FRIDAY WRAP (21 MAC 2014 - 28 MAC 2014)

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim.. 

Assalamualaikum wbt para pembaca sekalian!

Minggu ini AZAM Russia membawakan berita terkini dari dalam dan luar negara untuk anda semua. Semoga perkongsian ini menambah pengetahuan dan membuatkan kita lebih cakna isu ummah. Selamat membaca!


Satelit China Kesan Objek Terapung di Koridor Selatan - Hishammuddin
Sabtu - 22/3/2014 


SEPANG- Satelit China kesan objek terapung sebesar 22.5x13 meter di koridor selatan Lautan Hindi, demikian diumumkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

"Berita yang baru saya terima daripada Duta Besar China (Huang Huikang) bahawa satelit negara itu kesan objek terapung di koridor selatan dan aset mereka sedang bergerak ke sana," kata Pemangku Menteri Pengangkutan itu pada sidang media, sebentar tadi. 

Sambil membacakan nota kecil di tangannya, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau tidak mempunyai maklumat lebih terpecinci namun kerajaan China akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat.


17 Pelajar Al-Azhar dihukum Penjara 
Sabtu - 22/3/2014 


KAHERAH , MESIR- Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun kepada 17 pelajar Universiti al-Azhar atas tuduhan menyerang ibu pejabat universiti semasa mengadakan protes tahun lalu.

Kesemua defendan yang juga penyokong presiden digulingkan Mohamed Morsi dan Ikhwanul Muslimin didakwa merusuh, merosakkan harta benda awam, membakar sembilan kenderaan dan menyerang pihak keselamatan serta kakitangan akademik al-Azhar. 

Mahkamah turut mengarahkan setiap pelajar membayar denda sebanyak AS$13,000 (RM43,000). 

Hukuman dijatuhkan sehari selepas tiga pelajar terbunuh apabila pengawal keselamatan Mesir diserang penunjuk perasaan antikerajaan di beberapa bandar utama di seluruh negara Afrika Utara, laporan dipetik dari Press TV.


Pilihan Raya Thailand Tidak Sah 
Sabtu - 22/3/2014 

BANGKOK- Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam mengisytiharkan pilihan raya umum yang diadakan bulan lalu tidak sah, keputusan yang semakin memburukkan kebuntuan politik berikutan bantahan pembangkang selama berbulan-bulan.

Pilihan raya 2 Februari lalu, yang diumumkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra masih tidak berjaya menenangkan krisis politik, dan belum lagi sempurna sepenuhnya kerana gangguan penunjuk perasaan. 


Syria berang Turki Tembak Jatuh Pesawat
Isnin - 24/3/2014 

DAMSYIK-Syria menuduh Ankara melakukan pencerobohan terang-terangan selepas tentera Turki menembak jatuh sebuah pesawat perangnya di sempadan kedua-dua negara, sekali gus meningkatkan ketegangan ketika tentera kerajaan bertempur dengan pemisah di kawasan itu. 

Hubungan antara kedua-dua negara musnah ketika konflik Syria apabila Ankara menyatakan sokongan kepada pemisah yang cuba menggulingkan Presiden Bashar al-Assad. 


Penerbangan MH370 berakhir di tengah Lautan Hindi – PM
Isnin - 24/3/2014 


KUALA LUMPUR- Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Najib membuat pengumuman itu berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.


529 Ahli Ikhwanul Muslimin dijatuhkan Hukuman Bunuh 
Isnin - 24/3/2014 


KAHERAH- Mahkamah Jenayah al-Minya mengeluarkan keputusan hari ini menjatuhkan hukuman bunuh kepada 529 ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong Mohamad Mursi, termasuklah Mursyidul Am IM Muhamad Badie dan Presiden Freedom and Justice Party (FJP) Saad al-Katatni. 16 defendan yang lain pula dibebaskan.

Keputusan ini sedang menunggu pengesahan Mufti Mesir. Keputusan akhir akan diumumkan pada 28 April 2014. 

Sesi tersebut dilangsungkan dengan ketiadaan defendan dan peguam, menurut Tarek Fouda, wakil Sindiket Peguam di al-Minya. 

Seramai 545 defendan, 397 daripada mereka dibicarakan tanpa kehadiran mereka, telah didakwa menyerang pejabat polis di Samalot dan kejiranan Matay di governorate al-Minya ketika pertempuran ganas selepas pembunuhan beramai-ramai di medan Rabiatul Adawiyah 14 Ogos lalu.


