USTAZ, MU TUNGGU AKU DATANG:BILA HIDAYAH NAK DATANG?

0 comments

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, penulis masih diberikan kesempatan untuk mengukir nukilan dalam blog Azam Russia ini, blog yang cukup interaktif dan menarik serta padat dengan pengisian yang bukan biasa-biasa tetapi luar biasa. Selain entri-entri yang mampu menajamkan minda, sajian untuk hati juga banyak diselitkan bahkan merupakan antara prioriti blog ini. Maklumlah, kita semua hanyalah insan dan hamba, yang saiznya kecil cuma, yang sentiasa tercari-cari. Apa yang dicari? Tepuk dada tanyalah selera, soal iman. Lantaran itu adalah penting untuk hati ini dijaga kerana zatnya yang sangat sensitif dan lemah lantas memerlukan pengawasan dan perhatian yang lebih serius kerana apabila hati ini sudah gelap, susah nak bersihkan. Namun, tidak mustahil jika daya itu ada di samping dengan keizinanNya.

Bulan Januari di bumi Russia ini adalah bulan yang cukup menarik. Dimulakan dengan cuti yang panjang pada awal tahun baru, diikuti sesi kuliah selama beberapa ketika dan seterusnya disusuli dengan imtihan yakni peperiksaan sebelum cuti kembali bersambung yang lazimnya diisi dengan jaulah, boleh dikatakan agak banyak masa lapang yang mungkin terlalu lapang untuk diluangkan bagi penulis. Masa percuma yang Allah bagi ini sempat penulis luangkan untuk menonton filem mahupun ceritera yang bukan sahaja menjadi peneman dan penghibur malah menjadi 'pengajar'.

Untuk entri pada kali ini, penulis agak berminat untuk mengulas sebuah filem yang dihasilkan oleh industri perfileman negara kita sendiri. Mungkin ramai yang sudah menyaksikan dan menonton filem ini jadi tidak salah jika diri penulis ini dilabel sebagai agak 'outdated'. Namun, penulis percaya ada juga individu yang lagi outdated dari penulis. :P

Ustaz, mu tunggu aku datang.



Menyentuh sinopsis cerita komedi-Islamik ini, secara ringkas ianya berlatarkan dua orang sahabat karib, Dadu dan Muiz, yang dilakonkan oleh Shahrol dan Ajak Shiro Raja Lawak. Mereka boleh dianggap sebagai agak kekurangan ilmu di dalam hal yang berkaitan dengan agama. Kejahilan kedua-dua watak ini digambarkan menerusi dialog yang dituturkan dan bukannya dengan lakonan. Persoalan berkenaan sejauh mana kejahilan mereka hanya boleh diimaginasi berdasarkan kata-kata yang disampaikan. Kemunculan sepupu Dadu iaitu Hamzah membuatkan mereka berdua insaf dan ingin berubah. Nasihat yang diberikan Hamzah, yang dahulunya gemar berhibur sebelum mendapat tarbiyah, cukup memberikan impak kepada jiwa mereka. Mungkin sedikit pantas ritma cerita ini yang membawa mereka ke titik kesedaran untuk berubah tetapi pada saat inilah basis plot cerita ini bermula menerusi pengenalan watak Ustaz Azhar Idrus. Dadu dan Muiz berhasrat untuk hadir secara langsung ke ceramah Ustaz Azhar Idrus namun pengembaraan mereka tidak lekang dengan cabaran. Pelbagai ujian terpaksa mereka lalui seperti motor kehabisan minyak, bertemu penjenayah tanpa sedar dan sebagainya.

Penulis tidak mahu menyajikan sepenuhnya plot cerita ini kerana takut menjadi spoiler kepada pembaca yang masih belum menonton filem ini lagi.

Filem ini diarahkan oleh Pierre Andre, salah seorang pengarah yang cukup tersohor di negara Malaysia. Media-media tabloid pernah menerbitkan artikel tentang penghijraan Pierre Andre yang mahu memfokuskan karya perfilemannya kepada elemen Islamik. Alhamdulillah. Filem ini merupakan antara gerak usaha beliau dalam menyebarkan dakwah menerusi lakon layar.

Secara amnya, filem ini disampaikan menerusi komedi dan humor. Oleh sebab itulah pelakon-pelakon dari kumpulan Shiro direkrut untuk membintangi cerita ini kerana genre dan origin lakonan yang berkonsepkan lawak dan jenaka. Bak kata orang, kenalah pilih pelakon yang sesuai barulah penonton boleh gelak.

