Bismillahirrahmanirrahim.
Acapkali apabila diuji kita akan melihat ujian itu sebagai satu seksaan atau malapetaka yang menyebabkan kesedihan atau kegusaran yang melampau-lampau. Kita menangis semahu-mahunya. Terlalu cepat kita melatah. Tanpa kita sedari mungkin ini petanda rendahnya iman.
Maaf, gambar sekadar hiasan. [Kredit] |
Ouchhh! [Kredit] |
Mengapa ini terjadi?
Ini kerana kita tidak bercakap soal ilmu. Kita bercakap berkenaan satu kuasa yang jauh lebih kuat daripada ilmu yang tersimpan di dalam akal fikiran. Kita bercakap tentang hati. Organ yang menjadi raja kepada tubuh kita dan jika baik hatinya maka baiklah keseluruhannya.
Hati yang membimbing kita untuk menjadi kuat dan tabah dalam menghadapi kesusahan atau ujian daripada Allah SWT. Kerana di hati tersimpannya keyakinan yang tidak mungkin muncul melalui ilmu pengetahuan yang kita perolehi semata-mata. Keyakinan daripada hati itu terbit tidak lain tidak bukan bersama iman . Iman yang datang daripada ilmu pengetahuan kita yang disertai amalan. Disebabkan itu, mengetahui tidak semestinya meyakini lantas boleh dizahirkan keyakinan itu dengan perbuatan.
Mengetahui itu berpangkalan di otak manakala meyakini berpangakalan di hati dan bersangkutan dengan perihal iman seseorang. Oleh yang demikian, boleh sahaja kita menyuruh seseorang bersabar menghadapi kematian ibu atau ayah tersayang atau difitnah rakan sekerja dan pasti orang yang ditimpa musibah itu juga tahu dia harus bersabar, tetapi setakat mana kemampuannya untuk bersabar. Kemampuan itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada' dan qadar' dan janji-janji Allah SWT.
Keyakinan itu hakikatnya berada pada tahap yang asas dalam beragama. Rukun iman sendiri berkisar tentang kepercayaan yakni keyakinan kita kepada enam perkara utama. Enam perkara ini sememangnya adalah perkara-perkara ghaib yang tidak boleh kita lihat dengan mata kasar kecuali dengan petunjuk iaitu di dalam Al-Quran. Mengapa perkara ghaib? Kerana Allah SWT hendak menguji keyakinan kita. Yakni haqqul yakin, keyakinan sepenuh hati tanpa melibatkan bukti atau akal. Keyakinan yang diharapkan ini juga membawa maksud berserah kepada kepada Allah SWT tanpa bersebab atau bukti.
Rukun iman ada berapa? Enam.. [Kredit] |
Ketika Nabi Ibrahim mahu meninggalkan Siti Hajar di tanah gersang dan kontang yang mana tidak ada hidupan pun di situ, Siti Hajar bertanya, "Disinikah kami ditinggalkan? Apakah kamu meninggalkan kami di sini atas pilihanmu atau atas pilihan Tuhan?"
Ibrahim menjawab: "Ini adalah perintah Allah SWT."
Hajar membalas dengan yakin: "Kalau begitu kami tidak akan ditelantarkanNya."
Halangan?
Lalu apa yang menghalang kita daripada meyakini janji Allah SWT? Tidak cukupkah pengajaran di dalam Al-Quran mengenai janji-janji Allah SWT yang tepat. Kita terbiasa melihat medium atau alat yang digunakan untuk menguji kita sebagai penyebab utama dan bukanlah Allah SWT. Dalam ayat yang lebih ringkas kita mahu "someone to be blame". Lemah benar iman kita. Sedar tidak sedar kita sudah terlalu terbiasa menjadikan manusia, kejadian atau material sebagai sebab terjadi sesuatu. Kita gagal dalam meyakini semuanya datang dari Allah SWT dan ini semua hanyalah ujian.
Kesimpulan
Takdir Allah SWT itu sudah tertulis. Apabila dikunjung kesempitan, masalah, konflik, ujian, kesedihan, musibah yang menggoncang keyakinan kita haruslah kembali kepada Allah SWT. Tidak usah berterus-terusan melawan takdir dan menyalahkan dunia sekeliling. Kita diuji kerana Allah SWT masih sayangkan kita dan masih mahu menunjukkan jalan yang lurus kepada kita agar tidak dibiar hanyut, leka dan alpa dalam keseronokan. Kegembiraan sementara yang belum tentu baik buruknya.
Yakinlah kepada sesuatu yang hilang. Sahabat, kepercayaan, harga diri, saudara, kegembiraan, kebiasaan, kemewahan, maruah, keyakinan diri atau anak akan digantikan dengan perkara yang lebih baik. Yang pasti yakinlah kita, seyakin-yakinnya barulah Allah SWT akan memberi yang terbaik kepada kita. Bukankah Allah SWT itu mengikut sangkaan kita terhadapNya?
Wallahu a’lam.
Post a Comment