[Ali Imran :139]
VOLGOGRAD STATE MEDICAL UNIVERSITY
TAHUN 3
Post a Comment