Dari lensa penulis

Mutu dan kualiti lakonan watak-watak di dalam filem ini boleh penulis sifatkan agak baik dan memuaskan. Penulis bukanlah pelajar bidang perfileman mahupun ahli akademi Oscar yakni pengkritik yang cukup arif dalam menilai kualiti, sinematografi, lakon layar, mahupun scoring sesebuah filem. Lantaran itu, penulis tidak mahu menumpukan kepada aspek-aspek teknikal filem ini kerana ada pihak yang lebih mahir dalam memberikan kritikan. Namun begitu, sebagai penonton biasa, apa yang boleh penulis rumuskan adalah masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dari segi mutu penghasilan filem dan penjiwaan watak supaya lebih tertusuk hati-hati yang dahagakan tarbiyah. Penyampaian humor dan jenaka agak menjadi dan berjaya untuk mencuit hati penulis namun tidak lekang juga babak-babak yang menimbulkan rasa janggal kerana pembawaan yang agak trying too hard dan kurang berkesan terutamanya yang melibatkan emosi melankolik dan sentimental. Mungkin boleh dimaafkan. Dan babak semasa nama Nora Danish disebut untuk mengalihkan perhatian agak merimaskan.
Trivia: tidak ada pelakon perempuan di dalam filem ini . Saya yakin, para pembaca faham apa yang penulis cuba sampaikan.

Ibrah
Terdapat pelbagai ibrah yang boleh diambil daripada cerita terbitan MIG Pictures ini.

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)." (Surah Al-Baqarah : ayat 214)
Dadu dan Muizz menghadapi pelbagai kesukaran di dalam perjalanan mereka. Cabaran ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji sejauh mana tulus dan ikhlasnya hati mereka disandarkan pada Allah. Bukan calang-calang ujian yang mereka dapat. Tetapi, jika niat itu adalah keranaNya dan baik, dan di dalam cerita ini untuk mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus (siapa tak kenal kan), insya Allah akan turun pertolongan yang tidak dijangka sama sekali. Sedangkan orang yang baru nak berubah pun ditimpa dengan ujian berat, apatah lagi mereka yang sudah sedar tentang peranan mereka. Kuncinya adalah sabar dan tawakkal.

“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan cara hikmah dan nasihat yang baik..” (Surah An-Nahl : 125)

Mesej dakwah juga merupakan antara tema yang menjadi latar kepada perjalanan filem ini. Seawal 5 minit pertama cerita ini lagi penonton sudah disajikan dengan tarbiyah yang disampaikan oleh jemaah tabligh. Di samping itu, tazkirah yang disampaikan oleh Dadu dan Muizz semasa berada di dalam lokap juga wajar dipuji memandangkan mereka baru sahaja mendapat religious awakening. Kita mungkin tidak tahu apa resepsi mahupun penerimaan masyarakat tetapi sekurang-kurangya kita menyampaikan dan berkongsi dengan mereka yang tidak tahu.

"Hidayah perlu dicari bukan ditunggu. Macam makanan, kalau tak suap ia tak masuk sendiri ke dalam mulut.." - Ustaz Azhar Idrus.
Nota: Statement diatas dipetik dari ceramah UAI, bukan dialog yang dituturkan oleh UAI dalam cerita ini.

Benar, hidayah perlu dicari. Hidayah itu milik Allah dan Allah berhak untuk memberikannnya kepada sesiapa yang dikehendaki tetapi tidak bermaksud kita hanya perlu duduk menonton TV dan menunggu ianya sampai kepada kita secara magikal tanpa perlu berusaha. Dadu dan Muizz cukup bertuah kerana dipertemukan dengan individu-individu yang menyampaikan kebenaran kepada mereka tanpa mereka sedari. Namun, hati mereka terus-menerus membutuhkan lebih pencerahan dan pengisian seterusnya membawa mereka ke dalam misi untuk mendengar kuliah UAI.

Penulis yakin, ada banyak lagi ibrah yang boleh diekstrak menerusi kanta perspektif masing-masing. Sememangnya filem ini agak kaya dengan pengajaran meskipun banyak ruang yang boleh ditambah baik. Penulis sedikit kecewa dengan ciri-ciri Islamik stereotype yang disampaikan. Apabila berbicara tentang Islam dan tarbiyah, seringkali penampilan berserban dan berjubah muncul di minda bagi mereka yang belum mengenal Islam sepenuhnya. Islam itu sebenarnya adalah lebih luas daripada unsur-unsur stereotype yang kita sedia maklum. Diharapkan Pierre Andre ataupun pengarah-pengarah lain di luar sana yang mempunyai visi dan misi dalam menyampaikan dakwah mampu mempolopori konteks Islamik dengan lebih luas dan bukannya hanya bergantung kepada yang tipikal dan klise sahaja. Sekurang-kurangnya stigma ini boleh diubah. Selain itu, industri seni negara kita masih bermain di paras selamat seperti yang dilakukan di dalam filem ini. Penulis masih menanti filem-filem Islamik mega yang mampu mencetus gagasan pemikiran seperti yang banyak dihasilkan di negara Indonesia.

Penulis merekomen para pembaca untuk menonton filem ini andai berkesempatan. Mungkin anda mempunyai idea yang berbeza berbanding dengan ulasan ini namun bukankah itu perkara baik kerana sekurang-kurangnya kita mampu menggunakan minda mencernakan sesuatu berlunaskan pemahaman individu? Wallahualam...

Akhir kata, memetik salah satu dialog di dalam filem ini, bolehkah kita jamin esok masih ada?
p/s: Kemunculan UAI adalah cukup singkat dan bukan yang seperti penulis jangkakan.


Post a Comment