Aku yang dulu bukanlah yang sekarang.

0 comments
“Allah takkan mengubah nasib seseorang sehingga dia mengubah nasibnya sendiri.”


"Alia Natasya binti Hassan!!!!!!!!"

Sentap. Semua mata menoleh. Ada juga yang berbisik sesama sendiri.

"Eh, nama kau kena panggil la. Tak solat ke Subuh tadi?"
"Cutila."

Aku berkeras. Bukan salah aku sehingga aku perlu naik ke atas pentas dan membenarkan tuduhan cikgu bahawa aku tidak solat subuh pagi tadi. 

Ya. Hari ni mungkin kebetulan kau benar tapi hari-hari lain solat kau boleh dihitung dengan jari.

Salah mamakah??? Salah ayahkah??? Iman bukan harta pusaka yang boleh diwariskan dari satu generasi ke satu generasi. Mereka sudah lepas tanggungjawab mereka. Rotan, tali pinggang sudah berapa kali hinggap di badan ini. Malah tamparan keras di pipi juga sudah. Tapi itu dulu. Sewaktu bersekolah di rumah dan kini, mereka tidak akan dapat mengawalku lagi di asrama. Aku bebas.

Aku benci kata-kata keras yang menyuruh atau menasihati. Kalau aku turutkan itu bermakna aku melakukan dalam keadaan penuh benci dan terpaksa. 

"Alia, hari ni ada latihan kelab kuda. Kau join tak?"
"Yeahhhh. Pasti!"

Latihan kelab kuda. Waktu antara yang dinanti oleh aku hampir saban minggu. Tempat terbaik untuk bersosial. Tiada etika pemakaian yang ditetapkan. Diwajibkan memakai seluar jeans sewaktu menunggang. Sudah semestinya seluar jeans yang paling ketat aku pilih. Baju labuh, longgar,seluar gobos semuanya kolot. Ketinggalan zaman. 

"Jika awak nak melihat Islam dengan kaca mata berbeza, pilihlah untuk belajar di luar negara." pesan Ustaz Lutfi sewaktu kelas tahsinul al-quran.

Entah mengapa. Kata-kata itu terus terngiang-ngiang di telinga. Ya, aku harus belajar di luar negara. Aku ingin melihat Islam dari kaca mata yang berbeza. Aku benci melihat Islam yang semakin pelik di negara ini. Aku jadi keliru Islam yang sebenar, Islam yang bagaimanakah? Adakah cukup dengan solat semata-mata? Atau cukup dengan pakai tudung labuh, baju longgar, berstokin dan bersarung tangan?

“Jahat mana seorang insan, dalam hatinya pasti masih ada terselit satu titik cahaya kebaikan.”

"Hidup ini bukan sia-sia. Allah pilih kita untuk hidup, untuk jadi insan yang berguna buat orang lain, untuk jadi hambaNya yang taat."

Tanpa henti mata Alia menatap wajah Ustazah Hafizah. Sejuk, indah. Apakah yang membuatkan ustazah ini begitu tenang untuk ditatap? Mengapakah hati ini bagai berkobar-kobar mendengar bicara halus ustazah ini? Mengapakah tudung labuhnya dan baju kurung longgarnya begitu menambat hati? Apakah otak ini sudah longgar skru di mana-mana? Bukankah kau tak suka dengan ini semua dahulu?




Termenung memandang sarung tangan di dalam laci loker. Patutkah aku memakainya hari ini? Ragu.

"Wei, Alia. Kau mimpi apa hari ni dengan sarung tangan segala bagai?"

Hahahahhahaha... Bergegar dewan makan dengan gelak ketawa rakan-rakan Alia. 

Mati kutu. Apakah jawapan yang terbaik?

"Ohhh. Hari ni, aku rasa sejuk sangat. Tak tahu kenapa. Tu pasal yang pasal pakai sarung tangan ni."

"Laaaa.. Ingatkan semalam mimpi nak jadi ustazah. Hahahahhaa."

Aku benci rasa ini. Seperti dipulaukan. Tapi sarung tangan ni sangat selesa bagiku. Rasa seperti dilindungi. Tapi hati ini tidak kuat untuk menahan perlian setiap hari.

Ada yang memandang penuh sinis padaku. Tak kurang juga yang menuduhku hipokrit. Aku benar-benar ragu adakah ini jalan yang sebenar-benarnya?

“Hidayah takkan selalu datang singgah mengetuk hati. Bimbang-bimbang hidayah seterusnya datang mengetuk saat ajal yang menanti.”

Allah tahu aku tidak kuat untuk bersendiri menghadapi ujian di jalan ini. Maka Allah hantarkan insan-insan yang ikhlas hatinya, menarik tanganku bangkit. Merekalah sebenar-benar insan yang patut digelar sahabat. Yang menyapu dan merawat luka saatku terjatuh, yang mengelap lembut air mata yang turun di pipi, yang turut seronok sama di atas kejayaanku. Mereka tak ubah seperti Abu Bakar kepada Nabi Muhammad. 

Ya, jalan ini mungkin penuh liku. Tapi Allah tak pernah tinggalkan kita sendiri untuk melalui ini semua. Allah pasti akan menghantar kekuatan atau insan untuk menemani kita di jalan yang penuh liku ini. Syukran Ya Allah ;')

"Ustazah,ustazah nak ke mana?"
"Assalamualaikum ustazah."
"Labuhnya tudung ustazah hari ini."

Kata perlian yang sama setiap hari. Aku tak kisah. Malah aku bahagia. Hampir setiap insan yang menemui aku datang memberiku salam. Ikhlas atau perlian semata itu urusannya dengan Tuhan. Ada waktu aku benci dengan label ustazah yang diberi. Rimas, malu. Namun, lama-lama aku terima kata-kata itu sebagai doa buatku. Insha Allah.

Aduhai. Zaman sekolah yang indah. Di sana, aku temui sahabat-sahabat yang setiap waktu membantuku dan menyokongku. Yang menarik lembut tangan ini untuk bangkit membaca Al-Mulk, yang tegas menyeru namaku untuk bangkit Tahajud padaMu, yang tanpa ragu menghembus kata-kata semangat saat diri ini jatuh terjelopok. 

Apakah akanku temui lagi sahabat seperti itu di masa hadapanku? Apakah aku akan terus gagah bertahan di jalanNya ini tanpa sahabat-sahabatku itu di sisi?

Dan kini alhamdulillah. Aku diterima ke INTEC untuk menyambung pelajaran sebelum berangkat ke Rusia. Aku menyahut saranan ustazku untuk melihat Islam dari kaca mata yang berbeza.

Apakah aku masih sama? Kuat menerima pelbagai ujian di sana?

Biarlah jalan ceritaku seterusnya dilakar indah olehNya.

P/s: berubah itu satu perkara yang sukar bagi setiap insan. Jika kita tidak mampu membantu sekurangnya janganlah kita menjadi penyebab dia jatuh bertalu-talu. Hulurkanlah senyuman ikhlas untuk insan yang ingin berubah bukan pandangan penuh sinis menuduh dirinya hipokrit. Entah-entah diri kita yang hipokrit, kerana insan yang ikhlas di jalanNya pasti sedaya upaya menyebarkan cintaNya pada segenap alam.





Post a Comment