FRIDAY WRAP (28/02/2014 - 06/03/2014)

0 comments
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

InsyaAllah, Friday Wrap kali ini membentangkan sedikit sebanyak berita-berita dunia semasa yang berlaku sepanjang minggu ni.


Rakyat Gaza Solat Jumaat Di Luar Pos Sempadan Rafah
Jumaat, 28/2/2014.

GAZA - Ratusan penyokong gerakan perlawanan Palestin Hamas melakukan solat Jumaat di luar gerbang penyeberangan Rafah yang menghubungkan Gaza ke Mesir .

" Terminal Rafa adalah satu - satunya pintu gerbang bagi rakyat Gaza , " kata ulama Sheikh Mohamed Saqr , demikian laporan worldbulletin.net .

" Gerbang sempadan ini harus dibuka agar tidak membuat rakyat Palestin menderita di bawah sekatan , " tambahnya .Syeikh Mohamed Saqr kemudian meminta pihak berkuasa Mesir untuk menamatkan penutupan Rafah yang ia digambarkan sebagai ketidakadilan dan penindasan rakyat terhadap Palestin .

Tokoh Hamas , Mohamed al - Raqeb , dalam ucapannya meminta kerajaan Mesir untuk membuka kembali sempadan Rafah di kedua arah . Ia juga bersumpah untuk meningkatkan apa yang disebut " perjuangan damai " untuk mengakhiri sekatan .

" Sekatan tidak adil telah mempengaruhi semua mata pencarian di wilayah Palestin , " katanya .

Pemerintah Mesir telah mengetatkan kawalan mereka atas sempadan dengan Jalur Gaza yang dikuasai Hamas , sejak penggulingan Julai lalu presiden terpilih Mohamed Mursi oleh tentera Mesir .Dalam beberapa minggu terakhir , Mesir telah berulang kali menutup sempadan Rafah.Terhitung sudah lapan tahun pengepungan Israel terhadap Gaza , sehingga hanya Rafah yang menjadi jendela bagi Gaza ke dunia luar .


9 maut akibat H1N1 di Syria
Sabtu, 1/3/2014

DAMSYIK, SYRIA- Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengedarkan vaksin H1N1 selepas sekurang-kurangnya 19 orang dilaporkan maut akibat dijangkiti virus itu di wilayah tengah Hama.

Menteri Kesihatan Syria, Saad al- Nayef berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 40 individu lain berada di bawah pemerhatian.“Semua petugas di hospital diarahkan mengambil vaksin H1N1 sejak peningkatan wabak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemindahan Penyakit Kronik Kanaz Sheikh berkata, 80 peratus daripada individu dijangkiti penyakit itu berusia antara 15 dan 50 dengan 60 peratus daripadanya adalah wanita.

“Kementerian Kesihatan menerima 100,000 vaksin dari Rusia. Keadaan ini amat membimbangkan kerana pesakit sukar dipindahkan ke hospital lain kerana kekurangan katil dan ubat-ubatan,” katanya.


Bina semula terowong Gaza
Isnin, 3/3/2014

GENTING GAZA, PALESTIN-  Sekumpulan penduduk Palestin dilaporkan berhempas pulas membina semula terowong rahsia yang menghubungkan wilayah Gaza dengan Mesir selepas ia dimusnahkan kerajaan sementara di Kaherah.

Ketua projek tersebut, Ashraf, 29, memberitahu bahawa mereka kini sedang berusaha untuk memperbaiki struktur laluan rahsia terbabit.

"Seramai 12 pekerja bergilir-gilir menjayakan projek pembinaan semula terowong di sempadan Gaza-Mesir tersebut.

"Mereka turut menggali dan membersihkan permukaan berlumpur yang menghalang laluan tersebut. Ia sememangnya berbahaya kerana terowong terbabit berkemungkinan boleh runtuh secara tiba-tiba," jelasnya pada DailyMail.

Menurutnya lagi, mereka juga sedang berusaha meluaskan terowong rahsia itu selain cuba menggali laluan alternatif untuk kemudahan penduduk Gaza pada masa hadapan.

Difahamkan, lebih 1,000 laluan rahsia yang digunakan oleh penduduk Palestin untuk membawa pelbagai bekalan termasuk bahan api dan makanan telah dimusnahkan pihak berkuasa Mesir sejak bekas Presiden Mohammed Mursi digulingkan, Julai lalu.

