FRIDAY WRAP 6/3/2015

0 comments
Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera buat para pembaca. Friday Wrap kini kembali pada minggu ini membawakan berita-berita dari seluruh dunia. Semoga bermanfaat...
mh370.jpg


AHAD, 1 MAC 2015  SYDNEY: Australia menyatakan ia sedang menguji sistem "pertama di dunia" dengan Malaysia dan Indonesia yang mampu meningkatkan keupayaan mengesan pesawat di ruang udara lautan terpencil, sekali gus membolehkan pihak berkuasa segera bertindak dalam situasi luar biasa seperti dalam insiden kehilangan penerbangan MH370.
Sistem itu meningkatkan kadar pengesanan pesawat di ruang udara lautan terpencil kepada setiap 15 minit berbanding 30 hingga 40 minit pada masa ini.
Teknologi itu "boleh meningkatkan pemantauan semasa jika situasi luar biasa berlaku," kata Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss.
"Dalam ujian pertama seumpama itu di dunia, semua tiga negara akan menguji cara baharu mengesan pesawat di udara lautan terpencil," katanya kepada pemberita di sini.
Pengumuman itu dibuat menjelang hampir setahun pesawat Boeing 777 milik Malaysian Airlines itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan kru pada 8 Mac tahun lalu. - AFP







28Boris_Nemtsov1.transformed.jpg



SABTU, 28 FEBRUARI 2015  MOSCOW: Pemimpin pembangkang Russia, Boris Nemtsov ditembak mati di tengah Moscow tengah malam tadi, demikian menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Russia.
"Di tengah Moscow, seorang lelaki dengan dokumen bernama Boris Yefimovich Nemtsov ditemui terbunuh," kata jurucakap berkenaan memberitahu AFP.
Beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut.
Polis Moscow mengesahkan mengenai pembunuhan itu dan sudah membuka kertas siasatan.
"Menurut maklumat awal, seorang lelaki ditembak antara tujuh hingga lapan das dari sebuah kereta ketika mangsa sedang berjalan kaki menyusuri jambatan Bolshoi Moskvoretsky," kata pasukan penyiasat dalam satu kenyataan.
Nemtsov, antara pemimpin pembangkang yang lantang mengkritik Presiden Vladmir Putin.
Beliau memulakan karier politiknya sebagai Gabenor Wilayah Nizhny Novgorod di tengah Russia dan menjadi Timbalan Perdana Menteri pada lewat 1990-an ketika pemerintahan Presiden Boris Yeltsin.
Selepas meninggalkan Parlimen pada 2003, beliau membantu kepada pembentukan beberapa parti dan kumpulan pembangkang.
Pembunuhan Nemtsov ketika menjelangnya satu tunjuk perasaan besar-besaran pembangkang yang dijadualkan pada 1 Mac. - AFP



lee kuan yew.jpg




SABTU, 28 FEBRUARI 2015 SINGAPURA: Keadaan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang dimasukkan ke Hospital Besar Singapura pada 5 Februari akibat radang paru-paru yang teruk, kini bertambah baik sedikit, kata Pejabat Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan pejabat itu menjelaskan Lee, 91, masih diberikan ubat pelali dan dibantu ventilasi mekanikal di Unit Rawatan Rapi.
Beliau terus diberikan antibiotik.
Lee, Perdana Menteri pertama Singapura yang meneraju kerajaan dari 1959 hingga 1990, dianggap antara perdana menteri paling lama berkhidmat di dunia. - BERNAMA



syria.jpg

JUMAAT, 27 FEBRUARI 2015 WASHINGTON: Pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melancarkan 20 serangan udara di Syria sejak awal semalam, termasuk terhadap 13 sasaran militan IS berhampiran bandar sempadan Kobani.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pasukan Petugas Khas Bersama menyatakan serangan udara di Syria itu turut dilancarkan terhadap kawasan berhampiran al Hasaka, Dayr az Zawr dan Tal Harris.
Menurutnya, 11 serangan udara turut dilancarkan terhadap kumpulan IS di Iraq sejak awal semalam.
Serangan udara itu menyusul selepas 14 serangan sebelum ini kelmarin dan semalam. - Reuters


