Zikrullah Gaya Moden,Zikir Terapi Diri.

0 comments

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Assalamualaikum wrt.

Kadang-kadang, manusia terlupa mengingat Allah dalam kesibukan mengejar kehidupan dunia. Dunia mengejar kita dan kita mengejar dunia, sedangkan apa yang patut kita kejarkan seharusnya bukanlah kehidupan di dunia tetapi nun di akhirat sana. Dalam putaran masa yang beredar laju, manusia memang mudah untuk digoda oleh pujuk rayu dunia. Maka oleh sebab itulah kita sebagai manusia perlu sentiasa membasahi hati kita mengingat Allah, supaya saban hari yang dilalui itu sentiasa bermakna dan mampu mengejutkan kita dari kelekaan dan kelalaian dunia.

Dan antara ribuan godaan dunia, kelekaan yang seringkali kita terlepas pandang dalam dunia hari ini adalah dari cabang hiburan. Memang sudah lumrah manusia untuk menyukai dan meminati seni dan hiburan, namun andai hiburan yang didengari itu tidak membuahkan amal dan mampu melalaikan kita, lama-lama kita akan terus dibuai kealpaan dan akhirnya tergelincir hanyut ditelan keindahan penipuan dunia.

“Ketahuilah oleh kalian, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megahan di antara kalian serta berbangga-banggaan dengan banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang karenanya tumbuh tanam-tanaman yang membuat kagum para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning lantas menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” - (al-Hadid: ayat 20)

Oleh itu, sebagai seorang muslim yang sedar akan hakikat ini, kita perlulah bertindak bijak dalam memilih jenis hiburan yang ingin kita dengari. Sebagai salah satu cara untuk berhibur secara bermanfaat, dalam ruangan ini ingin penulis sarankan kepada pembaca untuk sama-sama mendengar album Zikir Terapi Diri dari Hafiz Hamidun sebagai salah satu cara untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Tuhan dari segi hiburan..


Mungkin penulis agak sedikit terlewat dalam memberi review terhadap hasil karya bekas ahli kumpulan nasyid UNIC ini memandangkan beliau baru sahaja mengeluarkan album terbaru beliau dengan tema yang sama pada lewat bulan lalu, namun dek kerana keindahan nukilan karya dalam album beliau ini, penulis gagahkan jua tinta penulis untuk menukil sepatah dua kata terhadap album beliau yang penulis rasakan sangat hebat dan sangat menyentuh kalbu ini. Tambahan pula, hasil karya Hafiz Hamidun ini tidak patut dilabel dengan istilah lewat atau awal, kerana penulis percaya, andai sesebuah hasil karya itu hebat dan bermutu, ianya akan sentiasa evergreen dan tak lapuk ditelan zaman.

Jujurnya, antara sebab mengapa penulis sangat menyukai album ini adalah kerana penulis sangat gembira dengan cetusan hasil karya Hafiz Hamidun dalam usaha melazimi hati masyarakat dengan lafaz dan bait-bait zikir mengingati Allah secara santai dan bersahaja secara moden. Sudah tiba masanya untuk pendakwah muzik untuk tampil dengan muzik moden dengan unsur rohani sebegini, yang mampu menarik minat masyarakat terhadap mengimani Tuhan dan mengajarkan kepada Islam yang sebenar.

Teringat pertama kali penulis mendengar snippet awal daripada album ini pada suatu ketika dulu di laman sesawang Youtube. Pada waktu itu, sebagai salah satu langkah promosi bagi album ini, beliau telah memuatnaik sebuah single terpilih yang berjudul Lailaha Illallah. Lantunan vokalnya yang menusuk kalbu, diiringi sulaman muzik yang syahdu telah berjaya menambat hati penulis untuk memiliki dan mendengar keseluruhan hasil karya dalam album beliau ini.

http://www.youtube.com/watch?v=4PiTfPMv6qQ
Lailaha Illallah - Hafiz Hamidun

Ternyata, setelah mendengar keseluruhan hasil karya yang dimuatkan dalam album ini, tiada kata yang mampu menggambarkan betapa penulis merasakan untuk memiliki album ini memang sangat berbaloi. Setiap zikrullah versi moden yang dimuatkan dalam album ini ternyata sangat mengesankan dan menusuk jiwa. Sungguh, bagi mereka penggemar muzik yang sedang mencari alternatif lain untuk lari sebentar dari kelalaian muzik dunia yang lebih bersifat keduniaan, inilah album yang anda cari selama ini.

Dengan susunan muzik latar yang sangat membantu dalam mencetuskan suasana tenang dalam jiwa setiap pendengar, disulami alunan bait-bait zikir mengingati Allah yang syahdu dan menusuk kalbu,, album ini memang sesuai untuk didengar di mana sahaja. Ianya boleh dijadikan halwa telinga sewaktu dalam perjalanan ke kelas menggunakan metro, sewaktu sesi mengulangkaji pelajaran, sewaktu menanti lecturer di bilik kuliah, bahkan sangat sesuai ketika merawat hati kita yang sedang bergolak dan berkecamuk. Yang penting, mesej yang cuba disampaikan ialah sentiasa mengingati Allah, dan album ini mampu membuat kita lebih menghayati keagungan kuasa Sang Pencipta menerusi muzik. In shaa Allah.

Oleh itu, marilah sama-sama kita ubah gaya hidup kita dengan memperbanyakkan alunan muzik sebegini, dan untuk permulaannya bolehlah kita sama-sama memiliki album Zikir Terapi Diri ini sebagai satu alternatif baru dalam seleksi lagu yang bertimbun dalam pod muzik kita. In Shaa Allah, mudah-mudahan apa yang kita dengari itu bukan sahaja mampu mendekatkan diri kita dengan Allah, malah mampu meningkatkan iman kita seraya menghindarkan diri dari melakukan perlakuan mungkar.

Akhir kata dari penulis, bagi mereka yang ingin mendengar beberapa dendangan zikrullah moden dari Hafiz, di sini penulis sertakan beberapa video dari laman sesawang Youtube untuk didengari sebagai pembuka minda dan penyejuk hati.

http://www.youtube.com/watch?v=9NcS_2Io9t4
Astaghfirullah - Hafiz Hamidun


http://www.youtube.com/watch?v=HeEgEvWXXAg
Subhanallah - Hafiz Hamidun

http://www.youtube.com/watch?v=lhXcjomFdB0
Ya Latif - Hafiz Hamidun


Wallahua’lam.

Post a Comment