Tindakan itu dibuat kononnya sebagai langkah untuk menangkis serangan militan yang menyasarkan pihak berkuasa di Semenanjung Sinai.


Pilihan raya semula di lima wilayah
Isnin, 3/3/2014

BANGKOK, THAILAND- Pengundian semula yang dijalankan di lima wilayah yang terjejas akibat dihalang penunjuk perasaan, bulan lalu dilaporkan berjalan lancar selepas protes Bangkok Shutdown berakhir, kelmarin.

Pesuruhjaya Pilihan Raya, Somchai Srisutthiyakorn berkata, kira-kira 120,000 penduduk mendaftar untuk mengundi di 101 kawasan pilihan raya.

Menurutnya lagi, proses membuang undi di 13 wilayah lain yang dijadualkan pada bulan depan terpaksa ditangguhkan kerana masih menunggu keputusan mahkamah. 

Difahamkan, sebanyak 18 daripada 77 wilayah terjejas ketika pilihan raya, 2 Februari lalu.


Usaha hapus minoriti Islam
Selasa,4/3/2014

AFRIKA- Rancangan jahat menghapuskan orang Islam di Republik Afrika Tengah menyebabkan krisis kemanusiaan semakin meruncing sejak awal tahun lalu.

Kira-kira 1.4 juta penduduk minoriti Islam menjadi sasaran keganasan kumpulan militia Kristian yang menggelar diri mereka sebagai anti-Balaka.

Penasihat kanan Amnesty International, Joanne Mariner berkata, militia anti-Balaka melancarkan kempen pembersihan orang Islam secara besar-besaran di negara terbabit dan menyelar kumpulan pengaman antarabangsa kerana gagal menghalang perbuatan itu.

“Walaupun terdapat kira-kira 1,600 askar Perancis ditempatkan di negara bergolak itu bersama 6,000 anggota pasukan pengaman Kesatuan Afrika (Misca), mereka masih gagal menghentikan pertelagahan antara kedua-dua puak tersebut,” tegasnya.

Difahamkan, insiden keganasan etnik pada kali ini adalah paling buruk sejak bekas Presiden Michel Djotodia meletak jawatan pada 10 Januari lalu.

Selain itu, ada pihak mendakwa, faktor utama menyebabkan keganasan etnik itu kerana negara Barat dan sekutunya tidak senang dengan perkembangan Islam di negara tersebut.

Pengusiran secara paksa

Kumpulan hak asasi manusia (HRW) menyatakan, serangan ke atas penduduk Islam sememangnya sudah dapat dijangka.

Menurut laporan Amnesty, lebih 100 penduduk di barat dan utara negara itu menjadi saksi kekejaman ke atas orang Islam selepas kumpulan pelampau Kristian tersebut meneruskan rancangan menghapuskan dan mengusir orang Islam secara paksa dari negara itu.

Keganasan paling teruk direkodkan adalah di bandar utara Bossemptele, di mana sekurang-kurangnya 100 orang termasuk warga emas dan seorang imam lingkungan 70-an dibunuh, Januari lalu.

Selain itu, beberapa bandar lain seperti Bouali, Boyali dan Baoro turut menjadi sasaran serangan militia anti-Balaka sejak akhir tahun lalu.

Keganasan itu menyebabkan banyak pihak mula khuatir jika insiden pembunuhan beramai-ramai seperti di Rwanda hampir 20 tahun lalu kembali berulang.

80 peratus pelarian di dunia adalah orang Islam

Negara berkeluasan 623,000 kilometer persegi ini didiami kira-kira lima juta penduduk.

Sejak lima dekad lalu, Republik Afrika Tengah berada di bawah pemerintahan kuku besi selepas mendapat kemerdekaan dari Perancis pada 1960.

Ia turut disenaraikan sebagai negara termiskin di dunia walaupun kaya dengan emas, kayu balak, berlian dan uranium.

Penduduk Islam minoriti di negara itu hanya 15 peratus atau 750,000 orang namun, mereka mampu menguasai bidang ekonomi dan perdagangan.