03susan.transformed.jpg

SELASA, 3 MAC 2015 WASHINGTON: Sekatan tambahan terhadap Iran berhubung program nuklear negara itu akan memusnahkan usaha rundingan antarabangsa dengan Tehran, seorang penasihat Presiden Barack Obama mengingatkan Kongres.
"Kongres sudah memainkan peranan penting dalam membantu merangka sekatan kita terhadap Iran tetapi ia tidak sepatutnya berperanan sebagai pengacau pada masa ini.
"Sekatan tambahan atau perundangan menyekat yang digubal semasa rundingan akan menggagalkannya, memecah belahkan masyarakat antarabangsa dan menyebabkan AS dipersalahkan terhadap kegagalan mencapai persetujuan," kata Penasihat Keselamatan Negara, Susan Rice. - AFP


RABU, 4 MAC 2015 DUBLIN: Satu penerbangan dilencongkan manakala satu lagi ditangguhkan bagi mengelak dua pesawat pengebom Russia yang terbang melalui ruang udara yang dikawal Ireland tanpa amaran bulan lalu, menurut Pihak Berkuasa Udara Ireland (IAA).
Gangguan itu dipercayai berlaku semasa insiden sama pada 18 Februari yang mana pesawat pejuang Tentera Udara Diraja British dikerah mengiring dua pesawat pengebom 'Bear' Russia yang terbang berhampiran ruang udara Britain.
Penerbangan itu dilihat sebagai tindakan Russia menunjukkan kekuatan berikutan ketegangan konflik di Ukraine yang mana Perdana Menteri, David Cameron, menuduh Presiden Russia, Vladimir Putin, mencabar kedaulatan wilayah Kiev.
Pihak berkuasa Ireland menyatakan dua pesawat Russia itu terbang dengan transponder dimatikan - peranti yang membantu pesawat dikenal pasti oleh radar pengawal trafik udara.
"Pelepasan sebuah pesawat dari Dublin ditangguhkan berikutan aktiviti pesawat Russia itu di ruang udara yang dikuasai UK," menurut kenyataan IAA.
"Laluan sebuah lagi pesawat diubah bagi memastikan haluannya dijarakkan dengan dua pesawat tentera Russia itu," menurut kenyataan itu.
Menurut akhbar The irish Examiner, penerbangan yang dilencongkan dan ditangguhkan itu adalah pesawat komersial "yang membawa ratusan orang".
Bagaimanapun, IAA menyatakan "tiada ancaman keselamatan terhadap trafik awam di ruang udara yang dikawal Ireland".
Menurut pihak berkuasa, pesawat berkenaan tidak memasuki ruang udara Ireland tetapi terbang melalui ruang udara yang dikawal Ireland pada jarak kira-kira 25 batu nautika (46.3km) dari pantai Ireland antara 1500 GMT dan 1900 GMT.