Pangkalan tentera Crimea digempur
Isnin - 24/3/2014 


BELBEK, CRIMEA- Pangkalan tentera udara di Crimea digempur tentera Rusia dalam satu insiden rampasan dramatik selepas wilayah itu disahkan sebagai milik Moscow, Jumaat lalu.

Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya seorang cedera ketika serangan di pangkalan tentera di Belbek berhampiran Sevastopol tersebut. 

"Tentera Rusia turut melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan ke udara sejurus mereka merempuh pagar utama dengan kereta kebal," menurut laporan itu lagi. 

Terdahulu, ratusan penunjuk perasaan tidak bersenjata dilaporkan berjaya menawan pangkalan tentera di Novofedorivka, barat Crimea. 


Sekatan Akses Twitter Akan ditarik Balik 
Isnin - 24/3/2014 

ANKARA, TURKI- Presiden Turki Abdullah Gul, semalam memberi jaminan kerajaan akan menarik balik sekatan akses Twitter yang telah mencetuskan kritikan masyarakat antarabangsa.

Abdullah menyatakan tindakan menutup internet dan platform seperti Twitter adalah tidak munasabah dari segi undang-undang. 

"Saya percaya masalah tersebut akan diselesaikan tidak lama lagi. Sekatan seumpama itu sememangnya memberi kesan kepada negara maju seperti Turki," jelasnya lagi. 

Kelmarin, laporan dipetik dari AFP, pejabat Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan mempertahankan tindakan mereka menyekat akses Twitter yang disifatkan sebagai 'langkah pencegahan' selepas laman blog mikro tersebut menyebarkan pautan berhubung rakaman skandal rasuah melibatkan pegawai kerajaan.


Etnik Islam Tatar cari perlindungan 
Selasa - 25/3/2014 


LVIV, UKRAINE-  Ratusan etnik Islam Tatar terpaksa mencari perlindungan di barat Ukraine selepas pencerobohan Rusia di Crimea, minggu lalu.

Mereka membuat keputusan itu kerana khuatir menjadi mangsa pengusiran etnik era pemerintahan Kesatuan Soviet pada 1940-an. 

Penduduk Tatar yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak terpaksa mengharungi perjalanan selama 30 jam menaiki kereta api sejauh 1,200 kilometer dari Ukraine ke Lviv. 

Memetik laporan AFP, pihak berkuasa tempatan memaklumkan kira-kira 2,000 penduduk dari Crimea dan kawasan sekitarnya kini mendapatkan perlindungan sementara di Lviv yang turut digelar sebagai 'the little Paris of Ukraine'. 

Difahamkan, seramai 300,000 masyarakat Islam Tatar turut memboikot referendum untuk menentukan sama ada Crimea akan menyertai Rusia pada 16 Mac lalu.


Indonesia Haramkan Filem Noah 
Rabu - 26/3/2014 


JAKARTA, INDONESIA - Indonesia, semalam mengharamkan filem epik Noah lakonan Russell Crowe, sekali gus menjadikannya negara Islam terbaharu mengharamkan filem tersebut kerana dikhuatiri bercanggah dengan nilai Islam.

Jurucakap Lembaga Penapisan Indonesia, Zainut Tauhid Saad berkata, keputusan mengharamkan filem dibuat selepas undang-undang negara itu melarang sebarang gambaran berkaitan Nabi, walaupun siaran tayangan telah ditetapkan Jumaat ini. 

"Kami menolak penayangan filem itu di Indonesia kerana ia berkaitan Nabi Nuh," katanya dipetik AFP


Tuntutan Israel Sebagai Negara Yahudi ditolak 
Khamis - 27/3/2014 

KUWAIT- Pemimpin Arab menyokong penuh keengganan Palestin mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi, tuntutan Israel yang dijangka mengancam menjejaskan rundingan damai. 

Kami menyuarakan penolakan penuh tuntutan mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi, kata pengisytiharan itu pada akhir mesyuarat dua hari di Bandaraya Kuwait. 


Penyokong Al-Sisi buat kempen haram 
Khamis - 27/3/2014 


KAHERAH , MESIR-Pasukan keselamatan Mesir mengenal pasti beberapa penyokong Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi melancarkan kempen haram untuk mengutip dana sebagai persediaan kempen pilihan raya presiden dijadualkan April atau Jun ini.

