Bismillahirrahmanirrahim...
Jam tanganku menunjukkan tepat pukul 2 pagi. Kesejukan
yang menggigit tulang belulangku membuatkanku terfikir, mungkinkah aku patut
membawa baju winter sahaja ke sini? Ah, tapi sudah terlambat! Perjalanan hampir
6 jam tadi sudahpun membawaku jauh dari bumi Soviet itu. Aku kemaskan kedudukan
kot autumnku,
dan cuba untuk melelapkan mata walau sekejap di dalam surau QAIA itu, sambil
menunggu penerbangan sahabat-sahabat lain yang dijangka akan tiba 2 jam lagi...
Gedang!
Mataku terbuka luas. Dalam kesamaran, dapat kulihat 5 bayangan individu yang
baru masuk ke dalam ruang surau QAIA itu. Aku tersenyum, lantas bangkit
menyambut mereka. Rupa-rupanya sahabat dari Irbid telah turut tiba untuk
membawa kami ke sana! MasyaAllah, sudahlah perjalanan ke sana akan mengambil
masa 2 jam, aku tidak menyangka mereka akan sanggup untuk mengorbankan masa
tidur mereka semata-mata untuk menemui kami di Amman. Namun kepenatan mencelah
perbualan kami. Selepas selesai sahaja solat subuh berjemaah di situ, kami
segera menaiki van Amu Khalid yang telah siap sedia menunggu di luar.
Amu Khalid- seorang insan yang membuatkan aku banyak
terfikir tentang implementasi Islam dalam segenap penjuru kehidupan. Bukan itu
sahaja, setiap kata-katanya mengandungi nasihat yang bermanfaat, tidak kira
masa atau ketika. Ideanya sungguh matang dan positif. Aku jadi malu sendiri
apabila memuhasabahkan diri. Kata-kataku, ideaku, malah pembawaan diriku...
Jauh ketinggalan! Dedikasinya untuk melaksanakan amanahnya kepada kami membuatkan
aku tertampar, apakah aku juga turut mampu melakukan sedemikian, andai kata aku
berada di tempatnya? Dalam keadaan penat, beliau masih boleh melayan kerenah
kami, memenuhi segala keperluan yang diminta, malahan berjenaka untuk
memeriahkan suasana!
Melalui perbualan kami, barulah aku dapat memahami bahawa
pembawaan dirinya itu adalah akibat daripada sejarah kehidupannya sendiri yang
telah mula hidup berdikari sejak berumur 17 tahun lagi. Beliau merantau ke
Amerika tanpa sebarang penguasaan bahasa inggeris, dan menetap bersama kakak
dan abang iparnya di sana. Bermula daripada bawah, beliau berjinak-jinak dengan
dunia perniagaan, sampailah suatu masa beliau telah berjaya memiliki sebuah
supermarket sendiri! Subhanallah! Apabila ditanya, mengapa beliau sanggup
meninggalkan segala kemewahan itu dan kembali ke Jordan? Jawapannya membuatkan
aku tercengang kagum dengan nilai pengorbanan yang dilakukannya.
"Saya mahu menyelamatkan anak-anak saya, saya mahu
mereka dididik di sini, di Jordan"
Itulah jawapannya, jawapan seorang ayah yang begitu
kasihkan anak-anaknya dan tarbiyah diri mereka. Itulah sudut pandang seorang
bapa, yang mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Itulah punca yang membawa
kepada pengorbanan seorang bapa.
Dengan senyuman, beliau menyambung,
"Saya suka dengan pekerjaan saya sekarang, saya
hanya mahukan yang terbaik untuk semua pelanggan saya. Saya suka apabila
melihat pelanggan saya gembira. Adakah kamu gembira?"
Serentak kami tertawa bersama.
Pengembaraan kami di bumi Jordan bersama Amu Khalid penuh dengan pengajaran dan tauladan. Walaupun tidak
lama bersama, namun 3 hari yang dihabiskan untuk menyingkap sejarah bumi
anbiya' dan para sahabat ini cukup bermakna, sebagai pengembaraan terakhirku
selagi mana aku masih bergelar seorang pelajar.
