Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wrt.
Tanggal 1hb Mac 2014 (Sabtu), masyarakat Russia rata-rata menyambut perayaan "Mасленицa" yang menandakan berakhirnya musim winter ini. Namun, di lokaliti Nizhny Novgorod, pihak AZAM sekali lagi menganjurkan Bazaar 2.0 atau lebih dikenali dengan Students’ Bazaar pada kali ini. Projek ini diketuai oleh Saudari Nor Arinie Zanuddin dan dibarisi dengan ahli-ahli jawatankuasa yang mantap dan komited. Seawal jam 12.30 tengah hari lagi, para penjual sudah mula menyediakan gerai mereka. Ia berakhir sekitar jam 4.00 petang. Seperti biasa, koridor tingkat 3, Hostel 3 telah dijadikan tapak jualan.
Suasana pasar malam seperti di Malaysia telah dapat dirasai apabila lagu mula berkumandang ditambah pula dengan jeritan dan sahutan para penjual membuat promosi. Ia telah berjaya menarik minat pelajar dari pelbagai negara seperti Afrika, Morocco, India, Russia dan Malaysia sendiri untuk berkunjung dan membeli makanan. Pada kali ini, 10 gerai telah dibuka dan ia terdiri daripada 4 gerai yang dikendalikan oleh kumpulan-kumpulan usrah dan 6 gerai lagi oleh pelajar-pelajar lain.
Antara juadah yang telah dijual adalah nasi lemak kukus, nasi hujan panas,chicken chop, fish and chips, nasi campur, pasembor, laksa, Pan Mee Sup Ayam, roti jala, roti john, vadeh, popiah, burger ayam, pau, cheese cake, ice blended, dan lain-lain.
Hadaf Malaysian Bazaar 2.0 ini adalah :
- memperkenalkan kepada masyarakat luar tentang konsep Muamalat dalam Islam
- memberi peluang kepada ahli-ahli AZAM untuk bekerja dan menyumbangkan tenaga.
- untuk menjana dana bagi AZAM Russia lokaliti Nizhny Novgorod
Bazar kali ini lebih istimewa kerana pihak AZAM Nizhny berbesar hati menerima penyertaan daripada pelajar pelajar Morocco yang turut membuka gerai bagi memperkenalkan makanan tradisional mereka. Selain itu,kutipan sumbangan kepada Syria masih diteruskan atas tujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di sini untuk tidak melupakan penderitaan saudara saudara kita di sana. Tarikan bazar kali ini merupakan permainan Wheel of Food yang memberi peluang kepada 12 pengunjung bertuah untuk mendapat potongan 50% bagi makanan terpilih. Mudah sahaja, jawab satu soalan berkaitan Muamalat dalam Islam dan putar!
Projek Students’ Bazar ini diharapkan dapat mencapai hadafnya dan insyaAllah memberi inspirasi kepada pelajar di luar sana untuk terus menganjurkan aktiviti sebegini. Semoga usaha-usaha mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung akan diberkati dan diredhai Allah SWT. InsyaAllah.
Firman Allah SWT dalam Surah At Taubah ayat 111 :
Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka….. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.
Post a Comment