Jurucakap tentera Ahmed Ali berkata, sebanyak 1,500 individu ditahan bersabit kesalahan tersebut. 

“Kesemua mereka bakal berhadapan tindakan undang-undang atas kesalahan membuat kutipan derma secara haram,” katanya dipetik dalam laporan Al Arabiya. 

Menurutnya, mengikut siasatan awal, kesemua individu itu berjanji akan memberikan pulangan ganjaran, sekiranya Al-Sisi menang dalam pilihan raya itu nanti. 

“Perbuatan ini mencemarkan imej ketenteraan kerana Al-Sisi masih belum mengemukakan secara rasmi borang untuk bertanding,” katanya. 

Difahamkan, kerajaan sementara pimpinan Adley Mansour juga masih belum memutuskan tarikh pilihan raya itu.


Bangladesh haramkan parti Jamaat-e-Islami 
Khamis - 27/3/2014 


DHAKA, BANGLADESH - Penyiasat unit jenayah perang Bangladesh mahu mengharamkan segala pergerakan parti Islam terbesar, Jamaat-e-Islami bersabit kesalahan pembunuhan beramai-ramai ketika era 71-an.

Ketua penyiasat jenayah perang Abdul Hannan Khan berkata, laporan terperinci diserahkan kepada pendakwa raya sebagai langkah pengharaman parti itu daripada bertanding pada pilihan raya yang dijadualkan Januari tahun depan


Sisi Sah Tanding Jawatan Presiden Mesir 
Khamis - 27/3/2014 


KAHERAH - Ketua tentera Mesir, Fil Marsyal Abdel Fattah Al-Sisi meng- umumkan bahawa beliau akan bertanding dalam pilihan raya Presiden yang dijadualkan pada pertengahan April depan. 

Beliau membuat pengumuman tersebut dalam satu temu bual bersama akhbar Kuwait, Al-Seyassah yang disiarkan semalam. 


Denggi: Menteri kecewa masyarakat tidak serius

sabtu - 22 Mac 2014

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam kecewa dengan sikap masyarakat yang tidak mengambil bahagian dalam program menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes anjuran kementerian itu.

Beliau berkata usaha membasmi wabak denggi menerusi program menghapuskan tempat pembiakan Aedes tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa penglibatan aktif masyarakat di sesebuah kawasan.

Katanya cuaca hujan di beberapa kawasan ketika ini boleh meningkatkan risiko serangan wabak denggi jika puncanya tidak dibasmi oleh penduduk.

"Selepas hujan, jentik-jentik boleh membiak dan hidup selama enam bulan di dalam bekas takungan air. Oleh itu penduduk perlu membersihkan kawasan masing-masing daripada bekas tin kosong dan bekas terbiar," katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program pendidikan tinggi, 'Pathway's', di Universiti Malaya di sini hari ini.



Umat harus kembali ke jalan ALLAH

Jumaat -21 Mac 2014


SHAH ALAM - Umat Islam haruslah segera bertaubat dan kembali semula ke jalan ALLAH.

Penceramah bebas yang juga imam dari masjid terbesar di Harare, Zimbabwe, Mufti Ismail Musa Menk mengakui dunia kini amat mencabar bagi umat Islam di seluruh dunia.

"Kita lebih banyak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah.  Misalnya, pada malam minggu ada sesetengah pihak lebih senang menghabiskan waktu berpeleseran di kelab malam, bukankah lebih baik jika kita meluangkan masa untuk melakukan sedikit ibadah untuk ALLAH?" katanya dalam sebuah syarahan di pekarangan kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Siri dakwah yang bermula di kompleks Karangkraf, Damansara, dan Kuala Lumpur ini diadakan bagi memberi kesedaran ummah masyarakat mengenai kesahihah dan kebenaran al-Quran dan sunnah di samping mendedahkan intipati al-Quran dengan lebih mendalam.

Menurutnya lagi, ada sesetengah umat Islam kini sudah terpesong jauh dari landasan Islam yang sebenar.

"Islam ialah agama yang cukup mudah, tetapi kenapa kita perlu memikirkan perkara lain yang bertentangan dengan ajarannya?" tambahnya.




Sekian sahaja Friday Wrap pada minggu ini. Semoga bermanfaat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal- amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan” 

(Surah Al-Hasyr 59:18) 

#Pray4MH370
#Pray4EG529



Post a Comment