Pejuang Al-Shabaab Rebut Kembali Sebuah Kota Di Somalia
Selasa, 4/3/2014

MOGADISHU- Kumpulan Al-Shabaab kembali mengambil alih atas sebuah bandar Somalia selatan, saksi mata mengatakan. Aksi ini berlaku beberapa jam selepas penarikan misi penjaga perdamaian Afrika dari bandar itu. 

Menurut saksi, para pejuang dari kumpulan Al-Shabaab menguasai bandar Ragi Ele pada Selasa pagi, setelah pasukan dari African Union Mission to Somalia (AMISOM) mundur "tiba-tiba" pada Isnin malam. 

AMISOM tidak memberikan penjelasan untuk pengeluaran mendadak dan tidak ada respon diberikan oleh kerajaan Somalia sejauh ini mengenai insiden tersebut. 

Al-Shabaab masih menguasai beberapa bandar di wilayah Central Shebelle, di tengah pengumuman oleh kerajaan bahawa operasi ketenteraan skala besar akan dilancarkan untuk menghadang Al-Shabaab di wilayah tengah


Rusia, Ukraine isytihar perang
Selasa, 4/3/2014

KIEV, UKRAINE- Kami serang! Kami tawan! Kami pacak bendera!”, begitulah permainan pantas Rusia yang cuba menakluki Crimea di selatan Ukraine. 

Campur tangan Rusia di Ukraine ketika negara itu terhimpit dalam krisis politik memburukkan lagi keadaan hingga negara jajahan Soviet itu terjerumus ke ambang perang.Perdana Menteri sementara Ukraine, Arseniy Yatsenyuk menuduh Rusia mengisytiharkan perang ke atas negaranya selepas tentera Rusia ‘menakluki’ wilayah autonomi Crimea, sejak empat hari lalu.

Pada kejadian itu, sekumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia lengkap berpakaian perang dilapor menawan Parlimen dengan menembak pintu kaca dan mengarahkan pengawal keselamatan meninggalkan premis itu sebelum mengibarkan bendera Rusia.

“Ini bukan satu ancaman, ini deklarasi perang. Kami menggesa Presiden Rusia Vladimir Putin menarik balik tentera mereka di sana. Kami memberi amaran, Ukraine kini di ambang kejatuhan jika Moscow tidak menarik tenteranya keluar,” kata Yatsenyuk.

Menteri Pertahanan sementara Ukraine, Igor Tenyukh memberitahu, Rusia menghantar 30 kenderaan perisai serta 6,000 tentera memasuki wilayah itu untuk membantu militan yang memihak kepada Rusia bagi mendapatkan kebebasan daripada pemimpin negara ini.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pula menggesa Rusia menghentikan aktiviti ketenteraan ke atas Ukraine selepas Putin mendapat kelulusan Parlimennya.

Putin membentangkan usul supaya Parlimen meluluskan penggunaan tentera di Ukraine susulan situasi luar biasa di negara itu yang mendatangkan ancaman kepada 46 juta rakyat senegaranya di wilayah Ukraine termasuk alasan untuk melindungi Armada Laut Hitam di Crimea.

Situasi itu menyebabkan Ukraine terpaksa memberi amaran kepada rakyatnya supaya bersiap sedia untuk berperang.  Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga menggesa Rusia menarik balik pasukan pertahanan mereka atau menghadapi pengasingan politik dan ekonomi termasuk digugurkan dalam keanggotaan Kumpulan Lapan (G8).

Putin, bagaimanapun menegaskan, negaranya akan melakukan apa saja untuk melindungi kepentingan mereka di Ukraine.“Kami menolak gesaan Barat untuk menarik balik rancangan penghantaran tentera. Siapa dia (Obama) untuk mencampuri urusan negara ini” katanya.


Perang jalan terakhir: Putin
Rabu,5/3/2014

MOSCOW - Ukraine dicemari dengan insiden rampasan kuasa bersenjata yang menentang Perlembagaan'. 

Menurut laporan Agensi, kenyataan pertama sejak krisis Crimea bermula itu dikeluarkan Presiden Rusia Vladimir Putin selepas beliau mengarahkan 150,000 askar yang menjalani latihan ketenteraan berhampiran sempadan Ukraine sejak 26 Februari lalu supaya kembali semula ke pangkalan masing-masing.

Tindakan tersebut turut mencetuskan persoalan banyak pihak sama ada Moscow mula akur dengan gesaan Barat supaya tidak meningkatkan lagi ketegangan di Ukraine.

