Sekeping Hati Yang Mudah Disentuh

0 comments




   Dan Allah ciptakan seorang insan,
Tutur katanya menambat hati,
Tingkah lakunya yang lembut,
Hatinya yang mudah tersentuh,
Dan insan itu dinamakan wanita.
 


“Saya tak tahu nak pujuk macam mana lagi untuk keluarga saya terima idea saya nak berkahwin.”
adu adik-beradik usrahku. Sudah berkali-kali aku mendengar aduan sedemikian rupa daripadanya. Berkali-kali juga aku ingatkannya untuk redha menerima keputusan ibu bapanya.

“Tiada orang yang lebih tahu sama ada kita ini bersedia atau tidak ke arah baitul muslim melainkan ibu bapa kita. Lagipun, saya tak nampak kepentingan awak kahwin sekarang. Lelaki tu bukannya belajar satu tempat dengan kita pun.” jelasku.


“Awak tak faham! Perempuan ini hatinya lembut. Mudah disentuh. Bila si lelaki dah sebegitu sekali, susah untuk saya menjaga hati.”
Tingkahnya pada segala penjelasanku.

Awak tak faham!
Awak tak faham!
Awak tak faham!

Perkataan itu bagaikan satu melodi yang tidak putus-putus bermain di telingaku. Perkataan itu juga bagai pisau yang tajam merobek hatiku paling dalam.


Kisah aku. Kisah yang tidak pernah aku dendangkan pada siapapun. Kerana betapa aku gigih berusaha melupakan semuanya. Tapi hari ini. Tuduhan itu. Awak tidak faham! Mana mungkin aku tidak faham. Aku juga perempuan sepertinya. Aku juga miliki hati yang mudah tersentuh dan disentuh sepertinya. Cuma bezanya, kisah dia, dia dendangkan pada semua dan kisahku, aku simpan kemas dalam hati. Sekemas mungkin aku simpan dengan harapan aku tidak akan membukanya lagi. Tapi hari ini…
 
“Assalamualaikum Ustazah.” Aku segera menoleh ke sisi. Lelaki yang bernama Shaifu ini lagi. Tidak pernah berhenti-henti menggelarku ustazah. Satu gelaran yang aku tidak pasti mengapa.

“Waalaikumsalam.” jawabku sekadar berbahasa-basi. Namun begitu, hari-hariku dipenuhi dengan panggilan ustazah daripada lelaki itu. Sungguh aku rimas.
 
“Assalamualaikum ustazah.” Satu mesej aku terima di telefon bimbitku. Tidak cukupkah dia memanggilku ustazah ketika di kolej, sekarang ingin menggangguku dengan mesej pula. Rimas.

Mesejnya yang tak pernah putus-putus membuatkan aku rimas. Sehinggalah aku membuat keputusan untuk membalasnya pada suatu hari. 


Tindakan itu adalah tindakan terbesar dalam kehidupanku. Tindakan yang paling salah aku buat dalam hidupku. Semakin hari, aku dan dia semakin rapat. Di kolej, kami tidak pernah bertegur sapa. Tetapi di dalam mesej, tidak putus-putus ceritanya.
“Jangan kerap sangat mesej dengan lelaki. Lama-lama, ada yang tak kena dengan hati tu nanti.” 
bisik sahabatku, Fairuz.

“Tak ada la sampai ke situ. Jangan bimbanglah.” tingkahku.

“Tak ada la. Saya ni sekadar berpesan sahaja kepada sahabat saya ni. Pesan tanda sayang.”

“Iye la sahabatku. Saya pun sayang awak.”


Pesanan Fairuz sekadar angin lalu di telingaku. Bagiku, aku dan dia hanya sahabat. Sekali bersahabat, selamanya bersahabat. Waktu terus berlalu. Peperiksaan final semester hanya tinggal sebulan sahaja lagi. Mentalku cuba untuk bersedia, tetapi hatiku seakan ada yang tidak kena. Hatiku seakan tidak hadir saat aku menuntut ilmu. Entah ke mana hilangnya hatiku?
 