KHAMIS, 5 MAC 2015 CANBERRA: Parlimen Australia hari ini bertafakur selama seminit bagi memperingati insiden pesawat Malaysian Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang bersama-sama 329 penumpang dan anak kapal yang akan genap setahun pada 8 Mac ini.
Di hadapan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Datuk Zainal Abidin Ahmad, dan wakil negara yang terbabit dalam usaha mencari pesawat itu yang hilang semasadalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, Perdana Menteri, Tony Abbott berkata beliau tidak dapat berjanji bahawa misi pencarian akan mengekalkan tahap pencarian besar-besaran seperti tahun lepas.
Namun beliau berjanji kepada keluarga yang mempunyai orang tersayang dalam pesawat itu bahawa misi pencarian diketuai Australia akan diteruskan sebaik mungkin untuk menyelesaikan insiden yang dianggap "satu daripada insiden paling misteri pada ketika ini."
Walaupun Ahad ini genap setahun pesawat itu hilang, Parlimen Persekutuan memperingati mangsa pada hari ini - hari terakhir Parlimen bersidang sebelum berehat selama seminggu.
Abbott turut menyatakan simpati kepada anggota keluarga bagi "penderitaan" yang mereka harungi selama setahun ini dan mengakui bahawa operasi pencarian setakat ini gagal memberikan jawapan kepada mereka.
"Kami tahu memperingati ulang tahun genap setahun ini sesuatu yang amat menyedihkan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," kata Abbott dalam ucapannya yang disiarkan menerusi televisyen di seluruh negara.
"Mesej ingin disampaikan Parlimen ini kepada semua keluarga MH370 adalah anda sentiasa dalam doa dan ingatan kami. Kepada anda - dan kepada semua yang mempunyai orang tersayang dalam pesawat itu - janji saya ialah bahawa kami akan mengambil semua langkah munasabah untuk memastikan ketidaktentuan ini ditamatkan," kata Abbott sambil menyifatkan operasi pencarian itu adalah gerakan terbesar seumpamanya dalam sejarah.
Beliau turut memuji usaha pencarian yang juga contoh kerjasama luar biasa peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, dalam beberapa minggu pertama, 28 pesawat dari Australia, New Zealand, China, Jepun, Malaysia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat menyelesaikan 345 misi mencari di selatan Lautan Hindi.
Berdasarkan maklumat satelit, penerbangan itu dikatakan telah berpatah balik dan hilang di selatan Lautan Hindi.
Abbott berkata, berikutan rumusan telah dicapai bagi misi pencarian daripada udara dan permukaan laut, Australia telah memulakan pencarian di dasar laut membabitkan kawasan yang amat luas, di kawasan yang tidak pernah dibuat pemetaan sebelum ini.
Beliau berkata, lebih menyukarkan lagi, zon pencarian adalah satu daripada kawasan laut yang paling bergelora di dunia.
Ketua Pembangkang, Bill Shorten, berkata semua rakyat Australia bersimpati dengan keluarga penumpang dan anak kapal MH370.
"Ini kerana semua rakyat Australia tahu betapa sedihnya mereka, kerana kami semua pernah melalui perkara sedih seumpama ini, apa yang Parlimen ini dapat katakan kepada anda hari ini adalah bahawa anda tidak bersendirian," katanya.- BERNAMA

3 kanak-kanak di antara 7 tahanan di dalam laporan WB

1369998683 (1).jpg

Khamis, 05-03-2015 - Angkatan Kependudukan Israel (IOF) pada Selasa menahan tiga kanak-kanak di bawah 13 tahun dari al-Khalil di selatan Tebing Barat. Sumber tempatan mengesahkan bahawa tiga pelajar berusia 13 ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah di al-Khalil. Tambahan daripada sumber melaporkan bahawa pelajar-pelajar telah diperiksa dan di bawa ke pusat tahanan Israel atas tuduhan memiliki dalam simpanan mereka kompas sekolah.
canada_flag.transformed.jpg
JUMAAT, 6 MAC 2015 MONTREAL: Empat menteri Kanada menerima sampul surat berisi serbuk putih yang kemudiannya didapati tidak berbahaya.
"Dalam setiap kes, petugas menemui serbuk putih dalam sampul surat di pejabat wilayah menteri berkenaan di Quebec," menurut pegawai polis negeri, Sarjan Richard Gagne.
Sampul surat itu dihantar ke pejabat Menteri Infrastruktur, Denis Lebel; Menteri Pembangunan Antarabangsa, Christian Paradis; Menteri Perusahaan Kecil dan Pelancongan, Maxime Bernier; dan Menteri Keselamatan Awam, Steven Blaney.
Polis menyatakan analisis serbuk putih dalam sampul surat pertama yang dibuka petugas pejabat Lebel mendapatinya tidak berbahaya.
Sampul surat itu tiba ketika Parlimen membahaskan undang-undang anti-keganasan kontroversi yang dijuarai Blaney.
Ia mengingatkan kembali kepada kes antraks pada Oktober 2001 di Amerika Syarikat dan negara lain apabila surat yang diletakkan bakteria itu dihantar kepada wartawan dan penggubal undang-undang, menyebabkan beberapa orang dijangkiti.


