TRAVELOG AZAM RUSSIA 2015 | Kembara Warisan Nabi | Tempat Pertama

0 comments
Ianya lebih dari sekadar jaulah atau percutian yang saban tahun aku lazimi.Ia mengkonsumsi segenap jiwa,minda ,fikiran dan emosi.Sampai aku khuatir,mampukah aku menghadam dan menterjemah memori,pengalaman,bukti-bukti yang Allah hadirkan sepanjang pengembaraanku ini.Apatah lagi mampukah aku memikul beban amal yang bertambah-tambah di bahuku .Aku menulis lebih kepada untuk diri sendiri agar satu hari nanti saat aku kejauhan dari jalan ini,dibawa arus kelemasan, kesibukan duniawi aku mampu bangkit mencari kesedaran,kekuatan dengan membelek saat-saat indah aku bersama kafilah dakwah ini.

“Tidak akan rugi orang yang beristikharah, tidak akan kecewa orang yang bermusyawarah dan tidak akan miskin orang yang hidupnya hemah “(HR Thabrani dari Anas)

Hadith di atas antara yang membawa aku ke bumi Urdun,atau lebih gah dikenali juga dengan gelaran “Hashemite Kingdom of Jordan”.Disambut kedinginan angin bumi barakah seawal jam 3 pagi sebaik mendaratnya burung besi ,siapa sangka akan pulang ke negara dingin beku Persekutuan Russia dengan kehangatan yang seakan-akan tidak mahu pergi.

Pengembaraan dimulakan dengan melawat Makrikah Yarmouk atau tapak peperangan Yarmouk di penjuru kota Irbid. Tapak perang ini menjadi saksi ,bukti ,cinta Khalid al-Walid sebagai panglima perang terhadap Islam deennya, Allah Rabbnya dan belas kasih sahabat terhadap tiga saudaranya, yang terbunuh dalam Perang Mu’tah .Aku bagai dapat melihat aksi hero sejati maju menghunus pedang menentang tentera Romawi,gagah perkasa tak gentar mati.

Tapak Perang Yarmouk 

Dari kejauhan di sebalik bukit yg mengelilingi tapak ini aku dapat melihat pinggir negara Syria dan Palestin.Andai sahaja bisa dirobohkan sempadan negara ciptaan manusia durjana ! Tahukah kalian keempat-empat negara ini (Jordan,Palestin,Syria,Lebanon) adalah Bilad as Syams yang tercatat dalam Sirah Nabawi .Tegar sahaja engkau wahai hati yang mati melihat penduduk negara di utaramu disiksa rejim Basyar saban hari,walhal negara sebelah kirimu dibedil peluru tak henti-henti.Bergembiralah wahai jiwa-jiwa suci yang menempah tiket percuma ke syurga yang kekal abadi.

Negara Haram Israel adalah Bumi Palestin 
Perjalanan diteruskan dengan menziarahi maqam sahabat Nabi yang agung;Muadz bin Jabal, Syurahbil bin Hasanah,Abu Ubaidah al Jarrah dan Dirar al-Azwar.Seindah nama,sehebat rupa,semulia akhlaknya,seikhlas perjuangan mereka! Tak perlu aku perinci kisah hidup mereka yang sudah dinanti bidadari-bidadari jelita ,kita sahaja yang perlu mencari masa membelek lembaran sirah ,cuba mencontohi mereka agar boleh berharap pengakhiran yang serupa .Terusik hati,lemah bergetar mengangkat kaki meninggalkan maqam pendokong tegar dakwah ini,sedangkan diri masih mencari-cari paksi diri.Kata akhawat yang mengiringi “Jordan bukan tempatnya untuk bersuka ria membeli belah itu dan ini,terlalu banyak ibrah yang boleh digali,membuat kita rasa kerdilnya diri”.

Hari seterusnya membawa kami ke ibu kota Jordan ,Amman tempat terletaknya gua Ashabul Kahfi .Gua yang menjadi tempat tidurnya para fityah pengabdi selama 309 tahun,dibolak balik kanan dan kiri.Mashyur kisahnya sehingga diabadi sebuah surah sempena peristiwa ini,surah ke 18,surah al-Kahfi.Bukan sekadar untuk dibaca setiap Khamis sehingga Jumaat dinihari,tapi ambillah ibrah kisah ini dengan mata hati .Meremang bulu roma,sayu sepi suasana saat kami mentadabbur potongan ayat cerita pemuda di atas gua.Yang pasti,bacaan Kahfi kami selepas ini takkan pernah sunyi dari bayangan pemuda gua,yang lari menyelamatkan keimanan dari pemerintah zalim yang berkuasa.

"Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk"(18:13)

Perjalanan hampir 4 jam membawa kami ke selatan peta.Sampai juga ke destinasi seterusnya,Wadi Rum atau Lembah Rum.Dibawa menaiki jeep menjelajah ke pelusuk padang pasir lembah Rum;dari gua kediaman Arab Badwi dahulu kala ,memanjat bukit bagi mendapatkan gambar panorama , sehinggalah melihat matahari terbenam bagi memberi sinar kepada bahagian bumi yang lainnya,semua keindahannya tak mampu aku ungkap dengan kata-kata.Engkau sendiri perlu merasainya ;berlari-lari di atas padang pasir halus ciptaan Yang Esa sambil tak henti-henti memuji namaNya yang menjadikan segalanya semata-mata untuk kita.Ini baru syurga dunia,bagaimana agaknya syurga di sisiNya.Tidak layak pun agaknya diri ini membayangkannya.Kecantikan lembah Rum ini dipalit juga sejarah duka.Lembah ini menjadi mangsa muslihat T.E Lawrence atau lebih dikenali sebagai Lawrence of Arabia yang memperguna Arab Badawi yang mendiami kawasan ini dalam usaha menggulingkan kerajaan Turki Uthmaniyah, menjadi sisa-sisa.Pelajarilah sejarah wahai orang muda,agar kau tidak akan mengulanginya,tak tertipu oleh pemodenan semasa.

Pesona Wadi Rum 
Dibawa bermalam di dalam khemah di tengah-tengah padang pasir,hanya dibaluti sehelai selimut tebal dalam kegelapan malam merupakan pengalaman bermakna yang tak mungkin akan dapat kami rasai lagi.Kesejukan yang dirasai hingga ke tulang menyedarkan kami,mengetuk-ngetuk kepala yang seringkali mementingkan diri ,ini yang pelarian Syria rasai! Syukran Ammu Khaled,pakcik Arab yang mengatur perjalanan kami sepanjang berada di bumi Urdun ini.Ammu yang sangat fasih berbahasa Inggeris lebih petah dari kami,sangat baik hati memperkenalkan kami santapan Jordan yang perlu dirasai , tak pernah jemu melayan kerenah dan soalan kami,dan yang paling penting impak besar yang Ammu tinggalkan hasil bicara hati ke hati pada malam hari ketika mengelilingi unggun api.Kata beliau yang membekas dalam hati “In life you can choose either you want to be happy by yourselves,or serve people to make them happy”.Fikiran yang penuh kematangan,sesuai usianya,persis seorang daie’. Kami tinggalkan Wadi Rum saat subuh hadir membawa satu lagi hari yang penuh misteri dan saat matahari menampakkan diri bagi mematuhi aturan Ilahi.Sungguh apa lagi kamu mahu wahai diri setelah menyaksikan begitu banyak keajaiban,kesempurnaan ,nikmat yang tidak terperi?

The Lost City atau kota yang hilang- Petra ,pasti termasuk dalam mana-mana senarai tempat yang wajib dikunjungi di planet bernama Bumi.Benar,takku nafikan keajaiban kota yang diukir daripada gunung-gunung batu ini.Bagaimana pernah dan mungkin ada sekelompok manusia yang hidup membina satu tamadun yang sangat teratur,terperinci sistemnya dalam celahan gunung-gunung gergasi yang sekiranya dilihat dari sebelah luar tidak membawa sebarang erti,tak mampu untuk otak ini memahami,Ada yang mengatakan kota ini adalah tinggalan kaum Nabi Saleh,Tsamud namun hanya Allah yang mengetahui.Rugilah sekiranya pergi hanya untuk menambah koleksi gambar peribadi,tujuan bangga membangga diri setelah penat kaki menjelajahi kota terlindung ini.

"Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan?" (51: 20-21)

Antara tinggalan kota Petra yang baru 15% ditemui,Al-Khazna 
Pulang dari Petra,kami singgah di kota Mu’tah,kota saksi kesyahidan 3 pahlawan Islam sejati.Seorang anak angkatnya Nabi:Zaid bin Harithah,seorang lagi pamannya;Jaafar b.Abu talib dan yang ketiga penyair Ansar yang menyertai Perjanjian Aqabah Pertama; Abdullah Ibn Rawahah.Apa lagi yang lebih menggembirakan dari memasuki syurga Ilahi secara gerombolan bersama sahabat sejati setelah berhempas pulas hidup mulia di dunia ini.Usah menangis duhai hati kerana mati itu pasti ,cuma hisab amalan yang membezakan,yang menentukan baik buruk pengakhiran.Mereka sudah mencapai kerehatan hakiki sedangkan kita masih culas ,mencari alasan menyelamatkan diri dari berbakti.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang agung” (9:111)

