FRIDAY WRAP ( 03/1/2014 - 10/1/2014 )

0 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu lagi kita dalam Friday Wrap Azam Russia. 

Minggu ini Azam Russia membawakan berita-berita terkini Dunia Islam dan isu-isu global. 



Aset 572 Pemimpin Ikhwanul Muslimin dirampas
2 Januari 2014


KAHERAH - MESIR. Aset milik lebih 500 pemimpin Ikhwanul Muslimin (IM) dirampas di bawah tindakan kekerasan terbaru yang dikenakan ke atas anggota gerakan itu, menurut Kementerian Keadilan, kelmarin.

Menurut laporan Al-Arabiya, jurucakap kementerian tersebut, Abdel Azzem el-Ashri memaklumkan jawatankuasa inventori telah mengarahkan rampasan harta alih dan harta tak alih milik 572 pemimpin IM.

Difahamkan, tindakan susulan itu diambil selepas kerajaan sementara mengisytiharkan gerakan IM sebagai pengganas pada minggu lalu.

IM menafikan bahawa mereka terlibat dalam siri serangan menyasarkan anggota keselamatan di negara terbabit selepas penyokong anti-IM membuat tuduhan melulu itu ke atas mereka.


Ariel Sharon Makin Tenat
3 Januari 2014

TEL AVIV: Kesihatan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, yang koma semakin teruk semalam, dengan organ pentingnya gagal berfungsi, kata hospital yang merawat beliau kelmarin. 

Sharon, 85, koma sejak 2006 apabila diserang angin ahmar yang menyebabkan beliau tidak berupaya ketika berada di ke-muncak kuasa politiknya. 

“Sejak beberapa hari lalu, ka-mi menyaksikan penurunan fungsi organ penting Sharon, yang penting untuk beliau selamat. Keadaannya dalam keadaan kritikal,” kata pengarah hospital Tel Hashomer, Zeev Rotstein. – AGENSI


Ada Campur Tangan Asing
3 Januari 2014

ANKARA - TURKI. Konflik politik di Turki dipercayai mempunyai agenda tersendiri dan campur tangan asing.

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan menyeru 76 juta rakyat negara itu supaya mempertahankan diri dan maruah negara dengan menolak sebarang anasir luar.

“Sejarah tidak mengampuni pengkhianat atau perancang dalam permainan kotor ini. Ingat, serangan ini dilakukan tanpa pengecualian, oleh itu anda diingatkan supaya sentiasa bersedia,” katanya.

Menurutnya, individu yang merancang menjatuhkan Turki sememangnya iri hati terhadap kejayaan ekonomi, dasar luar dan keupayaan melaksanakan projek global berskala besar.

“Saya juga tidak teragak-agak mengusir diplomat asing yang terlibat dalam agenda provokatif untuk menumbangkan kerajaan ini kerana Turki tidak memerlukan individu sedemikian. Saya mengingatkan kepada diplomat asing supaya menumpukan perhatian kepada bidang tugasan masing-masing dan jangan mencampuri urusan dalam negara kami,” katanya kepada Press TV. 


Pilihan Raya Paling Ganas
7 Januari 2014

DHAKA: Parti pemerintah Bangladesh semalam menang dalam pilihan raya antara paling ganas dalam sejarah negara itu, yang dicemari pertempuran jalanan, kadar keluar mengundi rendah dan pemulauan oleh pembangkang yang menjadikan keputusan satu rumusan yang diketepikan.

Walaupun kemenangan Liga Awami sudah dijangka, kekecohan ketika pilihan raya kelmarin meletakkan Bangladesh ke dalam kancah kekacauan dan kelembapan ekonomi, dan membawa kepada lebih banyak keganasan di negara miskin seramai 160 juta penduduk itu. 


Erdogan Sokong Bicara Semula
7 Januari 2014

ANKARA: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, berkata beliau menyokong perbicaraan semula beratus-ratus pegawai tentera yang disabitkan merancang untuk menjatuhkan kerajaan. 

Kenyataan dibuat selepas penasihat kanannya menegaskan pegawai berkenaan diperangkap polis dan badan perundangan. 

