Tanya sama pokok, apa sebab goyang?
Nanti jawab pokok, angin yang goncang…
Tanya sama hati, kenapa bersedih diri?
Nanti jawab hati, kerja tak siap lagi…
Mari kita pinjamkan sedetik dua dari masa kita untuk berfikir. Berfikir, berapa banyak kerja kita yang masih tertangguh… Satu? Dua? Tiga? Atau menggunung banyaknya?
Bertangguh kerja?
Bertangguh maksudnya SENGAJA melambatkan atau berlengah-lengah dalam menyelesaikan sesuatu urusan dengan menggunakan alasan yang tidak penting. Sekiranya sesuatu kerja itu terpaksa diketepikan atas urusan yang lebih tinggi prioritinya, maka itu bukanlah suatu yang kita panggil bertangguh kerja.
Jadi kitakah orang yang bertangguh kerja itu? Tepuk dada tanya diri.
Tapi adakah kita sekadar ingin bertanya diri tanpa melakukan sesuatu? Jadi mari kita lakukan sesuatu untuk ubah sisi diri kita yang suka bertangguh ini.
5 langkah mudah bagi mengelakkan kerja bertangguh
a) Mari kita buat senarai.
Pasti semua sudah biasa mendengar perkataan “To-Do-List”. Oh, ini bukan senarai kerja untuk suri rumah sahaja. Malah kita sebagai seorang pelajar patut ada senarai perkara yang perlu dilakukan. Kita boleh menyenaraikan perkara yang perlu kita lakukan dalam sekeping kertas comel dan tampal di tempat yang mudah kita lihat. Jika punyai telefon pintar, itu lebih mudah.
Lambakan aplikasi di telefon pintar boleh kita muat turun dan jadikan aplikasi itu sebagai peringatan.
b) Bahagikan kerja dalam kategori mudah
Contohnya : Penting dan harus siap segera (assignment atau kerja rumah yang perlu siap segera)
Penting tapi boleh ditangguhkan ( up date blog peribadi)
Kurang penting tapi perlu lakukan sekarang ( Membasuh baju)
Kurang penting dan boleh ditangguhkan ( membeli belah)
c) Selesaikan kerja terdahulu
First thing first. Laksanakan kerja mengikut kategori yang kita rangkakan dan ikut keutamaan kerja tersebut. Dalam setiap kategori, lebih mudah jika kita selesaikan kerja yang mudah terlebih dahulu dan teruskan dengan kerja yang panjang. Apabila kita selesai dalam melaksanakan kerja yang mudah, kita boleh dapat momentum dalam menyempurnakan sesuatu kerja seterusnya. Dalam perihal kerja yang panjang pula, kita boleh pecahkan kerja tersebut kepada beberapa bahagian. Kita ambil analogi dalam proses makan daging ayam turki yang besar. Sebelum makan kita pasti akan potong daging tersebut kepada beberapa bahagian kecil. Sama juga dalam melaksanakan suatu kerja yang besar atau panjang.
d) Deadline
Dalam setiap tugasan, kita perlu peka tentang tarikh akhirnya. Maka seharusnya kita selesaikan sesuatu sebelum deadlinenya tiba. Disiplin yang tinggi amat penting dalam aspek ini. Insyallah jika ada keazaman, kita tidak akan terlepas deadline yang ditetapkan.
e) Mindset
Sila ubah mindset atau cara fikir kita sebelum melakukan sesuatu kerja. Buang dan campak jauh-jauh semua anasir keraguan di dalam diri kita. Kita harus yakin kepada diri kita bahawa kita mampu menyelesaikan setiap tugasan tepat pada waktunya. Seseorang itu tidak akan memberi sesuatu tugasan jika dia tahu kita tidak mampu melaksanakannya. Just Do It!
Jadi.. apa tunggu lagi?? 5 tips mudah dah tersedia ada. Bak kata pepatah cina “Perjalanan jauh bermula dengan langkah pertama”. Kalau kita tidak berani dalam ambil langkah pertama, tiada kerja yang mampu kita selesaikan. Andai tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah keadaan suatu kaum,sehinggalah mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”
(Surah Ar-Ra’du 13:11)
Selamat mengelakkan kerja bertangguh. Tenangkan hati, senyum, ceria dan mulakan!
Wallahua'lam
Post a Comment