Selain itu, Putin turut mengulangi pendirian bahawa Rusia masih mengiktiraf Viktor Yanukovych sebagai Presiden Ukraine yang sah.Menurutnya, Yanukovcyh telah memenuhi semua syarat yang terkandung di dalam perjanjian bersama pembangkang pada 21 Februari lalu, namun beliau menjadi mangsa permainan politik kotor di Kiev.

"Penduduk Ukraine mahukan perubahan, tetapi mereka tidak seharusnya menyokong tindakan kerajaan pimpinan Presiden sementara Oleksandr Turchynov yang secara terang melanggar undang-undang sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.

"Peperangan adalah jalan terakhir kerana kami hanya akan menggunakan tindakan ketenteraan untuk melindungi penduduk. Bagaimanapun, pintu rundingan masih terbuka," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, tentera Rusia yang menawan pangkalan udara Belbek di wilayah Crimea dilaporkan melepaskan beberapa das tembakan ke udara sebagai tanda amaran kepada kira-kira 300 askar Ukraine.Tindakan tersebut dibuat selepas ratusan anggota keselamatan tidak bersenjata itu cuba untuk merampas semula pangkalan tentera tersebut.

Media tempatan melaporkan tiada insiden pertempuran tercetus walaupun Moscow memberi kata dua kepada tentera laut di Crimea untuk menyerah kalah atau bakal berhadapan tindakan lebih buruk jika gagal berbuat demikian.Sementara itu, Rusia turut memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Barack Obama mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas mereka.

Pembantu ekonomi Kremlin, Sergei Glazyev berkata, Moscow akan mengurangkan kebergantungan ekonomi dengan Washington jika mereka mengambil tindakan melulu tersebut.

"Sebarang cubaan untuk mengenakan sekatan ke atas kami akan menyebabkan AS hilang kuasa serta-merta dalam sistem kewangan global," tegasnya.

Terdahulu, Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin memaklumkan bahawa Yanukovych ada meminta bantuan tentera Rusia untuk 'menceroboh' Ukraine kerana beliau percaya negara itu kini di ambang perang saudara.

Menurutnya, Yanukovych khuatir dengan keselamatan penduduk di tenggara Crimea yang semakin terancam dan terdedah dengan tindakan keganasan.

Susulan daripada ketegangan semakin memuncak, 28 wakil negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) telah mengadakan mesyuarat tergempar kedua di Brussels selepas Poland yang terletak di sempadan Rusia dan Ukraine mula berasa terancam dengan konflik tersebut.


Ribuan pelarian Sudan Selatan lari ke Darfur
Khamis, 6/6/2014

JUBA, SUDAN SELATAN-  Situasi terdesak dan kebuluran memaksa ribuan pelarian Sudan Selatan melarikan diri ke wilayah konflik di Darfur.

Penyelaras Kemanusiaan PBB Bersatu Tony Lanzer berkata, sejak perang saudara tercetus Disember lalu, kira-kira 900,000 ribu orang kehilangan tempat tinggal dan lebih 195,000 daripada mereka melarikan diri ke Uganda serta Ethiopia.

"Kami simpati melihat pelarian Sudan Selatan. Mereka hilang arah hinggakan nekad ke Darfur biar pun mengetahui negara itu sedang bergolak," katanya.

Menurutnya, ribuan pelarian itu juga terhimpit dengan masalah kekurangan perubatan.

"Kami jangka ramai maut dalam perjalanan ke Darfur kerana kebanyakan mereka kelaparan dan berpenyakit," katanya menurut laporan Al Jazeera.

Difahamkan, Sudan Selatan berpecah dengan Sudan dan menjadi negara bebas pada 2011 manakala, wilayah Darfur di barat Sudan pula kini dicengkam keganasan sejak 2003.


Tentera Rusia, Ukraine mulai bosan
Khamis, 6/3/2014

SEVASTOPOL, UKRAINE- Ketika ketegangan politik antara Ukraine dan Rusia memuncak, ratusan tentera dari kedua-dua negara itu yang kini berada di Pangkalan Tentera Belbek di Crimea dikatakan mulai kebosanan.