Beratus-ratus orang dipenjarakan pada 2012 dan 2013 dalam dua kes berprofil tinggi, yang digelar Sledgehammer dan Ergenekon. Wartawan berkata, kenyataan itu menunjukkan perubahan hala politik. 

“Kami menyokong perbicaraan semula itu. Pertama, kita mesti mewujudkan asas perundangan untuk perbicaraan baru ini,” katanya kepada wartawan kelmarin. 


Desak Raja Turun Takhta
7 Januari 2014

BARCELONA: Hampir dua pertiga daripada rakyat Sepanyol mahukan Raja Juan Carlos yang dikaitkan dengan skandal turun takhta, kata satu kajian pendapat terbaru yang disiarkan. 

Kajian dijalankan Sigma Dos dan disiarkan akhbar Sepanyol, El Mundo kelmarin menunjukkan sebanyak 62 peratus responden suka jika Carlos turun dari takhta. 


Morsi ditegah Jumpa Peguam
8 Januari 2014

KAHERAH: Pasukan peguam Presiden Mohamed Morsi tidak dibenarkan menemui pemimpin itu di penjara di Iskandariah, dua hari sebelum beliau dijangka hadir di mahkamah. 

Kementerian Dalam Negeri Mesir dalam satu kenyataan kelmarin berkata Morsi tidak dibenarkan menerima pelawat selama sebulan, bermula 2 Januari lalu. 

Keluarga Morsi mengecam tindakan dan mendakwa ia mencabul hak asasi manusia, kata sumber. 
Morsi dijangka hadir di mahkamah hari ini kerana didakwa terbabit dengan kematian penunjuk perasaan pada Disember 2012. Beliau juga didakwa mengintip dan dituduh merancang melarikan diri dari penjara. 


Terkena serpihan peluru sesat
8 Januari 2014



MESIR: SEORANG penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir, cedera apabila pipi kanannya terkena serpihan besi dipercayai daripada peluru sesat yang dilepaskan secara rambang oleh pihak tentera, petang tadi.

Dalam kejadian sekitar 3 petang itu (waktu Malaysia), Zahid Naser, 27, penuntut kuliah Usuluddin universiti itu terkena peluru sesat ketika menghantar isterinya untuk menghadiri peperiksaan.

Jurucakap Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang dihubungi berkata, mangsa dikatakan menggunakan jalan berhampiran kumpulan penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi yang mengadakan demonstrasi aman berikutan Mursi dijadualkan dibicarakan di mahkamah pada hari sama.

Bagaimanapun, perhimpunan itu bertukar ganas apabila sekumpulan anggota tentera lengkap bersenjata api melepaskan tembakan rambang ke arah orang awam yang menyertai demonstrasi itu. Zahid cedera di muka dipercayai akibat terkena serpihan peluru sesat.




Syria Mula Pindah Senjata Kimia
8 Januari 2014


BEIRUT-Syria mula memindah keluar bahan-bahan senjata kimia dari negara itu, dalam fasa penting di bawah program pelucutan senjata yang disokong kuasa besar dunia yang tertangguh akibat perang saudara dan masalah teknikal sebelum ini.

Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) berkata, 'bahan-bahan kimia utama' itu dibawa ke pelabuhan Latakia dan sebuah kapal Denmark yang kini menuju ke perairan antarabangsa akan membawa keluar bahan-bahan kimia itu.

''Kapal itu diiringi sebuah kapal tentera laut yang disediakan oleh Denmark dan Norway serta Syria. Kapal itu akan terus berada di laut sementara menunggu ketibaan bahan-bahan kimia utama tambahan di pelabuhan,'' katanya pertubuhan itu dalam satu kenyataan, semalam.

Keselamatan maritim pula disediakan oleh kapal-kapal dari China, Denmark, Norway dan Rusia.
Syria bersetuju melupuskan senjata kimianya menjelang Jun ini di bawah satu perjanjian yang ditaja Rusia dan dipersetujui bersama Amerika Syarikat (AS) selepas serangan gas sarin pada 21 Ogos di negara itu.


Peguam Ikhwanul Muslimin kemuka aduan kepada ICC
8 Januari 2014

LONDON- Peguam pergerakan Ikhwanul Muslimin mengemukakan aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, semalam meminta badan dunia itu menyiasat dakwaan tentera Mesir melakukan jenayah kemanusiaan.