Assad dakwa masih terima sokongan rakyat

06 Mac 2015

DAMSYIK 5 Mac – Pre­siden Syria, Bashar al-Assad berkata, beliau masih menerima sokongan daripada rakyat walaupun konflik di negara ini sudah berlanjutan selama empat tahun dan menerima tekanan an­tarabangsa. Bashar berkata, imej negatif mengenai dirinya yang dipaparkan oleh Barat telah diputarbelitkan. “Rakyat, negara-negara di rantau ini dan Barat menentangnya, namun dia masih berkuasa. “Sama ada anda menipu kami atau jika anda bercakap tentang Superman, namun Superman tidak wujud, saya hanya seorang Presiden biasa, bermakna saya mampu bertahan selama empat tahun hanya dengan menerima sokongan rak­yat,’’ katanya dalam temu bual dengan badan penyiaran Portugal, RTP. Kerajaan Assad berdepan pelbagai masalah termasuk perang saudara dan ancaman daripada kumpulan militan Negara Islam (IS) selepas meletus kebangkitan rakyat di Syria pada Mac 2011. Dipercayai lebih 220,000 orang terbunuh dalam konflik di Syria, namun Assad menafikan jumlah korban berkenaan. Assad juga menafikan pentadbiran Syria mengalami kegagalan. “Institusi negara ini masih berfungsi, kami masih membayar gaji (kepada kakitangan kerajaan), walaupun di kawasan yang dikawal pengganas. “Syria masih belum tumbang,’’ katanya. Beliau menyokong satu penyelesaian politik kepada konflik di negara ini, namun kebanyakan parti pembangkang menerima sokongan asing termasuk dari negara-negara Teluk. – AFP

Netanyahu main wayang di AS untuk lumpuhkan Iran

netan2.transformed_0.jpg

JUMAAT, 6 MAC 2015KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekali lagi 'bermain wayang' dengan niat untuk melumpuhkan Iran dan aktiviti nuklearnya.
Namun, ia bukan sesuatu yang baharu kerana negara Yahudi itu mahu memastikan tidak ada pencabarnya di Asia Barat.
Menurut Felo Penyelidik Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik,Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, cerita itu diulang tayang untuk meyakinkan Kongres Amerika Syarikat (AS) supaya tidak membenarkan PresidenBarack Obama meneruskan perjanjian bersama negara Eropah lain.
Israel bimbang
"Israel ternyata bimbang jika Iran berbaik dengan negara Barat, kemungkinan kerana Iran sebagai negara yang berkedudukan strategik dengan hasil minyaknya akan menjadi rakan baharu AS, sekali gus mengetepikan Israel sebagai 'anak emas' negara itu.
"Kebimbangan itu wujud dalam kalangan pelobi Israel di AS yang sentiasa mahu melihat kuasa besar itu memberikan tumpuan menjadikan kepentingan Israel sebagai kepentingan tertinggi," katanya kepada BH semalam.
Laporan kelmarin menyebut Netanyahu yang terdesak untuk menghalang sebarang perjanjian nuklear Iran, mengecam langkah Obama dan perunding antarabangsa mengadakan rundingan dengan Tehran.
Ketika menyampaikan ucapan kontroversinya di Kongres AS, Netanyahu memberi amaran rundingan dengan Iran akan memberi ruang kepada Tehran menghasilkan senjata nuklear.
Kemunculan Netanyahu di Kongres bagaimanapun dipulaukan berpuluh-puluh anggota perwakilan parti Demokrat dan ketiadaan mereka jelas menunjukkan perbezaan pandangan mengenai pendirian pemimpin rejim Zionis itu.
Sementara itu, Mohamad berkata, perubahan politik di Asia Barat dan perubahan di AS semakin menghambat Netanyahu hingga menyukarkan Israel mewawarkan cerita lamanya bagi melihat peperangan AS dengan Iran yang sekali gus meruntuhkan negara itu.
Beliau berkata, sebahagian besar negara di Asia Barat kini berada dalam huru-hara yang sedang dilumpuhkan oleh pertelingkahan sesama sendiri maka ia tidak lagi berkemampuan untuk mencabar Israel.
"Isu itu jika dibangkitkan oleh Israel sekalipun, tidak lagi dapat meyakinkan barat bahawa Israel terancam.
"Peristiwa di Gaza pula menyebabkan dunia semakin bersimpati terhadap perjuangan Palestin, termasuk dalam kalangan negara Eropah sendiri," katanya.
Selain itu, makin banyak penduduk AS berpendapat negara itu tidak sepatutnya mementingkan Israel kerana penjagaan yang keterlaluan hanya menjejaskan dasar luar dan kepentingan AS.


