Azam Menunaikan Umrah Menggerakkan Hati Ini

0 comments

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, sampaikanlah kami ke sini suatu hari nanti. Amin. [Kredit]

          Sudah lama terpahat azam di hatiku untuk menunaikan haji. Aku sudah pun berdaftar di Tabung Haji. InsyaAllah, sekarang aku sedang menunggu panggilan Ilahi ke Bumi suci Makkatul Mukarramah. Pada suatu hari, aku melihat peluang, yakni dari segi kelapangan masa, untuk aku menunaikan umrah bersama abang kandungku. Tidak mengapalah jika giliranku untuk menunaikan haji belum tiba. Sementara itu, apa kata jika aku pergi menunaikan umrah dahulu? SubhaAllah! Teringinnya! Aku dan abangku pun mula merancang. Semangatku melonjak-lonjak.

         Setelah membuat perancangan yang entah jadi, entah tidak, aku mula melayari internet untuk mengetahui persediaan-persediaan yang diperlukan bagi menunaikan umrah. Aku terkena tamparan yang hebat bilamana aku terbaca akan pentingnya persediaan fizikal. Benarlah. Aku mesti kuat. Tawaf dan sa'ie, dua-dua ibadah menggunakan fizikal badan. Bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Pastinya penting untuk aku menjaga kesihatan dan membina stamina diri. Mana tidaknya, aku seorang yang malas bersukan. Walau berapa ramai pun yang menasihatiku agar bersenam, aku masih berdegil sedangkan ia adalah baik untuk kesihatan diriku sendiri.

Kita mampu mengubahnya. [Kredit]

         Aku tidak sedar akan pentingnya senaman dalam hidup seorang Muslim sehinggalah aku membaca mengenai kepentingan membina stamina sebagai persediaan untuk menunaikan haji dan umrah. Namun, aku telah membatalkan rancangan aku menunaikan umrah bersama abangku atas sebab-sebab yang tertentu. Sedih. Tapi aku tahu bahawa rancangan Allah itu adalah yang terbaik. Alhamdulillah, kini aku sedar akan kepentingan bersukan. Aku tidak lagi seperti dulu. Kini, aku lebih bersemangat untuk bersenam. Azam menunaikan umrah menggerakkan hati ini. Semoga kalian juga bersemangat untuk melakukan senaman dan semoga Allah menerimanya sebagai ibadah kepadaNya. AllahummaAmiin.

         Insya Allah semoga dengan keazaman yang tinggi untuk menyahut seruan Ilahi, kita cuba sedaya upaya  untuk menjaga kesihatan dengan selalu bersenam ataupun bersukan. Niatlah kerana Allah, insya Allah segalanya pasti terlaksana dengan izinNya yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Wallahu'alam.


Post a Comment