Setelah berehat sebentar di Irbid
dan bersarapan, kami memulakan perjalanan kami menuju kawasan peperangan
Yarmouk di bahagian utara Jordan. Aku berasa teruja untuk memijak tapak di mana
Khalid alWalid yang gagah itu turut memijaknya. Bagaikan terasa gegaran derapan
tapak kaki kuda yang pantas mara kehadapan dan mengelak serangan daripada pihak
lawan. Disinilah tempat penentu kemenangan di pihak Islam di atas kerajaan
Byzantine. Di sini jualah aku bertemu dan bersua dengannya buat pertama kali.
Bumi Palestin yang kurindui.
Sebenarnya tapak ini jualah
menandakan bertemunya tiga tanah asal kawasan Syam- Jordan, Syria dan Palestin.
Walaupun daripada kejauhan, namun terasa bagaikan bumi barakah itu
melambai-lambai menjemput kami untuk menziarahinya. Namun apakan daya, kami
hanya mampu membalas lambaian itu dengan senyuman dan doa agar dimenangkan
pihak yang benar dan dibinasakan pihak yang menindas!
Seterusnya, kami meneruskan
perjalanan menuju makam-makam para sahabat yang berdekatan. Antaranya termasuklah
makam Muadz bin Jabbal, Abu Ubaidah AlJarrah, Dhirar, dan Syurhabil. Tak perlu
kusingkap kehebatan dan kewarakan mereka semua. Rasanya sudah cukup
kusimpulkan, mereka adalah insan-insan yang telah selesai urusan jualbelinya
kepada Allah!
Satu perkara yang tidak dapat
kulupakan, adalah ketika menghidu bau mereka yang syahid dengan hidungku
sendiri. MasyaAllah! Baunya amat sukar untuk aku gambarkan, begitu harum dan
mewangi. Walaupun ditutupi dengan kain, batu, mahupun kaca sekalipun, bau itu
tetap berjaya menghinggapi hidung-hidung para perindu syahid ini. Subhanallah,
Allahuakbar!
Pengembaraan hari pertama kami
ditamatkan awal, untuk memberi ruang kepada Amu Khalid dan kami sendiri berehat
bagi menghadapi hari kedua yang lebih menarik dan penuh dengan ibrah. Tidak
banyak yang dibualkan, semuanya tidur dengan lena mengharapkan redha Ilahi bagi
perjalanan jauh kami pada esok harinya...
Hari kedua bermula seawal jam 8 pagi
untuk menghadapi perjalanan selama 4 jam ke arah selatan Jordan, menuju padang
pasir Wadi Rum. Aku tergamam melihat pemandangan yang bertukar daripada lautan
batu bata berwarna putih kepada lautan padang pasir dan bukit bukau sandstone yang begitu menggamit rasa. Sempat juga kami singgah sebentar di gua Kahfi
dan mentadabbur ayat-ayat daripada surah Kahfi itu sendiri. Snap! Snap! Dalam kesibukan mengambil gambar-gambar kenangan, sempat juga kubisikkan
doa, "Ya Allah, berikanlah aku keteguhan iman, sebagaimana engkau teguhkan
keimanan mereka ini... Moga tidak akan pernah goyah menghadapi apa jenis dan
bentuk dugaan sekalipun.. Ameen..."
Selepas itu, perjalanan yang berbaki
2 jam diteruskan sehingga kami tiba di satu stesen minyak berdekatan dengan
sebuah pekan di tengah-tengah padang pasir. Di situ kami bertukar kenderaan
daripada van kepada sebuah jeep yang bakal membawa kami
meneroka padang pasir nan luas itu. Inilah tapak Lawrence of Arabia yang mereka
sanjung-sanjung itu. Inilah tapak di mana orang Arab badwi sendiri tertipu.
Disangka mendapat pertolongan daripada Lawrence of Arabia untuk membela bangsa
sendiri, namun sebenarnya dipergunakan untuk memecahbelahkan ummah dan
bertarung dengan empayar Uthmaniyyah itu sendiri!
Kami juga diajak mendaki bukit
berbatu itu untuk menikmati pemandangan padang pasir dari lokasi yang tinggi.
Pantas kami melihat kepada pakaian masing-masing. Jubah? Kain? Beres, jalan
saja!