Kami bergerak pulang ke Irbid menelusuri kedamaian berbalut kesugulan Laut Mati.Sekali lagi dapat menatap bumi Palestin dari kejauhan ,dilimpahi sinaran bulan dan lampu gemerlapan.Nampak indah ,damai namun hakikat di jalan-jalan harian hanya mereka yang rasakan .Teruskan perjuanganmu penduduk Palestin ,aku tahu kau tak pernah mempersoalkan takdir ketentuan keberadaanmu di sana,kerana kau insan pilihan untuk mempertahankan kesucian.Aku di sini akan berjuang sesuai dengan kemampuan,moga Allah menerima amalan .

Banyak lagi detik-detik keinsafan yang tak sempat semuanya aku nukilkan .Melihat kesungguhan ikhwah akhwat di sana mentarbiah diri dan mutarabbi,bertutur lancar bahasa Arab yang menggamit kecerembuan dalam diri dan kemesraan yang dihulur menyambut tetamu baru seperti kami benar-benar menyentuh jiwa raga ini. Benarlah perintah Allah menyuruh kita mengembara untuk merefleksi diri,namun pastikan niat yang tersemat di hati hanya kerana mencari redha Ilahi,jika tidak takkan kau temui.

Fikirkan kembali wahai hati-hati yang mencari,apa tujuan penciptaan kita di dunia ini? Adakah Allah sedang berpuas hati dengan pencapaian kita di dunianya ini saban hari? Masih banyak kerja yang perlu dilakukan ,umat di sana menunggu-nunggu minta bantuan mohon diselamatkan.Pahit ku cerita lambakan anak-anak kecil yang berada di negara-negara Islam yang pernah aku kunjungi ; baik Mesir,Turki mahupun Jordan bekerja menarik keldai,memerah keringat menjual air, berebut meminta sedekah dengan berkaki ayam. Kita puas mengisi perut,membazir masa,wang, tenaga muda dengan keseronokan sementara.Jika hanya nanti kita tidak ditanya.

Kenyamanan padang pasir berganti keputihan dingin salji.Bertukar bahasa ,riak wajak yang berbeza.Lagu “Kepastian “ nyanyian In Team mengiringi kepulangan kami dari bumi Jordan ke Persekutuan Russia, bumi realiti.

Syurga yang dijanjikan
Bukanlah suatu khayalan
Tentang nikmat berpanjangan Ilahi


Neraka yang tercipta
Menghimpun azab derita
Tangisan kesengsaraan insan

Syurga adalah kelazatan
Terbentang buat hamba beriman
Yang kasihkan Tuhannya
Yang kasihkan Rasulnya
Yang kasih agamanya

Neraka tempat kemurkaan
Angkara kedurjanaan insan
Yang lupakan Tuhannya
Yang lupakan Rasulnya
Yang lupa agamanya

Mana pilihan kita? .Kita kata kita kasih, kita cinta pada Allah dan Rasulnya,lantas apa buktinya? Cinta seharusnya menghasilkan ketaatan kepada Yang Maha Kuasa.Apa lagi hujahmu buat pembela?

Jazakumullahkhairan katseera buat teman-teman jaulah yang sabar melayani kerenah diri,buat akhawat Jordan yang meninggalkan memori-memori indah di hati.Ini adalah jaulah terakhir,atau lebih suka aku katakan perjalanan introspeksi diri ,yang terbaik pernah aku alami.Bersyukur kerana Allah memberi hidayahNya melalui antum semua,meyedarkan kealpaan diri .Aku menjadi malu,gusar pada bayang-bayang sendiri utk bergelar graduan beberapa bulan lagi.Namun aku percaya hadith Nabi :

"Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut" [Hadis Riwayat Imam Ahmad]

Masih ada ruang dan masa untuk mengislah diri,selagi matahari terbit lagi dan nafas belum berhenti.Dapatkah engkau fahami apa yang aKu rasai?

Oh ya,jika kalian mahu menghitung nilai harga diri,bertandanglah ke Jordan,tanah warisan Nabi.Buka mata,buka hati dan takkan pernah kan kau sesali.

AFIFA DZULKAFLI
TAHUN 6,VOLGOGRAD STATE MEDICAL UNIVERSITY


Post a Comment