“Akak, ni ada abang Shaifu kirim tart telur untuk akak.” ujar juniorku yang tinggal di bilik sebelah bilikku. Teeettttt. Jawapannya di situ. Si pengirim tart itulah yang membuatkan hatiku hilang entah ke mana. Hanya Allah tahu betapa resah hati ini. Seakan cacing kepanasan. Di manakah yang tidak kena?

Macam mana nak meluahkan kata hati pada orang yang tak pasti betul sukakan kita?

Ya Allah. Laju aku ketuk kepala sendiri dengan telefon bimbit di tangan.



Wanita itu dihiasi dengan sifat malu.
Malu itu ibarat duri yang memenuhi bunga mawar.
Meskipun dikelilingi duri yang tajam, cantiknya mawar itu tetap tidak pudar.



Laju aku tarik bantal menutup mukaku. Arghhhhhhh!!!! Jeritku sepenuh hati. Malumu ke manakah?

“Wahai sahabatku, bangunlah.” bisik Ain di telingaku.

Terpisat-pisat aku menggosok mataku. Segera aku tarik telefon bimbit yang aku letakkan di bawah bantal. Sudah pukul berapakah? Ehhh.. Ada satu mesej. Awalnya mama hantar mesej. Rindu la tu.


Luahkan sahajalah. Hati orang mana kita tahu.

Luah? Hati orang? Apakah? Hati tertanya-tanya.

Lama aku termenung jauh. “Sahabat syurgaku, cepatlah bersedia untuk qiyam. Kata nak ke syurga bersama.”gesa sahabatku Zaty.
 
Ya Allah. Kenapalah aku tidak hilang ingatan tentang hal semalam. Malunya diri ini sebagai seorang perempuan. “Sahabat syurgaku!” jerit Ain, Zaty dan Fairuz.
Tesentak masuk ke dalam hati. Segera wajahku toleh ke arah mereka.

“Kami tak nak masuk syurga sendiri-sendiri je.” sengih Fairuz.


Masha Allah. Untungnya ada sahabat seperti mereka. Anugerah terbesar daripada Allah.

Sujud ini, jiwa ini tidak lagi basah seperti dulu, air mata ini tidak lagi mengalir seperti dulu,
rindu pada Allah dan Rasulullah sudah tidak menggoncang hati seperti dulu.

“Kenapa ni? Termenung jauh nampak.” tegur Fairuz. Aku memandang kosong wajah Fairuz.


“Awak dah nampak lain sekarang. Tak sama macam dulu.” sambung Fairuz lagi.

Segera aku peluk kemas Fairuz di hadapanku. Air mata mengalir laju.

“Sakit Fairuz. Sakit sangat. Kenapa hati ni mudah sangat disentuh?”

Pelukan Fairuz semakin kemas. Diam. Antara kami tiada kata. Hanya hati yang berbicara.


Ingat tak lagi soalan yang kau pernah tanya dulu. -Shaifu-

Mesej daripadanya setelah sekian lama aku mendiamkan diri benar-benar menggugat hati aku.

Soalan apa? Balasku.

Tentang hati dan perasaan tu. -Shaifu-


Hati aku bergetar hebat. Ini bukan waktunya. Ya Allah! Aku letak telefon bimbit ke tepi.

Telefon bimbitku kembali bergetar. Siapa lagi yang mesej.

Sebenarnya dah lama aku nak beritahu. Aku dah lama sukakan kau. -Shaifu-

Hatiku bagaikan dipanah kilat. Pipi tak semena-mena terasa basah.

Telefon bimbitku tenung. Tanganku pantas menaip.



Ada waktunya cinta manusia terbentang luas di depan mata tetapi kita terpaksa menolaknya. 
Kerana cinta Allah itu lebih utama daripada segalanya.


Sent. Butang sent aku tekan pantas. Panggggg. Telefon bimbitku jatuh ke lantai. Aku terduduk di lantai. Pipiku lencun dengan air mata. Hangat. Fairuz segera memelukku hangat. Dikutipnya telefon bimbitku dan dibacanya mesej yangku tulis. Fairuz kembali memelukku hangat.
“Yuzzzz… Salah aku Yuzzzz… Salahku…” tangisku.