Akhir sekali, kami dibawa menikmati
pemandangan matahari terbenam sambil duduk-duduk bermain pasir yang gebu.
MasyaAllah, walau berulang kali aku melihat kepada keindahan ciptaanNya ini,
takkan pernah kurasa bosan!
Setelah bermalam bertemankan bulan
dan bintang di dalam khemah di tengah-tengah padang pasir itu, kami meneruskan
perjalanan ke Petra untuk melihat dengan mata sendiri kota yang diukir ke dalam
bukit yang seringkali disebut-sebut selari dengan nama Jordan itu. Menurut
jurupandu kami, kaum yang mendiami tempat ini dahulu dinamakan Nabateans. Apabila ditanya, adakah itu kaum samud seperti yang dihuraikan di dalam
Al-Quran?
Wallahua'lam. Itulah jawapannya.
Walaubagaimanapun, keberadaan kami
di dalam kota itu terasa bagaikan berada di dalam set penggambaran, amat sukar
untuk kami mempercayai apa yang dilihat dengan mata kami sendiri. Setiap
bangunan memang betul-betul diukirkan ke dalam bukit bukau, dengan perhiasan
mengikut pangkat masing-masing. Ukiran bangunan yang paling gah sekali sudah
pasti kepunyaan para raja, salah satunya bernama Khaznah, lambang utama
Petra di dalam keychain dan magnet di dalam kedai-kedai souvenir.
Selepas menikmati mansafe dan maghlubah, juadah tradisi Jordan, kami bergerak ke Mu'tah, di mana
segala sejarah di Jordan bermula. Di sinilah peperangan melawan Byzantine
bermula, yang kemudiannya berakhir dengan kemenangan di pihak Islam di Yarmouk.
Disinilah jua terletaknya makan 3 sahabat terdekat Rasulullah saw- Abdullah
Ibnu Rawahah, Zaid bin Harithah, dan Jaafar bin Abi Talib.
Bagiku, pengembaraan hari ketiga
inilah yang paling bermakna dan menyentuh hatiku. Inilah hari terakhir untuk
aku menyelami sejarahnya, mengambil pengajaran daripadanya. Untuk mengharapkan
peluang kedua, entahkan bila...
Keharuman para syuhada yang
mengiringi setiap langkahku, alunan ayat Al-Quran yang membuktikan janji mereka,
menghebahkan kemenangan mereka...
“Sesungguhnya Allah telah membeli
dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan
(balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada
jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan
Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah
di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang
lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan
jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli
(yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”
(AtTaubah 9:111)
Terasa bagaikan mereka masih lagi
menghulurkan tangan, menantikan para syuhada yang seterusnya untuk
menyambutnya. Aku membayangkan diriku berlari dan terkapai-kapai mencuba untuk
menangkap peluang keemasan ini, namun aku sedar, aku masih lagi jauh
ketinggalan. Masih jauh, namun bukannya hilang. Masih ada pengharapan,
inshaaAllah...
Sebagai hadiah perpisahan,
kunukilkan sebuah sajak yang kuharap dapat menyemarakkan kembali rasa cita dan
rinduku untuk menyelesaikan jual beli yang amat menguntungkan ini dan
mendapatkan kemenangan disisiNya! Allahuakbar!
Sambutlah tanganku
Kibarkan panjimu
Bakarlah semangat itu
Teruskan perjuangan
Gemakan
laungan
Allahuakbar!
Sambutlah
tanganku
Penggallah
kejahilanmu
Tinggalkan
segala kebodohan itu
Rawatkan
ummah
Lakukan
islah
Allahuakbar!
Sambutlah
tanganku
Kembangkan
sayap imanmu
Tepiskan
lelah itu
Menyambung
sunnah
Tetap
berdakwah
Berlari
menuju pengakhiran abadi
Merebut
kasih redha Ilahi
Allahuakbar!
-Mu'tah, Jordan, 4.20pm, 4 Feb 2015.
-Perjalananku
masih panjang, jangan lelah, dan jangan alpa… teruskan sahaja! Yok!!!-
Lokaliti: Volgograd
Tahun: 6
Post a Comment