mh370.transformed_1.jpg

KUALA LUMPUR: Beberapa hari menjelang genap setahun kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, syarikat penerbangan itu terus menaruh harapan bahawa misi pencarian dan penyiasatan dapat merungkai misteri kehilangannya dan mencari jawapan yang ditunggu-tunggu selama ini.
MAS akan memperingati ulang tahun pertama dengan program khas tertutup di pinggir Kuala Lumpur yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga anak kapal MH370 dan kakitangan MAS.
"Kami mengambil kesempatan ini untuk memperingati rakan-rakan dan sahabat dalam pesawat malang itu, ..keluarga anggota anak kapal sudah menyatakan hasrat bahawa program mengenang pemergian orang tersayang yang mereka sertai adalah secara tertutup.
"Kami akan menggunakan peluang ini untuk mengingatkan diri kami dan pihak berkuasa berkaitan mengenai obligasi - tugas dan kewajipan moral - untuk meneruskan usaha mencari jawapan dan merumuskan kesimpulan yang muktamad," kata MAS dalam dalam satu kenyataan.
Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. MAS kehilangan 12 anak kapal serta seorang kakitangan MASkargo.
Pada 29 Januari 2015, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawa semua 239 orang yang menaiki pesawat dianggap terkorban.
Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia juga menegaskan bahawa usaha mencari pesawat itu tetap menjadi keutamaan.
Mengetahui bahawa tidak semua kakitangan dapat menghadiri program perjumpaan tertutup Ahad ini, MAS berkata ia akan mengedar pin batik kepada kakitangannya sebagai tanda mengingati pemergian rakan-rakan.
"Kami juga mengeluarkan lencana digital dengan reka bentuk yang sama dan hashtag 'Always in my heart'," kata MAS yang kini melaksanakan pelan pemulihan bagi menyelamatkan masa depan syarikat penerbangan itu.
Selain MH370, Penerbangan MH17 yang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan semua 298 penumpang dan krew.
Dalam masa kurang enam bulan, MAS mengalami dua insiden tragik, kehilangan lebih 500 nyawa dan hampir 30 krew kanan dalam apa yang boleh disifatkan sebagai peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan.
MAS menyatakan bahawa ulang tahun pada Ahad ini adalah penting kerana peristiwa yang menyelubungi MH370 meninggalkan kesan yang mendalam dan berkekalan terhadap perniagaan dan reputasinya.
"Tetapi yang lebih penting, kami kehilangan rakan-rakan tersayang pada hari itu," kata MAS sambil menambah bahawa walaupun misteri kehilangan MH370 tidak terjawab dan ahli keluarga menuntut jawapannya, kebajikan ahli keluarga diberi perhatian dalam setiap tindakan yang diambil MAS sebagai sebuah syarikat sejak mengetahui kehilangan pesawat itu.
"Kami sendiri tidak dapat memberikan jawapan. Kami menyokong siasatan tetapi kami tidak mengarahkannya ataupun mengetahui hasil siasatan. Kami melihat pencarian di Lautan Hindi dari jauh, sama seperti orang lain, ..kami tidak boleh menetapkan bila atau dari mana maklumat disalurkan," kata MAS.
MAS berkata ia secara langsung telah menyediakan bantuan kewangan dan menubuhkan Pusat Sokongan Keluarga di Kuala Lumpur dan Pusat Bantuan Keluarga di Kuala Lumpur dan Beijing, selain bantuan dalam bentuk khidmat kaunseling.
Usaha ini, kata syarikat penerbangan itu, akan diteruskan selepas ini. - BERNAMA




Ali ‘Imran :147-148
147:Dan tidak lain ucapan mereka hanyalah doa “ Ya Tuhan kami,ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan(dalam)urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami,dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir”.
148:Maka Allah memberi mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat.Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.

Jazakumullahu khairan kathira.


Post a Comment