Fairuz merenung wajahku. Menyeka air mata yang mengalir laju.

“Kerana aku yang tak pandai menjaga hati, dia turut menjadi mangsa. Aku yang bersalah Yuzzz…”

Fairuz tetap setia menyeka air mataku. “Aku patut dengar nasihat kau dulu Yuzzzz.” 
Aku terus meratap kepiluan.
 
“Menangislah sahabatku sayang. Biar basah kembali hatimu itu dengan cinta Allah. Luahkanlah apa yang terpendam semoga kosong dan kembali terisi dengan rindu pada Allah dan Rasulullah.”

“Yuz, kenapa hati perempuan ini mudah benar disentuh dan tersentuh?”

“Sahabat, bukan salah Allah kerana mencipta hatimu itu sangat lembut. Tapi salah kita yang tak pandai pagari hati itu. .”



Jangan mengetuk kalau tidak niat untuk menyinggah di hati itu. 
Hati perempuan itu bergoncang kuat meskipun dengan hanya satu ketukan lembut yang tidak kedengaran.
-Ikhwah X-


“Akak, bagilah saya solusi untuk pujuk keluarga saya. Saya nak menjaga hati dengan cara berkahwin. Salahkah saya?” gesa ahli usrahku. Nada suara ahli usrahku yang agak tinggi membawa aku kembali ke alam nyata setelah jauh terbang ke masa silam.
 
Hati perempuan,
Lembut, sangat lembut,
Mudah tersentuh dan disentuh,
Maka wahai perempuan,
Pagarilah hatimu,
Dan wahai lelaki,
Jika tiada niat ingin memiliki,
Jangan pernah mengetuk sebarangan hati.


Benar. Hati perempuan itu sangat mudah disentuh. Jika hati itu mula ragu pada cinta Allah, mula hilang rindu pada Rasulullah, mula tenang tatkala berbuat dosa, maka Allah akan isi hati itu dengan segala sesuatu yang bersifat duniawi semata-mata. Mungkin kita muak bila selalu sangat berbicara pasal cinta. Namun itulah masalah kita waktu ini terutamanya perempuan. 

Yang bergelar akhwat sendiri, bila disebut nama sang ikhwah yang soleh, tak putus-putus senyuman di bibir, tidak berhenti-henti getaran di hati. Lupa terus untuk beristighfar. Lupa terus untuk kembali mengingati Allah. Hanyut. Terus hanyut dengan fantasi yang kononnya berunsur islamik. 
 
Buat perempuan yang teringin berkahwin,
Namun dihalang oleh keluarga,
Ketahuilah ibu bapa itu lebih arif tentang apa itu rumah tangga,
Ketahuilah bahawa Allah sedang mengajarmu cara untuk menjaga hati,
Maka jagalah sekeping hati itu.


Buat yang suka bertanya,
Bila lagi mahu kahwin,
Berhentilah mengelirukan hati,
Hati yang mungkin sedang bermuhajadah,
Hati yang prioritinya cita-citanya dan ibu bapanya.


Wahai perempuan, usah khuatir tentang jodohmu di mana. 
Usah bimbang tentang tulang rusukmu yang masih belum bergetar, tetapi bimbanglah akan hatimu yang langsung tidak bergetar dengan keimanan.


Wahai lelaki, telah bersabda Rasulullah tentang wanita untuk kamu hayati.



Telah bersabda Rasulullah s.a.w:Berwasiatlah kalian terhadap para wanita dengan wasiat yang baik. Sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk, dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah bagian atasnya. Oleh karena itu jika kamu meluruskannya dengan paksa maka kamu akan mematahkannya, akan tetapi jika kamu biarkan maka ia akan tetap bengkok, maka berwasiatlah kamu terhadap para wanita dengan wasiat yang baik”.
 (HR: Bukhari dan Muslim)










Post a Comment