Selepas cubaan tentera Ukraine untuk menawan kembali pangkalan udara mereka yang ditawan Rusia pada Selasa lalu gagal, ratusan tentera negara itu dikatakan bersantai sambil bermain bola sepak berhampiran kubu Rusia, sementara menanti arahan selanjutnya.Perlawanan itu juga turut ditonton oleh tentera Rusia yang lengkap bersenjata dan berkawal.

Akhbar LA Times melaporkan, seorang askar Ukraine mempelawa tentera Rusia untuk bermain bola sepak namun tidak dihiraukan.“Mari kita mulakan perlawanan bola sepak antara Ukraine dan Rusia. Peperangan ini belum berakhir,” menurut laporan itu kepada AP.

Bagaimanapun, akhbar itu melaporkan, seorang pengawal Rusia mengarahkan askar terbabit untuk berundur dan tidak menghampiri kubu mereka.

Semalam, Ketua Angkatan Tentera Ukraine Kolonel Yuli Mamchor dilaporkan berbincang dengan Ketua Tentera Rusia selepas kerajaan sementara Ukraine menuduh pasukan tentera di Crimea cuba berpaling tadah.


Jepun Bangunkan Lapangan Terbang Yang Mesra Bagi Muslim
Khamis,6/3/2014

TOKYO - Meniru lapangan terbang Jepun lainnya , lapangan terbang Chubu di bandar Nagoya telah mengumumkan rancangan untuk menawarkan surau dan makanan halal bagi pelancong muslim . Rancangan ini diumumkan saat lapangan terbang membuka laluan baru ke Malaysia .

Lapangan terbang Chubu mengumumkan rancangan mereka untuk membuka surau di tingkat dua lapangan terbang pada tarikh 17 Mac , hari pertama pembukaan laluan baru ke Malaysia . Bilik 20 meter persegi akan mempunyai symbol panah yang menunjuk ke arah Makkah .

Sebuah kemudahan sama akan dibina di terminal pelepasan antarabangsa di tingkat tiga pada bulan April , kata para pegawai .

Narita , Kansai , Chitose dan lapangan terbang lain di Jepun sebelum ini juga telah menyediakan surau bagi penumpang muslim .Seiring dengan surau , beberapa restoran di bangunan terminal Lapangan Terbang Chubu akan menawarkan makanan halal dalam menu mereka untuk memuaskan selera Muslim .

Langkah - langkah itu diumumkan di tengah rancangan untuk menunjukkan keramahan Jepun disaat Tokyo bersiap untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2020 .

Selain itu , kerajaan Jepun juga memberikan kelonggaran untuk menerbitkan visa untuk pelawat dari Indonesia , Malaysia dan tiga negara Asia Tenggara lain pada bulan Julai lalu .

Sebanyak 28,000 orang melawat Jepun dari Indonesia dan Malaysia pada bulan Oktober , naik 40 % dari tahun sebelumnya


Hamas tiada tempat lagi di Mesir
Khamis, 6/3/2014

KAHERAH, MESIR - Mahkamah Kaherah mengeluarkan larangan ke atas semua aktiviti Hamas Palestin di Mesir selain melabelkan kumpulan berkenaan sebagai pertubuhan pengganas.

Keputusan berkenaan dibuat susulan kes dibentangkan oleh peguam Samir Sabry.

Peguam terbabit, meminta Hamas dilabel sebagai pengganas, selain menggantung sebarang urusan dengan kumpulan itu.

Samir berkata, berikutan keputusan mahkamah, semua anggota Hamas di Mesir kini hilang hak dari segi undang-undang untuk tinggal di negara berkenaan dan boleh ditahan.

Sementara itu, jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri mengutuk keputusan terbabit dengan menyatakan keputusan mahkamah itu sebagai tidak wajar kerana mereka tidak mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan Hamas dengan organisasi keganasan di negara itu.

“Hamas tidak pernah mempunyai aktiviti mahu pun pejabat rasmi di Mesir. Keputusan itu ternyata tidak berasas dan sengaja dilakukan bagi mengekang kemasukan rakyat Palestin ke Mesir,” katanya, dipetik dari laporan Al Ahram.

Hubungan Mesir dengan Hamas, mula goyah sejak pihak tentera menyingkirkan Presiden Mohammed Mursi, Julai tahun lalu.


Sekian sahaja Friday Wrap pada minggu ini. 

Terima kasih, Wallahualam.






Post a Comment