Peguam-peguam daripada sayap politik pergerakan itu, Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) berkata, mereka berharap dapat berjumpa dengan pendakwa raya ICC dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi membincangkan tentang pembukaan kertas siasatan awal berhubung dakwaan itu.

Peguam-peguam itu memberitahu sidang media, mereka telah menyerahkan satu deklarasi bagi pihak bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi bagi menerima keputusan ICC di Mesir, walaupun ia tidak ditandatangani dan beliau tidak lagi berkuasa.

Mereka juga telah mengemukakan aduan yang memperincikan bukti-bukti berlaku jenayah sejak Mursi dan pergerakan itu disingkirkan tentera pada 3 Julai lalu.



Siri pengeboman baru di Syria8 Januari 2014 



DOUMA : Beberapa nyawa, kebanyakannya kanak-kanak berjaya diselamatkan dari runtuhan bangunan. Ia berlaku semalam selepas satu siri pengeboman oleh rejim laknat Assad di wilayah tersebut.


COMANGO pertubuhan haram
9 Januari 2014 

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO) adalah pertubuhan haram.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohamad Khalid Shariff, berkata semakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mendapati COMANGO tidak berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). 

Setiap pertubuhan yang hendak menjalankan aktiviti secara sah di negara ini hendaklah berdaftar dengan ROS di bawah Akta Pertubuhan 1966 seperti yang ditetapkan mengikut Seksyen 7. 

Mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan Seksyen 7 boleh diambil tindakan sebagai pertubuhan tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 41 (1)(b), katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Rusia berjaga-jaga selepas temui 5 mayat dan alat letupan
9 Januari 2014

MOSCOW. - Rusia meletakkan pasukan keselamatan negara dalam keadaan berjaga-jaga, selepas penemuan lima mayat yang dipenuhi kesan tembakan dan peralatan letupan, di wilayah Stavropol, semalam.

Menurut jurucakap Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB), semua mayat tersebut ditemukan secara berasingan dalam empat kereta di dua daerah di pinggir Stavropol.

Stavropol merupakan laluan masuk ke wilayah Caucasus Utara yang menjadi lubuk keganasan.

Rusia mula mengambil langkah mengetatkan kawalan keselamatan negara sejak tahun lalu menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk yang akan berlangsung pada bulan depan di Sochi. 


Rakyat Mesir haram undi
9 Januari 2014



DUBAI: Ulama terkenal dunia Dr Yusuf el-Qaradawi semalam mengeluarkan fatwa mengatakan haram untuk rakyat Mesir mengundi dalam pungutan suara mengenai perlembagaan negara itu kerana ia hanya akan mengesahkan kepemimpinan baru di situ.

Fatwa berkenaan dikeluarkan sehari sebelum rakyat Mesir di luar negara mengundi untuk menyokong atau menolak draf perlembagaan berkenaan. Pengundian di Mesir dijadualkan pada 14 Januari ini.

Menurut Yusuf undian yang diberikan kepada pungutan suara berkenaan adalah sokongan kepada ketidakadilan serta penindasan yang dilakukan rejim disokong tentera Mesir. 

“Saya melihat penyertaan dalam pungutan suara atau pembabitan dalam apa cara sekalipun untuk mengukuhkan kuasa kerajaan Mesir sekarang adalah haram dari segi agama,” katanya. Mesir kini ditadbir kerajaan sementara disokong tentera selepas presiden yang sah, Mohamed Mursi Isa al-Ayyat disingkirkan secara paksa pada tahun lalu.



*Bersama-sama kita mendoakan saudara kita di Palestin, Syria, Mesir dan di seluruh dunia. Bantulah saudara semampu kita. Semoga Allah membalas usaha kita dan member ganjaran syurgNya kelak. Berdoalah, dan bertawakkallah kita kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah akan membantu hamba-hamba yang cintakanNya dan mengharap redhaNya semata-mata.


Wallahualam.


“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan memberikan baginya jalan ke luar (bagi semua urusannya). Dan memberinya rezki dari arah yang tidada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (segala keperluan)nya” 
 (ath-Thalaaq : 2-3)

Tawakkal manifestasi tahap kebergantungan makhluk kepada Sang Pencipta


Post a Comment